Sabtu, 28 Januari 2012

Doktor Cuai

ARKIB : 30/12/2009

Nat dalam badan wanita


MANGSA menunjukkan nat (bertanda bulat) yang tertinggal di tulang belakangnya.
KUALA LUMPUR 29 Dis. - Seorang wanita kini hidup dalam ketakutan apabila sebiji nat berukuran 0.5sm tertinggal dalam badannya semasa dia menjalani pembedahan keretakan tulang belakangnya tahun lepas.
Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, wanita berusia 29 tahun itu yang merupakan seorang pereka dalaman, menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta menggunakan teknik implan logam yang disokong dengan nat selepas terlibat dalam satu kemalangan Oktober tahun lepas.
"Selepas pembedahan, wanita itu diberitahu bahawa nat itu secara tidak sengaja telah terjatuh ke dalam bahagian tubuh yang dibedah, dan doktor lelaki yang menjalankan pembedahan itu memberi jaminan nat itu tidak berbahaya kepada kesihatannya dan akan dikeluarkan serentak dengan implan logam itu setahun kemudian tanpa sebarang kesan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Bagaimanapun pada Oktober lepas, sebelum menjalani pembedahan itu, pakar bedah itu memberitahu wanita berkenaan bahawa nat yang telah bergerak itu kini tidak boleh dikeluarkan kerana telah berada berhampiran saluran darah, kata Chong.
Katanya, pembedahan itu hanya dapat mengeluarkan implan logam dan tidak berjaya mengeluarkan nat yang telah terjatuh itu.
Terkejut dengan berita itu, wanita itu mahu doktor itu membedahnya segera untuk mengelak sebarang komplikasi atau masalah lain namun doktor itu berkata beliau tidak boleh berbuat apa-apa, katanya.
Chong berkata, wanita itu juga diminta membayar untuk menjalani pembedahan yang didakwa disebabkan kecuaian doktor itu sendiri.
"Wanita ini turut dicabar supaya mencari peguam jika masih tidak berpuas hati," katanya.
Katanya, selepas menjalani satu imbasan baru-baru ini, wanita itu dinasihatkan supaya segera menjalani pembedahan dan ini dijadual dijalankan esok. Chong berkata, pihaknya akan menunggu hasil daripada pembedahan itu untuk tindakan seterusnya termasuk menggunakan saluran undang-undang terhadap doktor yang didakwa cuai semasa pembedahan awal. - Bernama

Suami dakwa isteri mati kerana hospital cuai


ARKIB : 24/09/2010

Suami dakwa isteri mati kerana hospital cuai

KOTA BHARU 23 Sept. – Seorang Pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini mendakwa kecuaian kakitangan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dekat sini telah menyebabkan isterinya meninggal dunia selepas menjalani pembedahan untuk bersalin pada 17 Ogos lalu.Musa Abdul Kadir, 44, berkata, arwah isterinya, Aumil Khairri Abd. Razak, 44, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 8 pagi kelmarin selepas koma dua minggu di hospital berkenaan sementara bayi lelakinya seberat 2.3 kilogram kini berada dalam keadaan sihat.
Menurutnya, kecuaian pihak HUSM semasa melakukan pembedahan awal telah menyebabkan beberapa keping kain kapas atau ‘pack’ tertinggal di dalam rahim arwah isterinya itu.Dakwanya, kain kapas itu dikesan seorang doktor yang membuat ujian sinar-X ke atas isterinya selepas arwah mengadu sakit teramat sangat selepas tiga jam bersalin anak keempat mereka melalui pembedahan.“Saya diberitahu oleh doktor ada objek yang tertinggal di dalam perut isteri saya dan doktor meminta kebenaran untuk melakukan pembedahan kali kedua pada 22 Ogos lalu kira-kira pukul 2 petang.
“Ketika pembedahan dilakukan, doktor berjaya mengeluarkan dua keping kain kapas yang tertinggal di sebelah kiri dan kanan rahim isteri saya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.Musa mendakwa, selepas itu isterinya dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HUSM untuk mendapatkan rawatan lanjut kerana mengalami masalah di dalam perut.Dakwanya, pada 25 Ogos lalu, keadaan arwah isterinya menjadi tidak menentu sehingga menyebabkannya meracau, mengamuk dan demam teruk sehingga doktor terpaksa memberinya ubat tahan sakit.
Katanya, sejak itu arwah isterinya terus koma dan terpaksa makan dan minum menggunakan tiub sementara perutnya pula semakin membesar.“Pada 7 September kira-kira pukul 9 malam, doktor sekali lagi meminta kebenaran saya untuk membuat pembedahan kali ketiga yang memakan masa selama kira-kira sembilan jam kerana difahamkan ada jangkitan kuman akibat pembedahan kali kedua,” dakwanya.Menurut Musa, apa yang mengejutkan apabila doktor memberitahu berlaku lima kebocoran pada usus arwah isterinya, menyebabkan dua daripada ususnya dijahit sementara tiga pula terpaksa dibuang kerana ada yang terputus dan melekat pada rahim.“Ada tiga usus lagi berdarah dan keadaannya bertambah kritikal dan kira-kira pukul 8 pagi pada 21 September lalu, isteri saya disahkan meninggal dunia,” ujarnya.
Dakwanya, dia cuba mendapatkan penjelasan daripada pihak hospital mengenai kejadian yang menimpa arwah isterinya, tetapi mereka enggan memberi kerjasama.Berikutan itu, Musa telah membuat laporan di balai polis Kubang Kerian kira-kira pukul 6.44 petang semalam berhubung kejadian yang menimpa isterinya.

Individu menang saman Pusrawi



Penganalisis komputer BSN menang saman Pusrawi

KUALA LUMPUR - Seorang isteri menangis kegembiraan selepas suaminya, seorang penganalisis komputer yang mengalami kecederaan otak akibat pembedahan tulang belakang empat tahun lalu menang dalam tuntutan saman terhadap Hospital Pusrawi Sdn. Bhd. dan tiga orang doktor. "Syukur, Alhamdulillah. Selepas tiga tahun, saya akhirnya dapat memberikan yang terbaik buat suami. Terima kasih kepada semua, peguam dan kawan-kawan yang banyak menolong dengan mendoakan kami," ujar Rosemah Ibrahim dengan nada terharu. Namun suri rumah itu yang ditemani anaknya, Nur Eliza, 20, dan ahli keluarga hadir ke mahkamah bersama peguam Cheow See tanpa kehadiran suami, Roslan Mohd. Ali (gambar) yang kini hanya terlantar di rumah.Terdahulu, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Wahab Patail memeritahkan keempat-empat defendan, setiap seorang membayar RM20,000 sebagai kos guaman kepada Roslan manakala bayaran ganti rugi akan dinilai kemudian oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi.Selain Pusrawi, tiga doktor yang dinamakan sebagai defendan terdiri daripada pakar anesthesia Dr. Ainy Md. Aris, pakar ortopedik Dr. Mohd. Ismail Maulud serta pakar ortopedik dan trauma Dr. Didi Indra Tjahya.Pada 2 Februari 2007, Roslan, 47, penganalisis kanan komputer Bank Simpanan Nasional menyaman defendan kerana didakwa cuai sehingga dirinya mengalami kecederaan otak dan koma selama lima bulan selepas menjalani pembedahan di hospital itu pada 1 September 2006. Dalam pernyataan tuntutan, Roslan selaku plaintif mendakwa telah menjalani satu pembedahan akibat kesakitan di bahagian belakang yang menurut doktor hanya mengambil masa selama dua jam. Dakwanya, ketiga-tiga doktor tersebut cuai apabila menyebabkan tiub 'endotracheal' yang membekalkan oksigen tersasar keluar daripada saluran pernafasan semasa membetulkan kedudukan tubuh yang mengakibatkan pernafasan terhenti kerana tiada bekalan oksigen.Ujian EEG (electroencephalogram) yang dibuat selepas pembedahan mengesahkan dia mengalami kerosakan otak akibat kekurangan bekalan oksigen sehingga terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi selama 22 hari. Akibat kecuaian itu, dia mengalami kerosakan otak yang teruk dan tidak dapat berfungsi dengan normal menjadikan dirinya seperti 'bangkai bernyawa' yang memerlukan penjagaan berterusan. Sehubungan itu, plaintif menuntut RM500,000 sebagai ganti rugi teladan dan punitif, ganti rugi khas RM5,687 sebulan bagi kehilangan pendapatan sejak 2 Februari 2007, faedah empat peratus setahun, kos dan relif lain yang dirasakan sesuai oleh mahkamah.

Ibu saman Hospital RM2 juta


ARKIB : 14/05/2008

Ibu saman Hospital Kajang RM2 juta

SHAH ALAM 13 Mei - Seorang ibu yang sedang mendapatkan kaunseling daripada pakar psikiatri ekoran kematian bayi sulung yang dilahirkan melalui kaedah vakum 33 hari yang lalu, memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Sivil di sini hari ini untuk menuntut ganti rugi RM2 juta daripada seorang doktor, Pengarah Hospital Kajang dan Kerajaan Malaysia kerana didakwa cuai.
Noor Hidayu Hashim, 21, selaku plaintif memfailkan saman tersebut melalui suaminya, Kamaruddin Mohd. Yasin, 28, seorang pegawai di Penjara Kajang menerusi Tetuan M.K. Othman & Co. di pejabat Pendaftar Mahkamah kira-kira pukul 3 petang.
Dalam writ saman 13 muka surat itu, Noor Hidayu, seorang pekerja di sektor swasta, menamakan Dr. Wan Shahruliza Wan Shaharan, Pengarah Hospital Kajang dan Kerajaan Malaysia masing-masing defendan pertama hingga ketiga.
Menurut pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa, sakit di bahagian abdomen dan terdapat pengeluaran air ketuban yang banyak pada pukul 3 pagi, 11 April lalu.
Kira-kira pukul 9 pagi, plaintif mendakwa telah dibawa ke bilik bersalin dan diperiksa oleh defendan pertama dan didapati pintu rahim telah terbuka tiga sentimeter.
Defendan pertama dan kakitangan hospital telah membantu plaintif yang menghidap penyakit kencing manis melahirkan anak melalui kelahiran biasa namun gagal.
Defendan pertama kemudiannya telah menggunakan kaedah vakum untuk mengeluarkan bayi plaintif dan akhirnya pada pukul 6 petang hari yang sama, plaintif melahirkan seorang bayi lelaki seberat 4.75 kilogram.
Plaintif mendakwa, bayinya telah mengalami masalah dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 9.30 malam hari yang sama.
Plaintif turut mendakwa beliau telah dimaklumkan melalui sekeping gambar imbasan x-ray yang menunjukkan kedua-dua bahu bayinya patah, tengkorak retak di samping kehilangan terlalu banyak darah kesan bersalin menggunakan kaedah tersebut.
Plaintif juga menyenaraikan lebih daripada 10 butiran kecuaian defendan-defendan antaranya gagal dan cuai dalam memastikan teknik rawatan atau kaedah bersalin yang sesuai diberikan kepadanya.
Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi khas, ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi melampau berjumlah RM2 juta serta kos berserta relif lain yang ditentukan sesuai oleh mahkamah.

Hospital Swasta Utamakan Wang sahaja!


ARKIB : 22/10/2011

Abai rawatan anak, ibu kecewa hospital utamakan wang bayaran

ROSNANI Rosdi bersama anaknya, Muhammad Aidil Fiqri semasa ditemu bual wartawan di Melaka, semalam.


MELAKA 21 Okt. - Seorang ibu meluahkan rasa kecewa terhadap layanan sebuah hospital swasta di sini yang lebih mementingkan bayaran tanpa mempedulikan kesakitan yang dialami bayinya ketika cuba mendapat rawatan di hospital berkenaan.
Rosnani Rosdi, 37, yang menggunakan perkhidmatan di hospital itu sejak 12 tahun lalu berkata, dia membawa bayi lelakinya, Muhammad Aidil Fiqri, 10 bulan untuk mendapatkan rawatan pada 13 Oktober lalu.
Dakwanya, anak kelimanya itu yang juga dilahirkan di hospital sama pada 12 Disember 2010 perlu menjalani x-ray kerana mengalami bengkak kepala akibat terjatuh dari tangga rumahnya beberapa hari sebelumnya.
"Ketika mendaftar di kaunter, kakitangan tersebut memaklumkan saya masih ada bayaran tunggakan sebanyak RM2,800 ketika melahirkan Muhammad Aidil yang belum dijelaskan.
"Saya mengakuinya dan jumlah itu adalah sebahagian daripada RM6,200 yang merupakan kos keseluruhan pembedahan bersalin. Sebelum ini telah pun dibayar RM3,000," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada masa sama katanya, kakitangan hospital itu langsung tidak bertanya tentang tujuannya datang ke situ walaupun melihat kepala anaknya itu yang bengkak, sebaliknya terus mengarahkannya ke pejabat pentadbiran.
Menurutnya, setibanya di pejabat, seorang kakitangan wanita memberitahu dia perlu menjelaskan semua baki hutang tersebut sebelum membenarkan rawatan x-ray dilakukan ke atas anak lelakinya itu.
Rosnani memberitahu dia sedang menunggu potongan harga daripada pihak hospital kerana cuai ketika melakukan pembedahan ketika melahirkan Muhammad Aidil.
"Akibat kecuaian doktor, pipi kanan Muhammad Aidil calar selain buah pinggang saya turut luka menyebabkan saya terpaksa membawa beg air kencing selama empat minggu. "Disebabkan itu, saya minta pihak hospital memberikan potongan harga, tetapi mereka cuma beri potongan RM400 sahaja dan minta saya bayar lagi RM2,800," katanya.
Menurutnya, potongan harga sebanyak RM400 adalah tidak berbaloi dengan kesakitan dialami mereka dua beranak.