Sabtu, 28 Januari 2012

Doktor seks, dadah


ARKIB : 10/09/2011

Doktor seks, dadah

Oleh AMIRUDDIN HARUN
amir.harun@utusan.com.my
Sebagai seorang pakar bedah saraf, Suresh Surendranath Nair memiliki segala-galanya. Hidup di bandar besar Sydney, Australia, lelaki kelahiran Malaysia itu mempunyai pendapatan yang cukup lumayan dan tinggal di apartmen mewah bernilai A$1.7 juta (RM5.37 juta). Namun gara-gara ketagihan dadah dan seks, kehidupan lelaki berusia 43 tahun itu kini musnah. Karier hebat yang dibinanya sejak bertahun-tahun juga hanya menjadi memori silamnya. Dia akhirnya terpaksa menerima padah apabila disumbatkan di penjara selama tujuh tahun 10 bulan. Hukuman itu dijatuhkan oleh Mahkamah Daerah New South Wales selepas Nair mengaku bersalah berhubung kematian dua teman sosial di kediaman mewahnya itu setelah dibekalkan kokain berlebihan semasa melakukan hubungan seks. Mangsa pertamanya, Suellen Domingues-Zaupa, wanita Brazil berumur 22 tahun manakala mangsa kedua, Victoria McIntyre berusia 23 tahun ketika kejadian. Walaupun hukuman itu boleh dianggap ‘ringan’, ia dijatuhkan selepas pihak pendakwaan mengemukakan tawaran pengakuan bersalah kepada lelaki berkenaan. Menyedari kesilapannya harus dinoktahkan, Nair menerima tawaran itu lalu mengaku bersalah menyebabkan kematian Domingues-Zaupa di kediamannya pada November 2009.

Dia juga mengaku bersalah membekalkan kokain kepada McIntyre, yang meninggal dunia di apartmen sama pada Februari 2009. Selain itu, Nair mengaku bersalah membekalkan kokain pada Januari 2010, apabila didapati melanggar syarat ikat jamin selepas ditemui bersama dua pekerja seks dan turut mengambil kokain. Hakim Robert Toner menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Nair yang telah meringkuk di penjara sejak ditangkap pada Januari 2010. Tarikh paling awal Nair layak mendapat parol adalah pada April 2015. Ketika menjatuhkan hukuman, Hakim Toner menegaskan bahawa lelaki yang tinggal di Australia sejak berusia 11 tahun itu telah ‘didorong oleh kepentingan hawa nafsu’ selain gagal mendapatkan perkhidmatan kecemasan sewaktu wanita-wanita itu sedang nazak di hadapannya. Hakim Toner menjelaskan, Nair terlalu cuai kerana tidak memanggil ambulans sewaktu Domingues-Zaupa mengalami kekejangan akibat daripada penggunaan kokain sewaktu melakukan hubungan seks. Menurut beliau, Nair yang turut mengambil dadah dalam jumlah yang besar ketika itu menyebabkan dia tidak dapat membantu wanita berkenaan.



‘‘Tingkah laku Nair yang berulang-ulang bukan hanya disebabkan oleh penagihan dadah. Sebaliknya didorong oleh ‘pentingkan diri sendiri dan hanya untuk memuaskan nafsunya sendiri’,’’ kata Hakim Toner. Di samping itu, Nair telah mengetepikan rasa tanggungjawabnya pada masa itu biarpun dalam kehidupan profesionalnya, ‘dia telah melakukan banyak kebaikan’, ujar hakim tersebut lagi. Nair dikatakan kerap membelanjakan wangnya untuk menyertai ‘pakej parti’ anjuran agensi-agensi tertentu yang turut membekalkan kokain dan pekerja seks sehingga lima orang dalam satu malam. Semasa pendengaran kesnya pada bulan lalu, Nair memberitahu, dia menyedari ketagihan dadah dan seks yang dialaminya adalah di luar kawalannya sewaktu kematian teman sosial yang pertama. ‘‘Saya telah melakukan satu kesilapan besar dan segalanya semakin menjadi di luar kawalan. Sebahagian daripada diri saya menyedari perkara tersebut telah menjadi di luar kawalan tetapi sebahagian lagi daripada diri saya memilih untuk tidak mempedulikan pemikiran waras saya. ‘‘Jika saya menguruskan perkara ini dengan cara yang berbeza dan berlaku jujur dengan diri saya, saya dapat rasakan bahawa tiada apa-apa yang akan berlaku kepada Suellen,’’ katanya. Lembaga perubatan negeri mengenal pasti masalah penggunaan kokain oleh Nair sejak 2004 dan menggenakan beberapa syarat terhadap pendaftaran perubatannya, termasuk ujian air kencing yang terpaksa dilalui sebanyak tiga kali seminggu. Nair kemudiannya telah digantung perkhidmatan oleh lembaga perubatan terbabit setelah dia membuat pengakuan melakukan jenayah tersebut dan dia kini sedang menunggu pendaftaran semula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.