Sabtu, 28 Januari 2012

Doktor Slewen Buat Pengguguran


ARKIB : 27/04/2011

Akses mudah lakukan pengguguran

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA
maria.zakaria@utusan.com.my

Gejala pembuangan bayi tidak mustahil bermula daripada perbuatan pengguguran bayi.


OK, di sini memang boleh buat pengguguran bayi, apa lagi soalan?'' Ini adalah sebahagian daripada perbualan antara penulis dengan seorang doktor di salah sebuah klinik swasta di ibu kota, baru-baru ini.
Daripada perbualan tersebut cukup untuk menggambarkan bahawa akses bagi melakukan pengguguran bayi di negara ini cukup mudah - janji individu itu mempunyai kekuatan diri dan paling penting ada duit, semua boleh dilakukan.
Apakah ini mungkin antara punca menyebabkan gejala pembuangan bayi di negara ini tidak berkesudahan? Malah, jika diteliti melalui laporan di dada-dada akhbar, sebahagian kes pembuangan bayi membabitkan janin-janin yang tidak cukup bulan.
Perkembangan ini juga sudah tentu satu tamparan hebat terhadap usaha-usaha membanteras gejala seks bebas termasuk pembuangan bayi terutama di kalangan golongan remaja.
Lazimnya, pengguguran bayi banyak dilakukan oleh gadis-gadis yang hamil di luar nikah dan ia dilakukan bagi mengelak kandungan mereka diketahui umum sekali gus memalukan keluarga.
Aktiviti ini turut dilakukan oleh wanita-wanita yang sudah berkahwin, yang mempunyai alasan tersendiri seperti belum bersedia menimang cahaya mata, mahu membina karier terlebih dahulu atau bimbang dengan bebanan hidup yang akan bertambah.
Masyarakat sekeliling terutama mereka yang beragama Islam seharusnya sedar bahawa pengguguran janin merupakan dosa besar yang dilaknat Allah SWT.
Ini kerana ia melibatkan pembunuhan satu nyawa manusia yang lain.
Baru-baru ini, kerana inginkan maklumat mengenai pengguguran bayi, penulis bersama seorang rakan telah menyamar sebagai pasangan kekasih yang 'terlanjur' mengunjungi klinik tersebut untuk 'menggugurkan' kandungan.
Bagi mendapatkan gambaran lebih jelas, ikuti perbualan antara penulis bersama doktor di klinik tersebut.

Penulis (P): Sini boleh buat gugur (bayi)?
Doktor (D): Kali pertama (gugur bayi)?
P: Kali pertama.
D: Kenapa nak gugur? Sudah kahwin?
P: Belum.
D: Berapa besar (bulan)?
P: Tak tahu.
D: Lewat berapa minggu?
P: Satu minggu.
D: Bagus.
P: Bagus?
D: Kenapa saya cakap bagus sebab lewat seminggu, kita menjangkakan ia tidak besar, biasanya dia masih kecil dan tidak ada jantung. Masih O.K lagi dan kalau sudah ada jantung kita berat hati sikit untuk buat (pengguguran). O.K. Soalannya boleh buat? Boleh. Seterusnya?
P: Kalau boleh buat, berapa harganya doktor?
D: Harganya biasa di sini ada dua cara, cara lama cuci atau cara baru makan ubat saja tak perlu cuci. Bezanya cara lama cepat tapi lebih berisiko.
P: Cara lama yang cuci?
D: Ya cara lama D&C ( prosedur yang dilakukan selepas keguguran bayi), masukkan alat ke dalam rahim boleh berlaku pendarahan, luka dan risiko jangka panjang manakala cara ubat pula hanya makan ubat untuk keluarkan tanpa perlu cuci apa-apa, dia jauh lebih selamat tapi ambil masa tiga hari.
P: Maksud doktor tiga hari macam mana?
D: Awak kena datang sekali, makan ubat. Lepas tiga hari datang lagi dan kita akan masukkan ubat ke tempat seks sahaja tanpa perlu kacau apa-apa. Ini cara baru.
P: Kalau makan ubat, dia (janin) keluar habis ke doktor?
Doktor: 97 peratus, ubat ini datang dari UK (United Kingdom) dan ubat ini memang khas untuk gugur. Selepas seminggu datang balik untuk check up.
P: Sakit tak?
Doktor: Sakit, macam period (datang haid).
P: Cara lama lagi sakit?
D: Dua-dua cara pun sakit, mustahil 'benda' nak keluar kamu tak sakit.
P: Kalau pandangan doktor?
Doktor: Pada saya awak berdua kena tentukan.
P: Harga (bayaran untuk proses pengguguran)?
D: Harga untuk kedua-dua cara sama. Dari A hingga Z sampai habis sampai check up RM1,000. Yang penting awak kena fikir apa yang awak lebih selesa.
P: Tak kisah berapa bulan?
D: Untuk kes bawah tiga bulan dan yang baru. Bincang elok-elok.
P: Adakah selepas ini saya akan sihat sepenuhnya dan tiada apa-apa kesan selepas itu?
D: Jangan susah hati, itu kerja saya. Saya akan pastikan anda sihat.
P: Bila waktu yang sesuai untuk saya datang?
D: Bila-bila tetapi lebih baik lagi cepat lagi bagus. Tetapi dinasihatkan agar telefon saya dahulu.
P: Adakah selepas itu saya perlu cuti?
D: Tak perlu, anda boleh bekerja atau melakukan aktiviti seperti biasa.

Daripada perbualan tersebut secara tidak langsung boleh diandaikan bahawa melakukan pengguguran amat mudah, bahkan boleh memilih cara mana yang disukai.Walaupun begitu, doktor yang ditemui penulis ini begitu baik hati kerana selain menasihati penulis agar berhati-hati di kemudian hari, beliau turut mencadangkan beberapa kaedah untuk pencegahan.Menurut doktor tersebut lagi, dia mempunyai pelaku tetap di mana sudah empat kali datang melakukan pengguguran. Apa yang menyedihkan, katanya, rahim wanita tersebut hampir nak pecah akibat terlalu banyak membuat pengguguran. Bagaimanapun, jelas doktor tersebut, kalau fikir duit memang dia suka tapi beliau turut menasihati agar kita berfikir apa yang dilakukan pasti ada akibatnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.