Sabtu, 28 Januari 2012

Suami dakwa isteri mati kerana hospital cuai


ARKIB : 24/09/2010

Suami dakwa isteri mati kerana hospital cuai

KOTA BHARU 23 Sept. – Seorang Pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini mendakwa kecuaian kakitangan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dekat sini telah menyebabkan isterinya meninggal dunia selepas menjalani pembedahan untuk bersalin pada 17 Ogos lalu.Musa Abdul Kadir, 44, berkata, arwah isterinya, Aumil Khairri Abd. Razak, 44, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 8 pagi kelmarin selepas koma dua minggu di hospital berkenaan sementara bayi lelakinya seberat 2.3 kilogram kini berada dalam keadaan sihat.
Menurutnya, kecuaian pihak HUSM semasa melakukan pembedahan awal telah menyebabkan beberapa keping kain kapas atau ‘pack’ tertinggal di dalam rahim arwah isterinya itu.Dakwanya, kain kapas itu dikesan seorang doktor yang membuat ujian sinar-X ke atas isterinya selepas arwah mengadu sakit teramat sangat selepas tiga jam bersalin anak keempat mereka melalui pembedahan.“Saya diberitahu oleh doktor ada objek yang tertinggal di dalam perut isteri saya dan doktor meminta kebenaran untuk melakukan pembedahan kali kedua pada 22 Ogos lalu kira-kira pukul 2 petang.
“Ketika pembedahan dilakukan, doktor berjaya mengeluarkan dua keping kain kapas yang tertinggal di sebelah kiri dan kanan rahim isteri saya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.Musa mendakwa, selepas itu isterinya dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HUSM untuk mendapatkan rawatan lanjut kerana mengalami masalah di dalam perut.Dakwanya, pada 25 Ogos lalu, keadaan arwah isterinya menjadi tidak menentu sehingga menyebabkannya meracau, mengamuk dan demam teruk sehingga doktor terpaksa memberinya ubat tahan sakit.
Katanya, sejak itu arwah isterinya terus koma dan terpaksa makan dan minum menggunakan tiub sementara perutnya pula semakin membesar.“Pada 7 September kira-kira pukul 9 malam, doktor sekali lagi meminta kebenaran saya untuk membuat pembedahan kali ketiga yang memakan masa selama kira-kira sembilan jam kerana difahamkan ada jangkitan kuman akibat pembedahan kali kedua,” dakwanya.Menurut Musa, apa yang mengejutkan apabila doktor memberitahu berlaku lima kebocoran pada usus arwah isterinya, menyebabkan dua daripada ususnya dijahit sementara tiga pula terpaksa dibuang kerana ada yang terputus dan melekat pada rahim.“Ada tiga usus lagi berdarah dan keadaannya bertambah kritikal dan kira-kira pukul 8 pagi pada 21 September lalu, isteri saya disahkan meninggal dunia,” ujarnya.
Dakwanya, dia cuba mendapatkan penjelasan daripada pihak hospital mengenai kejadian yang menimpa arwah isterinya, tetapi mereka enggan memberi kerjasama.Berikutan itu, Musa telah membuat laporan di balai polis Kubang Kerian kira-kira pukul 6.44 petang semalam berhubung kejadian yang menimpa isterinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.