Isnin, 26 Disember 2011

Bahaya BPA dalam botol susu


Bahaya BPA dalam botol susu

ARKIB UTUSAN : 21/04/2011

Oleh ZUHAYATI YAZID


GESAAN Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) agar kerajaan mengharamkan serta-merta penjualan botol susu polikarbonat yang mengandungi Bisphenol A (BPA) telah membangkitkan semula perbincangan terhadap isu tersebut.Bagi CAP pengharaman itu perlu kerana penggunaan botol tersebut boleh menyebabkan gangguan terhadap sistem hormon termasuk fungsi tubuh bayi dan kanak-kanak.Isu kandungan BPA dalam botol susu sebenarnya bukan perkara baru. Beberapa negara telah lama mengharamkan penggunaannya. Di Malaysia, Kementerian Kesihatan hanya akan menguatkuasakan larangan penggunaannya pada 1 Mac 2002 kerana merasakan belum ada keperluan untuk mengharamkannya serta merta.  Untuk itu Penolong Pengurus Kualiti, Standard dan Informasi Persatuan Pengguna Standard Malaysia, Sam Wong Chin Kah, menggesa pengguna terutama ibu bapa membuat persediaan awal dan bijak dengan menukarkan penggunaan botol polikarbonat yang mengandungi BPA kepada botol bebas kandungan kimia tersebut. Ini bertujuan melindungi kumpulan berisiko tinggi iaitu bayi dan kanak-kanak berumur hingga tiga tahun pada masa hadapan. Jelas beliau, BPA sebenarnya merupakan unsur yang akan mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan manusia. Ia adalah bahan kimia yang ditambah dalam botol susu bayi polikarbonat untuk menjadikannya keras dan lutsinar. Manakala polikarbonat pula merupakan sejenis plastik yang digunakan dalam pembuatan produk pengguna. Kebiasaannya, BPA digunakan oleh industri kimia dalam pembuatan plastik polikarbonat yang bertujuan untuk menghasilkan botol susu bayi, bekas makanan dan minuman. "BPA merupakan bahan perosak sistem endokrin yang merupakan himpunan kelenjar yang merembes bahan kimia perutusan dikenali sebagai hormon. "Antara gangguan hormon dalam tubuh yang berlaku seperti penghasilan sperma yang rendah, diabetes, kanser prostat, masalah keguguran dan juga pencapaian akil baligh yang awal di kalangan kanak-kanak,'' ujarnya. Menurut Chin Kah lagi, botol susu mengandungi BPA dan yang bebas bahan kimia tersebut boleh dibezakan melalui kod kitar semula yang tertera pada botol berkenaan."Bagi yang mengandungi BPA kod kitar semulanya ialah 3, 6 dan 7, manakala kod botol bebas BPA pula ialah 1, 2, 4 dan 5. "Namun masih terdapat pertikaian tentang kod kitar semula ini. "Oleh itu, kod kitar semula hanya boleh digunakan sebagai rujukan. Pengguna dinasihatkan supaya menggunakan pertimbangan mereka apabila memilih botol susu bayi "Jika kod kitar semula adalah 3, 6 dan 7, kelihatan ringan, tahan lasak, serta mempunyai tahap kejelasan optik yang tinggi, maka ia besar kemungkinan mengandungi BPA,'' jelasnya.  Beliau turut menasihatkan kepada ibu bapa yang masih menggunakan botol susu mengandungi BPA, agar tidak memasukkan air panas terus ke dalam botol. Ini kerana, air panas akan membuatkan BPA akan terlarut secara perlahan dan meresap ke dalam susu atau minuman lain dalam botol tersebut. Selain itu, basuh botol dengan span lembut bagi mengelakkan botol tercalar. "Botol yang tercalar akan memudahkan BPA terlarut dan bercampur dengan minuman di dalamnya," katanya. Chin Kah juga menasihatkan pengguna agar berhati-hati terhadap botol yang tanpa label dan mempunyai gambar-gambar menarik serta berwarna-warni. Ini disebabkan botol yang tanpa label mungkin dibuat daripada sumber yang tidak diketahui dan pewarna yang berbahaya.  Keadaan ini, apabila dicampur dengan larutan panas, bahan kimia akan larut dengan cepat dan masuk ke tubuh secara disedari."Belilah hanya botol yang mempunyai label yang menyatakan dengan jelas kandungan serta serta tempat pembuatannya,'' ujarnya serius.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.