ARKIB : 09/02/2009
Warga emas derita jarum tertinggal dalam perut
|
KULIM 8 Feb. - Seorang
warga emas tidak menyangka kesakitan yang dialaminya setiap kali selesai
menjamah makanan sejak lebih tiga tahun lalu rupa-rupanya berpunca daripada
sebatang jarum yang tertinggal di dalam perutnya. Jarum sepanjang kira-kira
empat sentimeter itu ditemui sepasukan doktor Hospital Parit Buntar, dekat sini
yang merawat Che Mas Mahmud, 79, selepas dikejarkan ke hospital itu pada 20
Januari lalu. Keluarga Che Mas percaya, jarum tersebut tertinggal dalam perut
warga emas itu ketika menjalani dua pembedahan akibat penyakit barah usus di
Hospital Taiping, dekat sini pada tahun 2005. Anaknya, Salleh Mohamad, 35,
berkata, ibunya itu sering mengadu sakit seperti dicucuk benda tajam sejak tiga
tahun lalu, tetapi doktor mendakwa tidak mengesan sebarang objek melalui
imbasan yang dibuat sebelum ini. Katanya, sejak itu ibunya jarang menjamah
makanan sehingga mengakibatkan berat badannya susut mendadak lebih 30 kilogram.
''Sejak pembedahan (tahun 2005) mak selalu mengadu sakit seperti dicucuk-cucuk
dan kami buat beberapa pemeriksaan tetapi tetapi doktor bertegas kata tidak ada
apa-apa di dalam perutnya. ''Bila keadaan mak dah semakin teruk baru-baru ini,
barulah doktor mengesahkan ada jarum yang tertinggal dan mak ditahan di wad
selama tiga hari," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit
Aping, Serdang, dekat sini hari ini. Salleh berkata, keluarganya merujuk
perkara itu kepada Hospital Taiping tetapi penjelasan yang diberi amat
mengecewakan apabila dimaklumkan bahawa pihak hospital tidak dapat berbuat
apa-apa kerana ibunya agak uzur. Menurut Salleh, doktor sebaliknya hanya
menasihatkan supaya ibunya dibawa melakukan pemeriksaan secara berkala di
hospital tersebut. ''Doktor ada menyatakan jarum tersebut boleh dibuang melalui
pembedahan tetapi menasihatkan kami supaya tidak melakukannya kerana ia
berisiko. ''Sepatutnya pihak hospital membuat tindakan susulan yang sewajarnya
kerana kesakitan yang dialami ini akibat jarum yang ditinggalkan sendiri oleh
pihak hospital," tegasnya. Salleh berkata, keluarganya membuat laporan
polis di Balai Polis Bagan Serai, dekat sini semalam kerana mendakwa pihak
hospital cuai sehingga menyebabkan bahan itu tertinggal di dalam perut ibunya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.