Ahad, 15 Januari 2012

Minyak pelincir dari kelapa sawit


ARKIB : 01/05/2004     

Minyak pelincir sintetik daripada kelapa sawit

Oleh LAUPA JUNUS

MINYAK pelincir merupakan keperluan dalam mana-mana enjin sama ada enjin kenderaan atau mesin-mesin kilang kerana fungsinya untuk melancarkan pergerakan motor enjin tersebut. Terdapat dua jenis minyak pelincir yang biasa digunakan pada hari ini yang dikategorikan berdasarkan kepada sumbernya seperti mineral (galian) atau sintetik (campuran kimia). Bagaimanapun, kebanyakan minyak pelincir yang dihasilkan iaitu antara 85 dan 90 peratus bersumberkan petrokimia dan mineral, kurang satu peratus jenis minyak sayuran dan bakinya jenis sintetik. Menurut pensyarah Jabatan Kimia dan Kejuruteraan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Robiah Yunus, minyak pelincir berasaskan daripada petroleum telah menguasai pasaran minyak pelincir dunia sejak abad ke-20 lagi. Bagaimanapun, penggunaan minyak pelincir berasaskan mineral boleh menimbulkan kesan sampingan apabila sisanya dibuang tanpa kaedah yang betul. Ini kerana apabila sisa minyak pelincir dibuang ke persekitaran, ia menjadi beban kepada air dan tanah kerana sifatnya yang sukar lupus. Menurut Robiah, hanya 25 peratus minyak pelincir digunakan semula untuk kegunaan lain selepas melalui proses kitar semula, lebih 45 peratus dibuang dan 25 peratus lagi tidak diketahui di mana ia digunakan. Pada masa yang sama, timbul persoalan, sampai bilakah bekalan petroleum akan terus mampu menjadi sumber kepada pengeluaran minyak pelincir kerana satu masa nanti ia akan kehabisan. Selain itu, kos penghasilan minyak pelincir juga terus meningkat kerana kos pelaburan kilang penapisan yang semakin tinggi dan usaha meningkatkan kualiti minyak yang dihasilkan. Justeru itu, menerusi satu penyelidikan yang dibiayai oleh geran Skim Penumpuan Penyelidikan Dalam Bidang Keutamaan (IRPA) bermula pada 2000, Robiah memulakan satu penyelidikan menghasilkan sejenis minyak pelincir yang beliau namankan Rysoil iaitu minyak pelincir mesra alam yang dihasilkan daripada kelapa sawit. Kejayaan menghasilkan produk itu dianggap istimewa kerana ia merupakan satu-satunya minyak pelincir daripada kelapa sawit di negara ini. Secara tidak langsung ia dapat membantu:
- Mengurangkan masalah pencemaran
- Mengurangkan pergantungan kepada petroleum.
- Meningkatkan nilai ekonomi minyak sawit.

Penyelidikan tersebut yang menggunakan kemudahan makmal Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berjaya disiapkan pada penghujung 2002. Minyak pelincir sintetik tersebut dihasilkan daripada minyak sawit menerusi beberapa tindak balas bagi menghasilkan bahan asasnya yang dinamakan poliolester.Minyak sawit yang diambil daripada bahagian isirung dan sabut diproses untuk menghasilkan satu bahan lain yang dinamakan metilester minyak sawit (POME). POME ini kemudian ditindakbalaskan dengan bahan lain untuk menghasilkan poliolester. ``Poliolester merupakan bahan yang dihasilkan dan menjadi bahan asas bagi pelbagai jenis minyak pelincir . ``Bahan ini boleh diformulasikan untuk menghasilkan produk lain seperti minyak hidraulik, minyak enjin dan minyak brek dengan tindak balas bahan aditif,'' katanya ketika ditemui baru-baru ini. Beliau menggunakan minyak sawit sebagai bahan asas kerana sifat mudah hilang dalam persekitaran (terbiodegradasi) yang terdapat pada bahan tersebut. Bagaimanapun, persoalan timbul mengapa minyak pelincir yang dihasilkan dikatakan sintetik. Menurut Robiah, sifat semula jadi yang terdapat pada minyak sawit itu tidak sesuai untuk kegunaan minyak pelincir kerana dua sebab itu tahap pengoksidaan yang tidak stabil dan tahap tuang suhu rendah yang tinggi. Ini kerana dalam keadaan asal, minyak sawit mengandungi 50 peratus sebatian tepu asid lemak, dan sebatian tidak tepu (50 peratus). Isirung minyak sawit pula mengandungi 82 peratus sebatian tepu asid lemak. Dengan kadar sebatian tepu yang tinggi menjadikan takat tuang minyak berasaskan sawit lebih tinggi berbanding ester sedia ada. Melalui penyelidikan tersebut, prestasi pelinciran minyak sawit di atasi dengan pengubahsuaian struktur asas minyak kepada sintetik ester menggunakan sejenis alkohol yang dinamakan poliol. Apa yang berlaku ialah struktur minyak sawit diubah dengan penghapusan molekul hidrogen yang berada pada kedudukan beta karbon. Dengan pengubahsuaian struktur ini, ia memperbaiki ciri-ciri kestabilan pengoksidaan dan terma bagi sintetik ester. Menurut Robiah, masalah takat tuang minyak sawit pula dapat di atasi dengan kejayaan penurunan sehingga ke tahap -360C. Justeru itu, Robiah berharap dengan penemuan ini, banyak syarikat tampil untuk mengkomersialkannya bagi kegunaan umum. Di negara Barat, penggunaan minyak berasaskan tumbuh-tumbuhan telah lama diamalkan dengan memanfaatkan minyak daripada bunga matahari dan kacang soya. 

Secara umumnya, Rysoil iaitu minyak pelincir mesra alam yang berasaskan minyak sawit ini mempunyai kelebihan berikut:
1) Ciri-ciri fizikal seperti kelikatan, indeks kelikatan, sifat-sifat geseran dan kehausan adalah serupa dengan produk sedia ada di pasaran.
2) Ia memiliki kestabilan oksidatif yang unggul dan takat tuang yang rendah.
3) Penghasilan poliolester yang menjadi bahan asas boleh ditukarkan kepada produk lain seperti bendalir hidraulik, minyak hidraulik kalis api dan minyak pelincir am hanya dengan bahan aditif seperti antioksidan.
4) Ia lebih murah berbanding produk seumpamanya berasaskan minyak biji sawi atau bunga matahari kerana menggunakan metil ester sebagai bahan permulaan.
5) Produk ini tidak beracun, mesra alam, tidak mengandungi karsinogen.
Kesimpulannya, Malaysia yang merupakan pengeluar minyak sawit utama di dunia juga boleh memanfaatkan teknologi ini untuk meningkatkan penggunaannya selain sebagai bahan pemakanan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.