Ahad, 9 September 2012

Cho badang 80 tahun


Cho badang 80 tahun

MESKIPUN garisan penuaan sudah terpancar di wajahnya, lelaki Cina berusia 80 tahun ini ternyata berbangga dengan dirinya sendiri. Otot tubuh Lawrence Cho kelihatan masih pejal dan berketak. Baru-baru ini, Cho yang berasal dari Batu Pahat, Johor, memenangi tempat ketiga bagi kategori Super Master dalam Kejohanan Bina Badan Kuala Lumpur 2012. Kategori bagi peserta berusi 55 tahun ke atas itu dimenangi oleh Mohamad Razali yang berusia 56 tahun manakala peserta berusia 65 tahun, Henry Lim menduduki tempat kedua.

Bertemu Cho di Super Body Fitness Centre iaitu gimnasium miliknya yang terletak di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, terbukti ada sisi berbeza mengenai datuk kepada 11 orang cucu ini. "Saya tidak suka makan makanan segera dan mahu kekal aktif dalam sukan bina badan walaupun sedar saya semakin tua," ujar Cho yang mudah tersenyum.

Menurut Cho, beliau menceburi bidang tersebut semasa berusia 55 tahun iaitu ketika ramai rakan sebayanya yang memilih untuk menghabiskan masa berehat di rumah sahaja. "Sebenarnya saya terpengaruh dengan rakan saya yang juga ahli sukan bina badan bernama Sunny Phua. Dia pernah memenangi tempat ketiga dalam satu pertandingan bina badan pada tahun 1963.

"Phua banyak mendorong saya supaya terlibat dalam sukan ini," cerita Cho. Sekalipun rambutnya mula gugur dan dipenuhi uban, Cho masih tegap dan kuat. Melihat penulis yang agak kepenatan selepas menaiki tangga untuk menuju ke premisnya, Cho lantas menegur: "Hai orang muda, awak perlu lebih bertenaga dan kuat." Teguran itu membuatkan penulis berasa malu kerana usia penulis 50 tahun lebih muda daripadanya.

Cho memberitahu, sejak kecil beliau sudah obses dengan sukan terutamanya badminton, renang dan olahraga. Bekas pegawai sebuah bank tempatan ini menceritakan, selepas bersara daripada kerjaya formal itu, sukan bina badan adalah yang paling sesuai untuknya. "Jika main bola sepak saya perlu berlari dan melibatkan banyak pergerakan fizikal. Bina badan hanya memerlukan anda menjaga pemakanan selain latihan yang tidak ekstrem tetapi kerap.

Bina badan. "Malah, anda tidak perlu menghabiskan masa yang lama di gimnasium, cukup sekadar yang mampu. Lagipun saya memiliki pusat kecergasan sendiri," beritahu Cho. Pencapaian 'lelaki badang' ini boleh dibanggakan kerana beliau pernah menjadi juara Mr. Kuala Lumpur 2001 bagi kategori melebihi 45 tahun. "Saya banyak menyertai pertandingan tetapi kemenangan bukan matlamat utama. Saya cuma ingin menjaga kesihatan selain berkenalan dengan orang lain. "Tidak rugi bersahabat dengan ramai orang. Banyak pengalaman dan pengajaran yang kita peroleh. Apa sahaja yang kita lakukan, fikirkanlah sudut positifnya," ujar beliau.

Cho juga memberitahu, beliau sedih melihat rakan-rakan seusia yang mula mendapat penyakit selain meninggalkannya terlebih dulu. "Kematian itu satu yang pasti tetapi lebih baik apabila pada usia tua, badan kita masih sihat serta tidak menyusahkan orang lain. Malangnya, ada rakan yang tidak mampu berjalan dan sering sakit-sakit. "Saya tersentuh apabila seorang rakan memberitahu, dia banyak wang tetapi semua itu tidak berguna kerana hidup terlantar di rumah sahaja," ujarnya. Cho mendakwa beliau tidak menghidap penyakit kronik. "Demam dan selesema itu biasalah, saya bukan Tuhan dan tidak kebal. Pergi klinik, makan ubat kemudian pulih seperti biasa," cerita Cho.

Beliau yang gemar memakai seluar jean dan baju-T berkata, beliau melakukan latihan setiap minggu iaitu selama dua hingga tiga jam untuk setiap sesi. Bagaimanapun, sebahagian besar masa hujung minggunya dihabiskan bersama cucu dan anaknya. Penulis sempat meminta satu perkara pelik untuk dilakukan Cho iaitu mengangkat cucunya, Danny Cho yang berusia 27 tahun. Berat badan Danny ialah 65 kilogram dengan ketinggian 160 sentimeter, hampir sama dengan tubuh datuknya Cho. Ternyata Cho mampu mendukung Danny selama lebih 10 minit!

Ketika ditanya soalan sama ada ramaikah wanita muda yang terpikat dengan badannya yang tegap itu, Cho tersenyum. "Saya sudah tua dan sayangkan mendiang isteri. Bukan tidak ada yang cuba memikat. Malah ada daripada banyak kaum termasuk wanita Eropah. "Ada pula yang asyik menelefon dan menghantar SMS. Tetapi cukuplah dengan kehidupan sedia ada. Jangan rosakkan untuk kehendak yang tidak mendatangkan kebaikan," tutur Cho.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0701&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_07.htm




Pak Long genap seabad


Oleh Siti Azila Alias
am@hmetro.com.my

BUKIT MERTAJAM: Seorang warga emas dari Kampung Tanah Liat Mukim 8 di sini, dianggap bertuah apabila masih dipanjangkan umur untuk meraikan ulang tahun kelahiran ke-100 pada tarikh keramat, semalam (12.12.2012). Dilahirkan 12 Disember 1912, Othman Daud mesra disapa Pak Long, masih sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit, malah ingatan dan penglihatannya masih jelas. Buktinya, dia masih mampu membaca dengan baik tanpa menggunakan cermin mata dan boleh menulis dalam tulisan Jawi. Othman berkata, dia tiada sebarang petua khusus tetapi setiap hari bangun seawal jam 6.30 pagi dan memulakan rutin harian mengayuh basikal tua sejauh satu kilometer dari rumah untuk ke sawah diusahakan sejak zaman muda. Katanya, dia pulang sekitar jam 11 pagi untuk makan tengah hari dan keluar semula ke sawah jam 3 petang. “Pak Long tiada petua tapi sejak muda lagi suka makan pucuk ulam maman yang dibuat kerabu dan minum kopi ‘O’ serta air suam. “Alhamdulillah, mungkin amalan ini membuatkan Pak Long kekal sihat dan dengan izin Allah dipanjangkan usia hingga ke hari ini,” katanya pada majlis tahlil meraikan ulang tahun kelahirannya di kediamannya, semalam.

Anak sulung 12 beradik hasil perkongsian hidup pasangan Aishah Talib dan Daud Hasan yang sudah meninggal dunia itu kini tinggal bersama anak saudaranya, Faridah Ariffin, 44, yang juga ibu tunggal dan bekerja sebagai operator pengeluaran selain cucu saudaranya yang berusia 10 tahun. Manakala, tiga saudaranya iaitu Mah, 97, Bedah, 71, dan Romlah, 75, berkahwin dan tinggal berasingan. Meskipun sudah mencecah seabad, tidak sesekali terlintas baginya berumahtangga kerana takut melihat ramai berkahwin sering bergaduh hingga ada yang bercerai.

 

 

 

 









 

Tiada ulasan:

Catat Komen

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.