Sabtu, 28 Januari 2012

Warga emas derita jarum tertinggal dalam perut


ARKIB : 09/02/2009

Warga emas derita jarum tertinggal dalam perut



KULIM 8 Feb. - Seorang warga emas tidak menyangka kesakitan yang dialaminya setiap kali selesai menjamah makanan sejak lebih tiga tahun lalu rupa-rupanya berpunca daripada sebatang jarum yang tertinggal di dalam perutnya. Jarum sepanjang kira-kira empat sentimeter itu ditemui sepasukan doktor Hospital Parit Buntar, dekat sini yang merawat Che Mas Mahmud, 79, selepas dikejarkan ke hospital itu pada 20 Januari lalu. Keluarga Che Mas percaya, jarum tersebut tertinggal dalam perut warga emas itu ketika menjalani dua pembedahan akibat penyakit barah usus di Hospital Taiping, dekat sini pada tahun 2005. Anaknya, Salleh Mohamad, 35, berkata, ibunya itu sering mengadu sakit seperti dicucuk benda tajam sejak tiga tahun lalu, tetapi doktor mendakwa tidak mengesan sebarang objek melalui imbasan yang dibuat sebelum ini. Katanya, sejak itu ibunya jarang menjamah makanan sehingga mengakibatkan berat badannya susut mendadak lebih 30 kilogram. ''Sejak pembedahan (tahun 2005) mak selalu mengadu sakit seperti dicucuk-cucuk dan kami buat beberapa pemeriksaan tetapi tetapi doktor bertegas kata tidak ada apa-apa di dalam perutnya. ''Bila keadaan mak dah semakin teruk baru-baru ini, barulah doktor mengesahkan ada jarum yang tertinggal dan mak ditahan di wad selama tiga hari," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Aping, Serdang, dekat sini hari ini. Salleh berkata, keluarganya merujuk perkara itu kepada Hospital Taiping tetapi penjelasan yang diberi amat mengecewakan apabila dimaklumkan bahawa pihak hospital tidak dapat berbuat apa-apa kerana ibunya agak uzur. Menurut Salleh, doktor sebaliknya hanya menasihatkan supaya ibunya dibawa melakukan pemeriksaan secara berkala di hospital tersebut. ''Doktor ada menyatakan jarum tersebut boleh dibuang melalui pembedahan tetapi menasihatkan kami supaya tidak melakukannya kerana ia berisiko. ''Sepatutnya pihak hospital membuat tindakan susulan yang sewajarnya kerana kesakitan yang dialami ini akibat jarum yang ditinggalkan sendiri oleh pihak hospital," tegasnya. Salleh berkata, keluarganya membuat laporan polis di Balai Polis Bagan Serai, dekat sini semalam kerana mendakwa pihak hospital cuai sehingga menyebabkan bahan itu tertinggal di dalam perut ibunya.

Ubat tamat tempoh punca telinga bernanah


ARKIB : 07/07/2010

Ubat tamat tempoh didakwa punca telinga bernanah

NORIYAH Cheklah menunjukkan ubat titis tamat tempoh yang digunakan anaknya, Nor Shamira Adila Mohd. Shah sehingga menyebabkan sakit telinga anaknya semakin kronik ketika ditemui di Melaka, baru-baru ini.


MELAKA 6 Julai - Seorang suri rumah mendakwa kecuaian kakitangan sebuah klinik swasta di daerah Melaka Tengah memberi ubat yang telah tamat tempoh menyebabkan telinga kiri anak perempuannya bernanah.
Noriyah Cheklah, 32, dari Klebang Besar di sini mendakwa anak tunggalnya, Nor Shamira Adila Mohd. Shah, 8, terpaksa menanggung kesakitan apabila telinganya mengalami kegatalan sehingga mengeluarkan nanah dan berbau.
''Saya membawa Shamira ke sebuah klinik swasta pada 26 Jun lalu dan doktor yang memeriksa memberitahu telinga anak saya mengalami jangkitan dan ada kulat.
''Doktor kemudian memberi tiga jenis ubat iaitu antibiotik, ubat tahan sakit dan sejenis ubat cecair untuk dititiskan ke dalam telinga anak saya dengan bayaran sebanyak RM35," katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat aduan mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu di pejabat Pembela Barisan Nasional (BN) negeri di sini kelmarin.
Menceritakan lanjut mengenai kejadian itu kata Noriyah, selepas tiga hari mendapatkan rawatan di klinik berkenaan, keadaan anaknya tidak menampakkan sebarang perubahan malah sakit telinga yang dihadapinya semakin serius.
''Saya hairan melihat keadaan anak saya semakin teruk malah dalam telinganya berair dan bernanah walaupun sudah diberi ubat.
''Namun, apabila saya amati semula botol ubat titis itu, baru saya sedar ia sudah tamat tempoh sejak Disember tahun lalu. Saya bimbang kemungkinan ubat itu yang menjadi punca sakit telinga anak saya semakin teruk," katanya.
Menurutnya, dia telah membawa anaknya melakukan pemeriksaan dengan doktor pakar telinga di Hospital Melaka.
''Selepas tiga hari menggunakan ubat yang diberikan oleh pihak hospital, bahagian telinga anak saya yang mengalami jangkitan mula kering dan beransur pulih," katanya.
Menurut beliau, tujuan aduan itu dikemukakan kepada Pembela BN ialah untuk memastikan tiada pengguna sepertinya ditimpa masalah yang sama dan dia ingin mendapat pembelaan sewajarnya daripada pihak berkaitan.
''Jika dilihat keadaan anak saya sekarang, sakitnya sudah beransur baik walaupun belum sepenuhnya, tetapi kita tidak tahu apa yang berlaku pada masa depan kesan daripada kecuaian klinik terbabit," katanya
Sementara itu Ketua Penyelia Pembela BN, Amir Hamzah Aziz berkata, pihaknya kesal dengan sikap petugas di klinik terbabit yang cuai memberikan ubat yang sudah tamat tempoh kepada kanak-kanak berkenaan.
''Pihak kami sudah menghubungi klinik terbabit bagi mendapatkan penjelasan dan mereka mengakui kesilapan dan bersetuju untuk membiayai kos perubatan susulan Shamira dengan pakar telinga di hospital," katanya.

tiub bedah tertinggal 3 tahun dalam perut suri rumah


ARKIB : 25/06/2007

Salah siapa? -- Isu tiub bedah tertinggal 3 tahun dalam perut suri rumah

Oleh Diyana Rose Kamalludeen
ALOR STAR 24 Jun – Mana satu yang betul? Isu tiub bedah tertinggal dalam perut sejak 2004 semakin kusut apabila pihak berkuasa kesihatan dan mangsa masing-masing cuba menegakkan benang basah.
Jabatan Kesihatan negeri hari ini mempertahankan pihaknya dengan mendakwa pesakit, Rusinah Yatim ‘menghilangkan’ diri dari Hospital Alor Star (HAS) sebelum prosedur untuk menerangkan mengenai tiub itu dilakukan ke atasnya.
Suami pesakit, Zamil Ibrahim pula menafikan dakwaan itu dengan berkata, “jururawat memaklumkan pesakit boleh balik.’’
‘‘Dia (jururawat) langsung tidak memberitahu ada doktor lain yang akan datang periksa, atau memberikan kami sebarang dokumen seperti kad temu janji dan sebagainya. Saya juga keliru memandangkan isteri baru menjalani prosedur serius.
‘‘Jika kami tahu ada tiub tertinggal di dalam badan Rusinah, tidak logik kami terus meninggalkan hospital kerana masih ada rawatan yang berjalan ketika itu.
“Tindakan hospital menafikan semua itu adalah seperti memperlekehkan kami,” tegasnya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurut Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Hasnah Ismail, Rusinah, 44, tidak berada di dalam wad ketika doktor pakar dan jururawat datang membuat pemeriksaan sebelum membenarkan pesakit pulang, dua hari selepas pembedahan dilakukan.
Kata beliau, melalui rutin itu selalunya doktor akan memaklumkan kepada pesakit untuk datang semula ke klinik untuk pemeriksaan susulan dan mengeluarkan stent atau tiub serta melakukan pula prosedur cystoscopy iaitu ujian bagi melihat saluran kencing selepas tempoh dua minggu.
‘‘Pesakit menjalani prosedur ‘ureterorenoscopy dan lithotripsy’ untuk mengeluarkan batu karang pada ureter (saluran buah pinggang) kiri pada 28 November.
‘‘Selepas itu, satu tiub (Double J Stent) dimasukkan ke saluran sama sebagai sebahagian rawatan untuk memastikan saluran itu sentiasa terbuka agar tidak mengalami kekejangan dan tersumbat namun ia perlu dikeluarkan sebelum tempoh tiga bulan.
‘‘Dalam kes pesakit ini, batu karang di dalam badannya tidak terlalu banyak oleh itu hanya mengambil masa dua minggu untuk mengeluarkannya semula,’’ katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.
Mingguan Malaysia hari ini melaporkan derita yang ditanggung Rusinah selama tiga tahun ekoran seutas wayar (tiub) sepanjang 33 sentimeter tertinggal di dalam perutnya selepas satu pembedahan batu karang di Hospital Alor Star (HAS).
Suri rumah terbabit bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap HAS kerana didakwa cuai sewaktu menjalankan pembedahan ke atasnya bagi menuntut ganti rugi kerana menanggung masalah kesihatan seperti kesakitan pada pangkal rahim dan adakala kencing berdarah.
Menurut Dr. Hasnah, beliau tidak melihat kejadian itu sebagai kecuaian pihak HAS sebaliknya satu masalah komunikasi apatah lagi jururawat bertugas telah berusaha menghubungi pesakit tetapi gagal.
Jelasnya, Rusinah pulang ke rumah tanpa mengambil slip ‘discaj’, kad temu janji dan tanpa menjelaskan bil hospital lalu jururawat bertugas mengepos dokumen berkenaan ke alamat pesakit di Taman Seri Aman, Bedong pada malam 30 November itu.
Tambah beliau lagi, usaha seterusnya untuk berhubung dengan pesakit langsung tidak mendatangkan hasil malah pesakit juga tidak cuba berhubung dengan HAS mengenai masalah kesihatan yang dialami atau datang ke klinik pembedahan HAS sejak keluar.

Suami koma, isteri saman Pusrawi


ARKIB : 03/02/2007

Suami koma, isteri saman Pusrawi

Oleh: AMIRUDDIN HARUN


KUALA LUMPUR 2 Feb. – Seorang juruanalisis sistem Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini menyaman Hospital Pusrawi Sdn. Bhd. dan tiga doktor pakar kerana didakwa cuai setelah beliau tidak sedarkan diri sejak lima bulan lalu sehingga kini akibat kecederaan otak selepas menjalani pembedahan tulang belakang.Roslan Mohd. Ali, 44, dari Dengkil, Selangor yang bekerja di Ibu Pejabat BSN, Jalan Ampang di sini mengemukakan saman tersebut bagi menuntut ganti rugi lebih RM500,000.

Writ saman difailkan melalui firma guaman, Tetuan Cheow Wee di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.Hadir di mahkamah hari ini ialah isteri Roslan, Rosemah Ibrahim bersama empat anaknya berusia dalam lingkungan sembilan dan 16 tahun serta ibu Rosemah, Ramlah Raof, 71, yang berkerusi roda.Dengan linangan air mata, Rosemah ketika ditemui pemberita memberitahu, suaminya yang terlantar di katil hospital itu sehingga hari ini masih belum sedarkan diri walaupun mampu menunjukkan sedikit tindak balas melalui anggota badan.Roslan selaku plaintif menamakan hospital tersebut sebagai defendan pertama, pakar bius, Dr. Ainy Md Aris (defendan kedua) dan dua pakar ortopedik, Dr. Mohd. Ismail Maulud serta Dr. Didi Indra Tjahya, masing-masing defendan ketiga dan keempat.

Dalam pernyataan tuntutannya, Roslan yang aktif bersukan dan mewakili BSN dalam sukan tenis, bola tampar dan boling mendakwa, beliau dimasukkan ke hospital itu pada 2 September lalu untuk mendapatkan rawatan sakit belakang dan telah menjalani pembedahan.Menurutnya, defendan kedua, ketiga dan keempat secara bersama atau berasingan telah melakukan kecuaian yang mengakibatkan tiub pembekal oksigen terkeluar dari saluran pernafasan beliau.Ekoran kejadian itu, plaintif mendakwa pernafasannya terhenti akibat ketiadaan bekalan oksigen dan ujian elektroensefalogram (EEG) mengesahkan beliau mengalami kerosakan otak.Akibat kekurangan bekalan oksigen, dakwa beliau, otaknya gagal berfungsi dengan normal menyebabkannya seperti bangkai bernyawa (vegetative state) yang memerlukan penjagaan berterusan sepanjang hidup.

Plaintif mendakwa, beliau kini mengalami kesakitan, kesengsaraan dan kehilangan nikmat kehidupan setelah terlantar di katil hospital tanpa mampu berbuat apa-apa.Roslan juga mendakwa kerosakan otaknya tidak boleh dipulihkan.Beliau menuntut ganti rugi teladan dan ganti rugi punitif masing-masing berjumlah RM250,000, selain kehilangan pendapatan sebanyak RM5,687 sebulan mulai tarikh pemberhentian kerja berkuat kuasa hari ini.


Suami dakwa hospital cuai bedah isteri


ARKIB : 17/08/2011

Suami dakwa hospital cuai bedah isteri

SUBANG JAYA 16 Ogos - Hasrat seorang suami untuk menyambut Ramadan dan Aidilfitri bersama isteri kesayangannya tidak kesampaian apabila wanita itu kini terlantar di hospital, gara-gara dakwaan kecuaian doktor menjalankan pembedahan apendiks pada 21 Julai lalu.Menurut Koperal Sharifuddin Othman, isterinya, Salmai Ibrahim, 52, sepatutnya menjalani pembedahan membuang apendiks pada 20 Julai lalu selepas dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar, Perlis, ketika sedang menjaga ibu mertuanya yang patah kaki.
"Apendiks isteri saya disahkan sudah pecah ketika itu tetapi dia hanya dibedah pada pukul 3 petang keesokan hari. "Selepas pembedahan, isteri saya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dalam keadaan koma selama dua hari sebelum dipindahkan ke wad biasa dan dibenarkan keluar hospital pada 27 Julai lalu," katanya yang juga Timbalan Ketua Polis Balai Komuniti Taipan, USJ Subang Jaya ketika ditemui di sini hari ini.Pada pukul 8 malam hari yang sama, bagaimanapun, menurut Sharifuddin, isterinya yang ketika itu berada di rumah kakak iparnya di Taman Guru Jaya, Kangar, mengadu sakit dan didapati bahagian jahitan pembedahan di perutnya terbuka sehingga darah mengalir keluar.
Keesokan harinya, isterinya dihantar semula ke HTF dan ditahan di wad tetapi hanya menerima rawatan membersih luka.Dia mendakwa tiada usaha dilakukan oleh doktor untuk menjahit semula tempat pembedahan yang terbuka atau membuat pemeriksaan lanjut terhadap bekas pembedahan itu sehinggalah keadaan isterinya semakin teruk dengan semua jahitan di perutnya terbuka pada 2 Ogos lalu."Isteri saya menderita kesakitan sehingga demam apabila luka di tempat pembedahannya terbuka semula sehingga menampakkan isi perut tetapi doktor hanya membersihkan luka tersebut, memberi ubat demam dan penahan sakit dengan alasan ia proses biasa untuk pulih," katanya.
Dia yang tidak berpuas hati dengan layanan hospital itu kemudian memindahkan isterinya ke Pusat Perubatan Kedah di Alor Setar, pada hari sama. "Tiba di situ, doktor memaklumkan keadaan isteri saya sudah tenat kerana usus yang disambung selepas pembedahan sebelum ini pecah dan membengkak, malah dia akan meninggal dunia jika tidak dirawat segera," katanya.Ekoran itu, isterinya sekali lagi terpaksa dibedah bagi menyelamatkan nyawanya pada keesokan hari.
Sharifuddin berkata, pembedahan kedua di pusat perubatan itu berjaya menyelamatkan isterinya tetapi dia belum dibenarkan keluar hospital sehingga kini dan berkemungkinan terpaksa berhari raya di hospital.Memandangkan mereka sekeluarga tinggal dan bekerja di Subang Jaya, salah seorang anak perempuannya terpaksa berhenti kerja di sebuah bank untuk membolehkannya menjaga ibunya yang terlantar di Pusat Perubatan Kedah.Sharifuddin mendakwa sudah bertemu dengan Pengarah HTF untuk mengadu tentang kecuaian kakitangannya tetapi tiada maklum balas diperoleh sehingga kini.Dia yang kecewa dengan kecuaian dan sikap lepas tangan pihak HTF kini dalam proses mendapatkan peguam untuk menyaman hospital berkenaan.