ARKIB : 06/11/2007
Tragedi di hospital - Abang dakwa kaki adik dipotong
KUALA PILAH 5 Nov. – Seorang pembantu
tadbir di Majlis Daerah Jempol dekat sini, mendakwa doktor di Hospital Jempol
cuai semasa merawat adiknya yang terlibat dalam kemalangan jalan raya hingga
menyebabkan kaki kanannya terpaksa dipotong. Rahmat Raduan, 26, berkata,
adiknya, Noramin, 22, terlibat dalam satu kemalangan kira-kira pukul 6.30 pagi
Jumaat lalu semasa dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah hotel di
Bahau. Katanya, kemalangan akibat dirempuh oleh sebuah kereta itu menyebabkan
adiknya cedera di kaki kanan dan beberapa bahagian tubuh. “Ambulans telah
membawanya ke hospital dan sampai kira-kira pukul 7.15 pagi tetapi doktor
langsung tidak berbuat apa-apa sehinggalah pukul 10 pagi. Itupun setelah
ditanya berkali-kali oleh ibu bapa kami,” dakwanya. Dakwa beliau
lagi, selepas itu barulah pihak hospital merujuk dan menghantar kes adiknya itu
ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah dengan alasan bahawa
mereka tidak mempunyai peralatan bagi merawat kecederaan mangsa. Rahmat
mendakwa, sebaik tiba di HTAN, doktor merujukkan pula adiknya itu ke Pusat
Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana hospital itu juga tidak mempunyai
kelengkapan untuk merawat Noramin. “Semasa kami tiba di PPUM, para doktor
bertanyakan mengapa kami terlalu lewat membawa Noramin kerana keadaan lukanya
sudah terlalu teruk hingga terpaksa dipotong. “Pihak PPUM juga memaklumkan
bahawa kaki adik saya mungkin dapat diselamatkan jika dia segera dibawa terus
bagi mendapat rawatan di hospital berkenaan,” katanya. Berikutan
kenyataan dari PPUM itu, dia membuat laporan mengenai kejadian itu di Balai
Polis Brickfields pada Sabtu lalu.
Katanya, Noramin telah dihantar balik
ke HTAN untuk rawatan lanjut selepas selesai menjalani pembedahan untuk
memotong kakinya pada petang semalam. Sementara itu, Pengarah Hospital Jempol,
Dr. Khadijah Sani menafikan dakwaan Rahmat dengan mengatakan bahawa Noramin
telah menjalani imbasan sinar-X kira-kira pukul 7.50 pagi. “Doktor kemudiannya
menghubungi HTAN kira-kira pukul 8.15 pagi kerana kita tidak mempunyai
kelengkapan untuk merawat kecederaan serius Noramin. Buku log kami juga
mencatat ambulans keluar menuju ke HTAN kira-kira pukul 9.10 pagi,” katanya.
Jelas beliau, perjalanan ke HTAN
kebiasaannya mengambil masa kira-kira 45 minit dari Hospital Jempol. “Para
doktor di sini telah melakukan yang terbaik, kami telah merawat dan mencuci
luka Noramin dan juga telah menghantarnya untuk menjalankan imbasan sinar-X,”
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.