Ahad, 29 April 2012

MENANGANI LESU DISEBABKAN KIMO / RADIOTERAPI


MENANGANI LESU DISEBABKAN OLEH RAWATAN KANSER

Risalah ini meliputi soalan yang lazim tentang lesu yang disebabkan oleh rawatan kanser. Rasa lesu merupakan rasa amat letih yang dialami oleh banyak orang yang menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi. Sesetengah orang yang menjalani pembedahan, terapi hormon atau imunoterapi juga mengalami lesu akibat rawatan tersebut. Lesu merupakan kesan sampingan rawatan kanser yang paling lazim dialami oleh pesakit. Lesu disebabkan rawatan kanser berbeza daripada rasa letih yang dialami setiap hari. Ia boleh berlaku secara tiba-tiba. Tidak seperti rasa letih yang biasa, ia tidak semestinya disebabkan oleh melakukan senaman atau aktiviti harian yang lama. Biasanya rehat tidak dapat melegakan lesu. Lesu boleh menyusahkan dan mengganggu kehidupan anda. Setiap orang mempunyai simptom yang berlainan. Orang yang mengalami lesu yang disebabkan oleh rawatan kanser menyatakan berasa lemah, penat, mengantuk, keliru atau tidak sabar. Ada orang yang berasa tidak boleh bergerak. Ada pula yang berasa tangan dan kakinya lemah atau
sakit dan rasa tidak puas bernafas, meskipun selepas membuat aktiviti yang ringan. Bagi kebanyakan orang lesu yang disebabkan oleh rawatan kanser amat berbeza daripada apa jua lesu yang pernah mereka alami.

Bagaimanakah rasanya?
Lesu boleh menjejaskan fikiran dan perasaan anda.
Anda mungkin perlu banyak tidur.
Tubuh anda mungkin berasa letih, emosi dan/atau fikiran juga berasa letih.
Tubuh anda, terutamanya kaki dan tangan anda mungkin berasa berat.

Bagaimanakah ia boleh menjejaskan anda?
Anda mungkin tidak berapa ingin hendak melakukan aktiviti biasa, seperti makan atau membeli-belah.
Anda mungkin berasa sukar untuk memberi tumpuan atau berfikir dengan jelas. Lesu ini boleh disebabkan oleh beberapa masalah. Kemoterapi biasanya akan menyebabkan kurang darah atau anaemia. Ini bermakna hanya sedikit sel darah merah sahaja yang berfungsi membawa oksigen ke seluruh tubuh anda. Radioterapi dan kehilangan darah semasa pembedahan juga boleh menyebabkan anaemia. Perkara lain yang berkaitan dengan penyakit anda juga boleh menyebabkan anda berasa letih: tidur tidak lena, stres, murung, mengalami infeksi, sesetengah ubat, tidak bersenam, dan tidak makan dengan sempurna. Sesetengah perkara yang menyebabkan lesu ini boleh dirawat, oleh itu anda perlu berbincang dengan doktor.

Jika anda berasa lesu, akuilah hakikat ini dan beritahu terus terang kepada orang lain. Tanya doktor jika ada rawatan yang boleh membantu anda.

Bagaimanakah orang menanganinya?
Cuba idea ini:
Tetapkan apa yang hendak dibuat kecil-kecilan dahulu dan yang terdaya dilakukan.
Apabila anda merancang apa yang hendak dibuat setiap hari, jangan lupa tentang waktu rehat. Catatkan apa yang anda rasa. Contohnya, jika anda berasa letih pada waktu pagi, rancanglah untuk berehat pada waktu tersebut.
Tidur atau berehat sekejap-sekejap  beberapa kali daripada berbuat sedemikian dalam masa yang lama.
Jangan buat kerja lebih daripada yang terdaya. Berhenti sebelum anda berasa letih.
Makanlah sebaik mungkin dan minum banyak cecair atau jus buah / jus sayuran. Ada orang mendapati memakan banyak buah-buahan dan sayuran serta makanan jenis bijirin (seperti nasi, mi, dll.) membuatkan mereka berasa lebih bertenaga. Pakar pemakanan dapat membantu jika anda hendak menukar memakan makanan lain yang tidak lazim dimakan.
Merokok boleh mengurangkan tenaga. Jika anda merokok, berbincanglah dengan doktor tentang cara hendak berhenti merokok.
Bersenamlah setakat yang anda terdaya. Senaman boleh membuatkan anda kuat dan berasa bertambah sihat. Jika anda tidak pernah bersenam, anda boleh mulakan dengan berjalan perlahan-lahan, mula-mula selama lima hingga sepuluh minit dan beransur-ansur menambahkan masa setakat yang anda terdaya. Anda juga boleh cuba lakukan senaman ringan yang lain.
Jika anda memang biasa melakukan senaman yang berat, cuba lakukan senaman yang lebih mudah dan pendek masanya yang anda suka. Contohnya, jika dahulu anda suka berlari, sekarang cuba yoga atau tai ci.
Cuba lakukan perkara yang membuat anda riang. Keriangan ketika ketawa bersama kawan-kawan atau bermain dengan haiwan kesayangan anda boleh menceriakan anda.
Mendengar muzik, membaca dan bertafakur tidak memenatkan badan sebaliknya boleh membuat anda berasa relaks.
Buat apa yang anda perlu dan mahu buat. Jika ada orang sekeliling anda yang boleh dan mahu membantu anda, biarlah mereka buat sesetengah kerja yang lazim anda buat.
Jika perlu hadkan bilangan orang yang datang melawat anda.
Elakkan stres: teknik untuk relaks dan bersenam boleh membantu mengurangkan stres yang tidak dapat dielakkan.
Hubungi KanHelp Line di 03-8947 2706 supaya dapat dihubungkan kepada sukarelawan KanLink yang boleh berkongsi pengalaman mereka tentang cara menangani masalah ini.
Sertailah kumpulan sokongan. KanHelp Line boleh memaklumkan tentang kumpulan sokongan yang berhampiran. Bercakap tentang perasaan anda akan dapat meringankan rasa lesu, dan anda juga dapat mendengar bagaimana orang lain yang mengalami masalah seperti anda dapat mengatasinya.


Di bilik air
Duduk apabila mandi dan mengelap badan.
Mandi terlalu lama boleh menyebabkan anda berasa lebih letih.
Letakkan peralatan untuk mandi di tempat yang anda mudah capai.
Pasang tempat berpaut dan berpegang di tempat mandi dan jamban.
Gunakan span dan berus mandi yang panjang pemegangnya.
Pasangkan tempat duduk yang tinggi di atas jamban.

Memakai pakaian
Rancangkan apa yang anda hendak pakai dan sediakan pakaian tersebut sebelum memakainya.
Pakai pakaian sambil duduk dan cuba
elakkan daripada membongkok ketika
berdiri.
Pakai pakaian yang longgar dan kasut
bertumit rendah.

Kerja rumah dan bekebun
Cuba dapatkan tukang cuci rumah dan
tukang kebun.
Biarkan keluarga atau kawan bantu.
Rancangkan kerja yang hendak dilakukan untuk seminggu (contohnya, sehari mem-basuh, di hari yang lain memvakum lantai) supaya anda tidak melakukan banyak kerja dalam sehari. Kurangkan kerja anda
daripada biasa!
Jika boleh, buat kerja sambil duduk.

Membeli-belah
Gunakan troli bukannya bakul.
Minta kedai hantarkan barangan belian ke rumah. Anda boleh membuat pesanan dari rumah.
Minta tolong. Membelilah di kedai yang pekerjanya baik dan boleh menolong anda membawa barangan belian ke kereta anda.
Pergilah membeli-belah semasa waktu ti-dak sibuk (pagi atau sebelum petang).
Susunkan senarai barangan yang hendak dibeli mengikut lorong barangan diletak di kedai sekiranya anda telah biasa dengan kedai itu.

Panduan untuk mengurus aktiviti harian

Penyediaan makanan
Gunakan makanan dingin beku.
Sediakan makanan yang tidak susah
dimasak: makanan dalam tin seperti sar-din, tuna dan salmon; salad; telur dadar dan telur hancur; kentang bakar; sayur kukus; sayur goreng; dan salad buah-buahan adalah makanan sihat yang mudah disediakan.
Susun barang-barang untuk memudahkan anda mengambilnya dengan tidak perlu membongkok. Simpan periuk dan peralatan memasak yang selalu digunakan di atas bangku bukannya di dalam almari.
Jika anda mampu, pesan makanan dari kedai. Terimalah undangan untuk makan bersama keluarga dan kawan-kawan.
Rendam pinggan mangkuk sebelum
mencucinya, jangan menyentalnya dan biarkan ia kering sendiri. Cuci pinggan mangkuk setiap kali lepas makan supaya tidak tertimbun nanti.
Jika anda masak sup atau sos pasta, masak lebih sedikit supaya sebahagiannya boleh didingin beku.

Menjaga anak
Ajak anak-anak bermain di tempat yang anda boleh duduk: melukis gambar,
bermain permainan yang menggunakan papan permainan, permainan di komputer dan membaca.
Minta anak-anak naik ke riba anda, jangan angkat mereka.
Beri anak makan searas dengan mereka (seperti di meja permainan) jika mereka terlalu kecil untuk memanjat kerusi makan di rumah anda.
Aturkan orang menjaga anak-anak supaya anda ada masa untuk rehat.


 Di tempat kerja
Jika anda mengalami lesu yang disebabkan oleh rawatan kanser dan mendapati sukar untuk menjalankan tugas, cuba bincang dengan majikan anda sama ada masa kerja anda boleh diubah suai.
Jika lesu yang dialami menyebabkan anda sukar hendak bekerja, pertimbangkanlah untuk mengambil cuti atau mengurangkan waktu bekerja untuk jangka pendek.
Jika boleh, rancang untuk bekerja secara bersungguh-sungguh apabila anda berasa bertenaga dan rancang untuk merehatkan diri apabila anda berasa penat.
Jika pekerjaan anda melibatkan banyak aktiviti yang perlukan anda untuk membongkok dan bergerak, pertimbangkanlah untuk menukar tugas anda untuk jangka pendek.
Elakkan daripada membongkok dan mencapai benda dengan meletakkan barang yang anda selalu gunakan di tempat yang mudah dicapai. Jika perlu membongkok untuk mengambil
sesuatu, duduk bertinggung, jangan membongkok dari pinggang. Gunakan kereta tolak untuk mengalihkan barang yang besar.
Jika boleh, minta orang lain buatkan kerja yang anda dapati sukar untuk melakukannya.

Santai
Keluar dengan teman lebih mudah daripada keluar bersendirian.
Buatlah sesuatu secara beransur-ansur dahulu; apabila rasa lesu semakin kurang barulah buat aktiviti yang lebih besar.
Rancang masa rehat antara masa melakukan aktiviti.
Cuba jangan terlalu memenatkan badan.

Adakah rehat sentiasa yang terbaik?
Keluarga dan kawan-kawan mungkin menasihati anda supaya ‘bersenang-senang’ dan ‘berehat banyak-banyak’. Tetapi berbaring di tempat tidur terlalu lama boleh menyebabkan anda berasa lebih letih. Jika anda rehat terlalu lama, otot anda akan menjadi lemah dan anda akan mendapati sukar untuk bergerak aktif bila anda hendak berbuat demikian. Oleh itu, cara yang terbaik ialah sentiasa aktif sedaya mungkin.
Berbincanglah dengan doktor atau jururawat tentang berapa banyak rehat di tempat tidur dan senaman yang mereka cadangkan.
Orang lain tidak akan faham bahawa rehat tidak semestinya boleh menghilangkan lesu. Oleh itu, elok kalau anda beritahu mereka bagaimana lesu ini berbeza daripada letih biasa.
Bercakaplah dengan doktor sebelum memulakan program senaman. Bincangkan tentang cara lain untuk menangani lesu dan meneruskan kehidupan sedapat-dapatnya seperti biasa.

Bilakah saya perlu berbincang dengan doktor atau jururawat?
Beritahu doktor atau jururawat jika anda:
berasa pening
berasa hendak jatuh ketika berjalan atau bangun dari katil atau kerusi
jatuh atau cedera
berasa sakit-sakit badan
kurang bertenaga
susah bangun tidur
terlalu letih untuk meninggalkan tempat tidur selama dua puluh empat jam
berasa lesu yang semakin teruk
berasa mengah
berasa keliru atau tidak dapar berfikir dengan jelas
susah hendak tidur


KanWork   03-8947 2706

http://www.ipsas.upm.edu.my/kanwork/
http://www.cancereducation.org.my/

Cancer Resource Centre
Aras G, Bersebelahan Pusat Sumber Diabetes, Hospital Putrajaya,
Putrajaya, Malaysia. +603-8312 4200 ext 1105

Projek Usahasama CaEd, Malaysia dan The Cancer Council Victoria, Australia
Diterjemah daripada penerbitan: Penterjemah: Ramlah Muhamad
Anda mungkin akan dapati lesu mula berkurang apabila rawatan kanser anda berakhir. Walau
bagaimanapun, ada orang yang masih berasa lesu selepas beberapa lama rawatan berakhir.
Kadangkala lesu akan berhenti tetapi kemudian akan datang lagi. Anda perlu bersabar jika anda lambat pulih tidak seperti yang diharapkan. Jika lesu ini menyebabkan anda runsing, bercakaplah dengan doktor atau jururawat. Mereka mungkin boleh menganggarkan berapa lama anda akan menghadapi lesu itu.

Bilakah lesu akan bertambah baik?
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi KanHelp Line di 03-8947 2706. Perkhidmatan ini merupakan perkhidmatan sulit yang dikendalikan oleh jururawat kanser. 

Tiada ulasan:

Catat Komen

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.