Sabtu, 28 Januari 2012

Ibu saman Hospital RM2 juta


ARKIB : 14/05/2008

Ibu saman Hospital Kajang RM2 juta

SHAH ALAM 13 Mei - Seorang ibu yang sedang mendapatkan kaunseling daripada pakar psikiatri ekoran kematian bayi sulung yang dilahirkan melalui kaedah vakum 33 hari yang lalu, memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Sivil di sini hari ini untuk menuntut ganti rugi RM2 juta daripada seorang doktor, Pengarah Hospital Kajang dan Kerajaan Malaysia kerana didakwa cuai.
Noor Hidayu Hashim, 21, selaku plaintif memfailkan saman tersebut melalui suaminya, Kamaruddin Mohd. Yasin, 28, seorang pegawai di Penjara Kajang menerusi Tetuan M.K. Othman & Co. di pejabat Pendaftar Mahkamah kira-kira pukul 3 petang.
Dalam writ saman 13 muka surat itu, Noor Hidayu, seorang pekerja di sektor swasta, menamakan Dr. Wan Shahruliza Wan Shaharan, Pengarah Hospital Kajang dan Kerajaan Malaysia masing-masing defendan pertama hingga ketiga.
Menurut pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa, sakit di bahagian abdomen dan terdapat pengeluaran air ketuban yang banyak pada pukul 3 pagi, 11 April lalu.
Kira-kira pukul 9 pagi, plaintif mendakwa telah dibawa ke bilik bersalin dan diperiksa oleh defendan pertama dan didapati pintu rahim telah terbuka tiga sentimeter.
Defendan pertama dan kakitangan hospital telah membantu plaintif yang menghidap penyakit kencing manis melahirkan anak melalui kelahiran biasa namun gagal.
Defendan pertama kemudiannya telah menggunakan kaedah vakum untuk mengeluarkan bayi plaintif dan akhirnya pada pukul 6 petang hari yang sama, plaintif melahirkan seorang bayi lelaki seberat 4.75 kilogram.
Plaintif mendakwa, bayinya telah mengalami masalah dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 9.30 malam hari yang sama.
Plaintif turut mendakwa beliau telah dimaklumkan melalui sekeping gambar imbasan x-ray yang menunjukkan kedua-dua bahu bayinya patah, tengkorak retak di samping kehilangan terlalu banyak darah kesan bersalin menggunakan kaedah tersebut.
Plaintif juga menyenaraikan lebih daripada 10 butiran kecuaian defendan-defendan antaranya gagal dan cuai dalam memastikan teknik rawatan atau kaedah bersalin yang sesuai diberikan kepadanya.
Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi khas, ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi melampau berjumlah RM2 juta serta kos berserta relif lain yang ditentukan sesuai oleh mahkamah.

Tiada ulasan:

Catat Komen

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.