Selasa, 21 Februari 2012

Datin Rafeah Buang


Berita Harian - 25 Julai 2002
Oleh Sariha Mohd Ali
PEKAN, Rabu: Penyanyi veteran, Datin Rafeah Buang , yang ulang tahun kelahirannya ke-55 esok, meninggal dunia ketika tidur di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kira-kira jam 3.30 pagi ini. Allahyarham, yang dilahirkan pada 25 Julai 1947 di Singapura, berkongsi tarikh lahir dengan suaminya, Datuk Tengku Asmawi Tengku Hussain, 57. Malah, esok juga adalah ulang tahun perkahwinan mereka ke-31 selepas diijabkabulkan pada 1971.

Rafeah, yang disahkan menghidap barah pada awal tahun ini, meninggalkan dua anak, Tengku Ahmad Ashraf, 30, dan Tengku Khairil Ashraf, 29, serta seorang anak angkat, Nur Iman Soleha, 6. Anak bongsunya, Tengku Ameerrul Ashraf meninggal dunia pada 1996 ketika berusia 11 tahun. Penyanyi yang popular menerusi lagu-lagu seperti ‘Kenangan di Rantau Abang’, ‘Petaling Jaya’, ‘Hati Ku Kau Curi’, ‘Udang Sama Udang’, ‘Suka Sama Suka’, ‘Jinak Merpati’, ‘Bila dikasihi’, ‘Cinta Zaman Sekarang’ dan ‘Don Juan’ ini, pernah mewarnai persada seni tanah air selama tiga dekad sehingga awal 80-an. Jenazah Allahyarham, yang diterbangkan dari stesen Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi dan tiba di lapangan terbang TUDM Kuantan pada jam 10 pagi ini, dikebumikan di Makam Diraja Pekan, bersebelahan pusara Tengku Ameerrul Ashraf, petang ini. Tengku Asmawi ketika ditemui pemberita di kediamannya di Sungai Miang di sini berkata, isterinya mengalami sesak nafas sebelum meninggal dunia di sisi seorang pembantu yang ditugaskan menjaganya sepanjang menerima rawatan di hospital itu. Beliau berkata, anak sulung mereka, Tengku Ahmad Ashraf, yang ketika itu berada di rumahnya di Pandan Indah, bergegas ke hospital selepas dimaklumkan mengenai kematian ibunya. Rafeah dimasukkan ke HKL pada 22 April lalu untuk menjalani rawatan kimoterapi dan kemudian dimasukkan ke Hospital Pakar Selayang kerana menghadapi masalah kesukaran untuk makan. "Keadaannya lemah selepas dirawat selama lima hari di Hospital Selayang untuk menjalani proses memasukkan tiub ke dalam perutnya berikutan tali perutnya mengecil. "Allahyarham keluar dari Hospital Selayang dan dimasukkan semula ke HKL tiga hari lalu. Ketika itu, makanan hanya dimasukkan melalui tiub,” katanya. Kali terakhir Tengku Asmawi menemui isterinya itu ialah Jumaat lalu di Hospital Selayang. Beliau terpaksa berada di sini kerana menjadi Penghulu Adat sempena perkahwinan diraja Tengku Muda Pahang dijadualkan Sabtu ini. Tengku Asmawi berkata, penyakit Rafeah itu disedari selepas Allahyarham menjalani rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan pada 2 Januari lalu kerana sakit dada.
Pemeriksaan doktor mendapati ada kanser pada saluran darah di tulang belakangnya. Rafeah, yang turut disahkan mengalami ulser di bahagian usus dan buah pinggang, kemudian menjalani rawatan kimoterapi di HTAA pada 28 Januari. Pada 4 Februari, Allahyarham diterbangkan dengan penerbangan ihsan TUDM ke HKL untuk rawatan kimoterapi kedua. Pada 1996, Rafeah pernah dirawat kerana menghidap barah rahim.

Turut menziarahi dan memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham ialah Sultanah Pahang, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Puan Pahang, kerabat diraja, isteri Menteri Besar, Datin Seri Junaini Kassim, isteri Menteri Penerangan, Puan Sri Zurina Kassim dan pakar masakan Chef Wan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.