Ahad, 10 Februari 2013

Terkena sisa Radioaktif


 


SHAH ALAM: Laporan empat pekerja sebuah syarikat pengeluar radio farmaseutikal di selangor yang terkena sisa radioaktif pada 2 Jun lalu, mengakibatkan rasa bimbang di kalangan orang awam.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong berkata, sejak berita itu disiarkan, pejabatnya dihubungi pelbagai pihak yang merasa risau dan meminta penerangan mengenai kejadian berkenaan.

“Malangnya, usaha pejabat saya mendapatkan maklumat terperinci mengenai kejadian tersebut dari pihak Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) tidak berjaya.

“Pihak AELB hanya sekadar memberi jaminan mulut bahawa situasi tersebut berada di bawah kawalan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar itu dalam satu kenyataan media.

Kelmarin, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili berkata, Operasi syarikat berkenaan diberhentikan dan premisnya disita oleh AELB untuk siasatan lanjut berikutan empat pekerjanya dikesan dicemari bahan radioaktif.

Pencemaranitu dikesan melalui Sistem Pemonitoran Sinaran Portal (RPM) pada 2 Jun lalu, ketika keempat-empat pekerja tersebut datang ke AELB untuk berurusan dengan Bahagian Perlesenan.

Menurut Elizabeth, kerajaan Selangor perlu diberi malumat penting seperti lokasi kilang tersebut, jenis bahan radioaktif dan laporan terkini status pencemaran.

“Saya menyeru pihak AELB dan kementerian untuk berterus-terang dengan rakyat dan Kerajaan Negeri Selangor supaya semua pihak mempunyai gambaran yang jelas.

“Budaya ketelusan wajib diamalkan dalam semua lapisan kerajaan, terutamanya dalam situasi sebegini yang bakal melibatkan keselamatan awam. Tindakan merahsia kan maklumat dari rakyat hanya meningkatkan rasa panik dan bukan sebaliknya,” tegasnya.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.