Rabu, 13 Jun 2012

usm hasil ekstrak herba rawat kanser




GEORGETOWN: Sekumpulan penyelidik Pusat Pengajian Sains Farmasi Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menghasilkan ekstrak herba piawai daripada pokok Misai Kucing bagi merawat penyakit kanser.

Ekstrak yang dikenali Canssufive itu dibangunkan penyelidik diketuai Dr Amin Malik Shah Abdul Majid dengan kerjasama Prof Zahri Ismail serta penyelidik sarjana dari Iraq, Hayder Sahib. Produk itu yang mempunyai kadar antioksidan yang tinggi, terbukti dapat merencat pertumbuhan pembuluh darah dalam kajian sel kultur dan juga haiwan. Ini penting kerana satu cara untuk merawat kanser ialah dengan menghalang pertumbuhan pembuluh darah sel tumor.

Canssufive juga menunjukkan kesan memberangsangkan terhadap kanser payu dara apabila diberikan dengan ejen kemoterapi. Bercakap dalam sidang media di USM di sini, semalam, Dr Amin berkata produk itu yang dihasilkan dalam bentuk pil, boleh ditelan atau dilarutkan dalam air sebelum diminum. Beliau berkata, projek berkenaan dibangunkan selama dua tahun membabitkan peruntukan berjumlah RM1.5 juta yang dibiayai daripada geran USM, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan Kerajaan Perlis.

Katanya, produk terbabit mampu merawat penyakit kanser dengan kos lebih murah dan mampu dibeli golongan berpendapatan rendah dengan kos disasarkan sekitar RM50 sebotol. “Ia juga tidak memberi kesan sampingan yang tinggi berbanding rawatan kanser digunakan ketika ini seperti kemoterapi yang menggunakan bahan kimia beracun untuk menghalang penumbuhan sel kanser,” katanya. Dr Amin berkata, pihaknya sudah menjalankan kajian terhadap anak ayam bagi mengetahui tindak balas terhadap unsur anti-oksidan dalam Misai Kucing dan akan melaksanakan kajian klinikal terhadap manusia dalam masa terdekat.

“Jika tiada sebarang halangan dalam proses itu, kami menjangka memasarkan produk ini pada penghujung tahun depan,” katanya yang akan mencari syarikat untuk mengeluarkan produk itu secara komersial.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.