Rabu, 21 Disember 2011

Penggunaan Pewarna Makanan Rhodamine B dalam belacan


Penggunaan Rhodamine B dalam belacan

ARKIB UTUSAN MALAYSIA : 11/08/2010

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat beberapa kes terpencil penggunaan pewarna Rhodamine B di dalam belacan yang dijual di pasaran dengan kebanyakannya di Sarawak. Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, hanya empat sampel daripada 384 sampel yang diuji sepanjang 2008 disahkan positif menggunakan pewarna tersebut, dengan tiga kes di Sarawak dan satu di Johor. Katanya, sepanjang 2009 pula, hanya dua sampel daripada 115 sampel yang diuji disahkan positif Rhodamine B, kedua-duanya di Sarawak dan pengusaha terbabit telah dikenakan tindakan tegas termasuk didakwa di mahkamah. "Pewarna untuk warna merah jambu ini hanya dibenarkan untuk produk plastik atau tekstil dan tidak dibenarkan sama sekali dicampur dalam makanan. Pihak yang terlibat boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali."Kami berterima kasih kepada pihak yang mengutarakan perkara ini kepada kementerian dan para pengguna juga diharap dapat melaporkan sebarang keraguan penggunaan bahan terlarang dalam makanan kepada kementerian," katanya selepas merasmikan Kempen Keselamatan Makanan 2010 di sini hari ini. Tambah Tiong Lai, orang ramai juga boleh melayari laman web http://fsq.moh.gov.my untuk mendapatkan maklumat berhubung aktiviti kawalan keselamatan dan kualiti makanan yang dijalankan Kementerian Kesihatan. Perkara tersebut dibangkitkan beberapa media minggu lalu termasuk KOSMO! yang melaporkan maklumat dari Persatuan Pengguna Pulau Pinang mengenai kandungan Rhodamine B dalam belacan boleh menyebabkan barah. Dalam pada itu, Tiong Lai memaklumkan negara masih bebas daripada ancaman melamin di dalam produk susu mahupun pencemaran Coliform dan Escherichia coli (E. coli) di dalam biskut yang diimport dari China. "Mengenai khabar angin melamin di dalam susu seludup, saya menegaskan kita tidak mengimport susu dari China dan pemantauan kementerian terhadap produk tenusu dan produk 3 dalam 1 tidak mengesan sebarang kandungan melamin. "Pihak berkuasa di China juga semalam telah mengesahkan biskut berjenama Want Want yang dicemari Coliform dan E. Coli datang dari kilang di daerah Shandong sementara Malaysia mengimport dari kilang di Guangzhou," ujarnya. "Oleh itu, kementerian memberi jaminan bahawa tahap keselamatan dan kualiti makanan yang masuk ke dalam negara ini adalah pada tahap yang terkawal," ujarnya. Menurut Tiong Lai, buat masa ini, pihak kastam masih terus memantau sebarang penyeludupan susu dan produk makanan di kawasan sempadan sementara pemeriksaan biskut berjenama Want Want kini diturunkan dari pemantauan tahap 5 kepada tahap 4.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.