Ahad, 15 Januari 2012

40,000 pesakit baru dikesan


40,000 pesakit baru dikesan ; barah kini pembunuh nombor dua

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN

ARKIB : 26/10/2005

KUALA LUMPUR 25 Okt. - Peningkatan penyakit barah di negara ini semakin membimbangkan dengan lebih 40,000 pesakit baru dikesan di seluruh negara - menjadikannya sebagai pembunuh nombor dua negara selepas penyakit jantung. Daripada jumlah tersebut, 80 peratus membabitkan barah payu dara diikuti barah prostat dan beberapa jenis barah lain seperti tulang dan darah. Lebih membimbangkan ialah kos rawatannya adalah tinggi dan tidak mampu ditanggung oleh pesakit. Mereka yang diserang barah biasanya memerlukan kos antara RM40,000 ke RM300,000 untuk rawatan berikutan peralatan dan ubat-ubatan yang mahal. Mengapa penyakit barah semakin meningkat? Menurut Majlis Kanser Malaysia (Makna) puncanya ialah: Perubahan gaya hidup, persekitaran, makanan dan cara pemprosesannya serta tekanan hidup. Ketika mendedahkan perkara itu Presiden Makna, Datuk Mohd. Farid Ariffin berkata, statistik itu diperoleh berdasarkan kes baru barah yang didaftarkan. ``Kesatuan Antarabangsa Menentang Barah (UICC) meramalkan menjelang 2020 penyakit barah akan muncul sebagai pembunuh nombor satu dunia dan sesuatu perlu dilakukan mulai sekarang sebagai persediaan menghadapinya. ``Pemeriksaan awal di kalangan orang ramai boleh membantu rawatan awal diberikan kepada mereka yang dikesan mengalami barah,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini, hari ini. Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pertambahan jumlah pesakit barah di seluruh negara setiap tahun. Mohd. Farid memberitahu, walaupun tahap kesedaran mengenai penyakit maut itu semakin berkembang namun kebanyakannya lambat ke hospital untuk menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan segera. ``Penyakit barah mempunyai empat tahap dan kebanyakan pesakit datang selepas mereka sudah berada ditahap tiga dan empat. ``Walaupun pelbagai kempen sudah dilakukan oleh kerajaan dan pertubuhan sukarela termasuk saya sendiri yang sudah letih berkempen mengenai barah, tetapi ia bergantung kepada kehendak individu itu sendiri untuk merawat diri mereka,'' katanya. Mohd. Farid memberitahu, Makna telah melakukan banyak pembangunan dan penyelidikan (R&D) untuk mendapatkan pendekatan perubatan baru bagi mengurangkan kos rawatan barah yang terlalu mahal. ``Makna mendapati percantuman pendekatan perubatan moden cara Barat dan Timur, jauh lebih murah dan amat besar keberkesanannya. ``Saya telah menjelajah ke seluruh dunia dan menemui banyak lagi cara-cara baru untuk merawat barah terutamanya di Eropah dan penemuan ini yang akan dibangunkan,'' katanya. Beliau memberitahu, sejak ditubuhkan pada 1994, sebanyak 85,000 pesakit barah telah mendapatkan rawatan dengan Makna dengan kos mencecah berpuluh-puluh juta ringgit. Mohd. Farid turut mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang berjanji berusaha memastikan rawatan dan ubatan bagi penyakit barah lebih mudah diperoleh pada harga lebih murah. ``Makna amat bersedih dengan kehilangan isteri beliau Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood akibat barah payu dara dan keazaman Perdana Menteri itu diharap dapat membawa dimensi baru dalam merawat penyakit barah,'' katanya. Semalam semasa menggulung usul merakamkan perasaan dukacita di atas kembalinya ke rahmatullah Endon di Dewan Rakyat, Abdullah berkata, pengajaran yang diperoleh daripada kesakitan yang dialami oleh isterinya ialah semua rakyat harus bersama-sama menangani penyakit itu.

Minyak pelincir dari kelapa sawit


ARKIB : 01/05/2004     

Minyak pelincir sintetik daripada kelapa sawit

Oleh LAUPA JUNUS

MINYAK pelincir merupakan keperluan dalam mana-mana enjin sama ada enjin kenderaan atau mesin-mesin kilang kerana fungsinya untuk melancarkan pergerakan motor enjin tersebut. Terdapat dua jenis minyak pelincir yang biasa digunakan pada hari ini yang dikategorikan berdasarkan kepada sumbernya seperti mineral (galian) atau sintetik (campuran kimia). Bagaimanapun, kebanyakan minyak pelincir yang dihasilkan iaitu antara 85 dan 90 peratus bersumberkan petrokimia dan mineral, kurang satu peratus jenis minyak sayuran dan bakinya jenis sintetik. Menurut pensyarah Jabatan Kimia dan Kejuruteraan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Robiah Yunus, minyak pelincir berasaskan daripada petroleum telah menguasai pasaran minyak pelincir dunia sejak abad ke-20 lagi. Bagaimanapun, penggunaan minyak pelincir berasaskan mineral boleh menimbulkan kesan sampingan apabila sisanya dibuang tanpa kaedah yang betul. Ini kerana apabila sisa minyak pelincir dibuang ke persekitaran, ia menjadi beban kepada air dan tanah kerana sifatnya yang sukar lupus. Menurut Robiah, hanya 25 peratus minyak pelincir digunakan semula untuk kegunaan lain selepas melalui proses kitar semula, lebih 45 peratus dibuang dan 25 peratus lagi tidak diketahui di mana ia digunakan. Pada masa yang sama, timbul persoalan, sampai bilakah bekalan petroleum akan terus mampu menjadi sumber kepada pengeluaran minyak pelincir kerana satu masa nanti ia akan kehabisan. Selain itu, kos penghasilan minyak pelincir juga terus meningkat kerana kos pelaburan kilang penapisan yang semakin tinggi dan usaha meningkatkan kualiti minyak yang dihasilkan. Justeru itu, menerusi satu penyelidikan yang dibiayai oleh geran Skim Penumpuan Penyelidikan Dalam Bidang Keutamaan (IRPA) bermula pada 2000, Robiah memulakan satu penyelidikan menghasilkan sejenis minyak pelincir yang beliau namankan Rysoil iaitu minyak pelincir mesra alam yang dihasilkan daripada kelapa sawit. Kejayaan menghasilkan produk itu dianggap istimewa kerana ia merupakan satu-satunya minyak pelincir daripada kelapa sawit di negara ini. Secara tidak langsung ia dapat membantu:
- Mengurangkan masalah pencemaran
- Mengurangkan pergantungan kepada petroleum.
- Meningkatkan nilai ekonomi minyak sawit.

Penyelidikan tersebut yang menggunakan kemudahan makmal Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berjaya disiapkan pada penghujung 2002. Minyak pelincir sintetik tersebut dihasilkan daripada minyak sawit menerusi beberapa tindak balas bagi menghasilkan bahan asasnya yang dinamakan poliolester.Minyak sawit yang diambil daripada bahagian isirung dan sabut diproses untuk menghasilkan satu bahan lain yang dinamakan metilester minyak sawit (POME). POME ini kemudian ditindakbalaskan dengan bahan lain untuk menghasilkan poliolester. ``Poliolester merupakan bahan yang dihasilkan dan menjadi bahan asas bagi pelbagai jenis minyak pelincir . ``Bahan ini boleh diformulasikan untuk menghasilkan produk lain seperti minyak hidraulik, minyak enjin dan minyak brek dengan tindak balas bahan aditif,'' katanya ketika ditemui baru-baru ini. Beliau menggunakan minyak sawit sebagai bahan asas kerana sifat mudah hilang dalam persekitaran (terbiodegradasi) yang terdapat pada bahan tersebut. Bagaimanapun, persoalan timbul mengapa minyak pelincir yang dihasilkan dikatakan sintetik. Menurut Robiah, sifat semula jadi yang terdapat pada minyak sawit itu tidak sesuai untuk kegunaan minyak pelincir kerana dua sebab itu tahap pengoksidaan yang tidak stabil dan tahap tuang suhu rendah yang tinggi. Ini kerana dalam keadaan asal, minyak sawit mengandungi 50 peratus sebatian tepu asid lemak, dan sebatian tidak tepu (50 peratus). Isirung minyak sawit pula mengandungi 82 peratus sebatian tepu asid lemak. Dengan kadar sebatian tepu yang tinggi menjadikan takat tuang minyak berasaskan sawit lebih tinggi berbanding ester sedia ada. Melalui penyelidikan tersebut, prestasi pelinciran minyak sawit di atasi dengan pengubahsuaian struktur asas minyak kepada sintetik ester menggunakan sejenis alkohol yang dinamakan poliol. Apa yang berlaku ialah struktur minyak sawit diubah dengan penghapusan molekul hidrogen yang berada pada kedudukan beta karbon. Dengan pengubahsuaian struktur ini, ia memperbaiki ciri-ciri kestabilan pengoksidaan dan terma bagi sintetik ester. Menurut Robiah, masalah takat tuang minyak sawit pula dapat di atasi dengan kejayaan penurunan sehingga ke tahap -360C. Justeru itu, Robiah berharap dengan penemuan ini, banyak syarikat tampil untuk mengkomersialkannya bagi kegunaan umum. Di negara Barat, penggunaan minyak berasaskan tumbuh-tumbuhan telah lama diamalkan dengan memanfaatkan minyak daripada bunga matahari dan kacang soya. 

Secara umumnya, Rysoil iaitu minyak pelincir mesra alam yang berasaskan minyak sawit ini mempunyai kelebihan berikut:
1) Ciri-ciri fizikal seperti kelikatan, indeks kelikatan, sifat-sifat geseran dan kehausan adalah serupa dengan produk sedia ada di pasaran.
2) Ia memiliki kestabilan oksidatif yang unggul dan takat tuang yang rendah.
3) Penghasilan poliolester yang menjadi bahan asas boleh ditukarkan kepada produk lain seperti bendalir hidraulik, minyak hidraulik kalis api dan minyak pelincir am hanya dengan bahan aditif seperti antioksidan.
4) Ia lebih murah berbanding produk seumpamanya berasaskan minyak biji sawi atau bunga matahari kerana menggunakan metil ester sebagai bahan permulaan.
5) Produk ini tidak beracun, mesra alam, tidak mengandungi karsinogen.
Kesimpulannya, Malaysia yang merupakan pengeluar minyak sawit utama di dunia juga boleh memanfaatkan teknologi ini untuk meningkatkan penggunaannya selain sebagai bahan pemakanan.


Cinta suami kekuatan Norsaflezah


Cinta suami kekuatan Norsaflezah
ARKIB : 20/03/2011

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH adawiyah.koh@utusan.com.my   Foto HAFIZ KHOSMAT


Sewaktu bertemu Norsaflezah@ Salhani Md Saleh, 35, dua tahun lalu, dia nampak berisi dan rambutnya masih lebat. Berbeza dengan penampilannya kini yang kelihatan kurus dan sedikit botak. Mungkin ada antara kita yang mengenali Presiden Persatuan Mutiara Kanser Payudara (PMKP), walau sakit dan perit sekali pun dia masih mampu tersenyum dan memenuhi undangan media. Norsaflezah dan suami mahu membantu dan memberi motivasi kepada mereka yang berdepan dengan penyakit kanser. Tidak sekadar aktif menggerakkan persatuannya, Norsaflezah bersyukur kerana masih berkesempatan bersama keluarga sehingga ke hari ini. Sakit dan perit yang ditanggungnya hampir sepuluh tahun membuktikan suami di sisi sanggup berkorban apa sahaja demi isteri. Anak-anak pula seakan memahami. Mereka berasa cukup dengan apa yang ada. Norsaflezah bersyukur kerana dikurniakan suami yang amat menyayanginya. Mohd Nur Sidek, 56 yang bekerja dengan syarikat minyak serta anak-anak, Muhd Nur Niqman, 12, dan Muhd Nur Syafeeq, 11 tahun banyak memberi semangat.

Galakan
Masih segar dalam ingatannya selepas menjalani rawatan kemoterapi, kepalanya botak dan anak sulungnya yang ketika itu berusia tiga tahun menyatakan dirinya tidak ubah seperti makhluk asing. "Saya menangis kerana tahu kata-kata budak jujur. Tidak lama selepas itu suami membawa anak keluar dan apabila balik mereka bertiga semuanya membotakkan kepala. Niat suami mahu saya tidak rasa terasing. "Begitu juga dengan gaya. Kalau dulu saya kelihatan betul-betul macam makhluk asing, tetapi suami memberikan galakan supaya saya berhias dan berfikiran positif," katanya. Bagi Norsaflezah, hidupnya berubah selepas menubuhkan PMKP di mana dia lebih positif dan aktif. Selepas menderita kanser payu dara, dia berdepan dengan kanser tulang yang tidak membolehkannya bergerak cergas. Sehingga ke hari ini, kanser yang berada dalam tubuhnya belum mati dan dia masih menjalani rawatan seperti pesakit lain. Selepas melalui pengalaman itu, Norsaflezah percaya kesakitan rawatan tidaklah sesukar mana untuk ditempuhi. Sebaliknya yang menjadi musuh dan ketakutan pesakit adalah mencari kekuatan untuk meneruskan kehidupan. 

Perubahan
Anak kelahiran Kuala Lumpur ini juga menasihatkan wanita agar lebih sensitif kepada sebarang perubahan diri. "Walaupun kajian menetapkan siapa yang yang lebih berisiko menghidap barah, tetapi ia tidak semestinya benar dalam dunia nyata. Justeru, kita perlu bersedia berhadapan dengan segala kemungkinan takdir sejak usia muda lagi," katanya yang ditemui di kediamannya di Bandar Sri Damansara, Selangor baru-baru ini. Mengakui dirinya tidak boleh duduk diam, dia mahu orang ramai faham yang kanser bukan penyebab utama kematian pesakit tetapi yang menjadi pembunuh ialah diri sendiri. Menerusi aktiviti PMKP, Norsaflezah mahu generasi muda mempunyai pengetahuan pemeriksaan payu dara sendiri. Bagi yang berkahwin, dia menasihatkan agar suami tahu tentang pemeriksaan benjolan pada payu dara. "Jika masing-masing ada pengetahuan, pesakit akan lebih positif. Bahkan orang sekeliling boleh saling memberi motivasi," ujarnya. Dalam pada itu, Mohd Nur Sidek yang berkongsi pengalaman sepanjang sepuluh tahun menemani Norsaflezah berdepan dengan cabaran kanser, menasihatkan suami atau ahli keluarga pesakit memahami emosi pesakit. Sebagai suami dan orang yang paling rapat, jangan putus memberi sokongan dari aspek emosi dan perubatan. "Kita jangan panik atau putus asa kerana orang yang sakit mahu kita lebih kuat daripada mereka. Jika kita lemah, maka hilanglah tempat mereka mendapat sokongan emosi. ''Dalam hal ini, saya banyak berserah kepada Allah dan melakukan perkara yang mampu buat Norsaflezah. Sabar dan kasih sayang merupakan kunci utama kita bahagia dalam rumah tangga walaupun dugaan yang datang itu sangat menguji diri kita. '' Sebagai manusia, kita perlu mencari nikmat di sebalik kedukaan itu," katanya yang turut aktif dalam PMKP.

Azean Irdawaty lawan barah


Azean Irdawaty lawan barah dengan ketawa

Oleh Zainuri Misfar

Azean Irdawaty dinasihatkan berehat enam bulan selepas jalani pembedahan kanser payu dara.
BERBEZA kebanyakan orang yang pernah mengalami barah payu dara, Azean Irdawaty tetap menampilkan personaliti yang ceria, bersemangat dan tidak ada tanda-tanda untuk menunjukkan dirinya berada dalam tekanan akibat menghidap penyakit itu. Pelakon veteran ini berkata, disebabkan kepetahannya bercakap dan sibuk mengemas bilik wad seelpas beberapa menjalani pembedahan mastektomi pada 27 Jun lalu di Hospital Putrajaya menyebabkan jururawat berasa bimbang.  “Mana tidaknya, masuk hari ketiga selepas pembedahan, saya sudah mengemas bilik wad. Jururawat yang menjaga saya mula-mula rasa segan silu, tetapi lama kelamaan sudah biasa, boleh jadi kawan berbual pula,” katanya sambil menyifatkan Hospital Putrajaya sebagai pusat perubatan terbaik. Telatahnya yang sangat teruja untuk bercakap mengenai pengalamannya menjalani rawatan barah payu dara dapat dilihat ketika berkunjung ke rumahnya di Bandar Utama, Petaling Jaya baru-baru ini, sempena kenduri kesyukuran. “Barah ini adalah seperti segumpal tisu buruk yang sudah rosak. Barah pada saya seperti iblis, kalau kita berfikiran negatif, lagi cepat ia merebak. Saya pernah terbaca, salah satu ubat melawan barah ialah dengan ketawa. Kita kena bersikap positif dan sentiasa gembira. Saya kena ubah persepsi, kenapa bila ada barah baru teringat mati.  “Pada hal kita kena ingat mati sepanjang masa. Ini kerana mati boleh berlaku pada bila-bila masa saja, tidak pada penyakit barah,” katanya. Sepanjang perbualan ini, Azean memang lancar berbual mengenai barah payu darah, mungkin disebabkan beliau sudah melalui sendiri pengalaman itu.  “Saya agak lapang dalam masa enam bulan sebab doktor tidak benarkan saya berlakon walaupun saya berkeras hendak berlakon kerana itu adalah mata pencarian saya. Daripada duduk tidak buat apa-apa, saya hendak menulis, pengalaman daripada mula disahkan menghidap barah,” katanya. Pengalaman sebagai pesakit barah payu dara juga membuatkan Azean menyebabkan beliau begitu teruja untuk berkongsi pengetahuan mengenai penyakit itu kepada peminat dan orang ramai.  Katanya, beliau memperoleh pengetahuan itu menerusi makalah, buku dan internet dan penerangan daripada doktor serta pakar mengenai penyakit itu.  “Sebelum menjalani rawatan kimoterapi ia bergantung kepada laporan histopatologi, iaitu untuk mengetahui keadaan sel barah itu merebak ke mana, sudah tahap macam mana, berbahaya lagi atau tidak dan apa adunan ubat yang sesuai, yang dikenali sebagai koktel. Semua ubat ini kena makan sedikit demi sedikit dan kesannya rambut mungkin gugur juga tapi tidak loya, tidak lembik,” katanya. Mengenai kos rawatan, Azean berkata, keseluruhannya membabitkan kira-kira RM90,000 dan setakat ini selepas membuat pembedahan lebih RM30,000 sudah dibelanjakan. “Cuma saya kena cari RM68,000 lagi untuk rawatan susulan untuk selama enam bulan. Rawatan radio terapi saja selama 18 minggu, manakala rawatan kimoterapi pula lebih empat bulan. Bagi rawatan radioterapi pula saya akan buat rawatan di Hospital Nilai kerana di sana ada peralatan yang canggih. Itupun ada kos juga sebab saya kena pergi sana setiap hari selama enam minggu.  
“Sebab itulah kalau boleh saya hendak kerja (berlakon) bagi menampung kos ini tetapi doktor tak bagi,” jelasnya lagi.  Kira-kira empat hari selepas menjalani pembedahan mastektomi, Azean mengadakan majlis hari jadi untuk anak bongsunya, Ines di Wad 5A, Hospital Putrajaya. Ia majlis keluarga saja, tetapi ada individu yang tidak dikenali mahu menaja majlis keluarga ini dengan makanan istimewa dari sebuah restoran Cina. “Pada waktu itu keputusan pelajaran Ines kurang memuaskan. Mungkin dia terlalu susah hati dengan keadaan kesihatan saya. Jadi, saya duduk dengannya, memberi nasihat supaya tumpukan pelajaran dengan baik. “Saya cakap dengan dia, kalau mama boleh menghadapi penyakit barah ini dengan tenang, dia juga mesti kuat dan memberi tumpuan sepenuhnya dengan pelajaran,” katanya.

Berminat untuk hadiri majlis FFM20

MENGENAI komitmen ke Festival Filem Malaysia Ke-20 (FFM20), Azean berkata, sebagai pelakon, jiwanya adalah pada seni lakonan iaitu layar dan pentas, manakala FFM pula dianggap sebagai pesta untuk orang yang hidupnya mencari makan dengan dunia seni di layar.  Salah satu filem lakonan beliau, Waris Jari Hantu turut tersenarai dalam festival itu yang diadakan di Pulau Pinang pada 3-5 Ogos ini. “Kami tukang cerita. Ini pesta kami. Selepas berpenat lelah, kami berpesta meraikan yang hebat-hebat antara kami. Kalau saya tidak bersama macam orang puasa tidak beraya. Saya adalah sebahagian daripada keraian itu. Keraian itu pula sebahagian dari hidup saya. Hanya kalau pada ketika itu tubuh terus digodam kimoterapi, mungkin saya tidak pergi. Tapi kalau setakat gugur rambut, kening dan bulu mata, semangat saya tidak turut tergugur. Doakan saya ada di sana nanti,” katanya dalam jawapan yang dihantar menerusi SMS.

Sumber : www.mesra.net : Assalamualaikum. Kepada saudara/saudari di sini atau peminat kak yam, seandainya anda dapat berhubung dengan kak yam sendiri, saya harap agar kamu dapat menyampaikan kepadanya bahawa kami di sini sedia membantu kak yam mengubati penyakit yg k. yam alami itu. Kuasa menyembuhkan adalah mutlak hak Allah Taala, namun kita mampu berikhtiar dan bertawakkal kepadanya. Untuk pengetahuan pembaca, saya mempunyai herba bagi penawar penyakit barah (dgn izin Allah), oleh itu, saudara/ri semua dapat menghubungi saya di talian 019-9150975.  Kadar ubat/herba yg saya miliki buat masa kini adalah terhad. Wallahu-a'lam.

Kimia Dalam Rokok


Usah persenda Hari Tanpa Tembakau

Oleh SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN (WARTAWAN UTUSAN)

ARKIB : 31/05/2004

KALAU saya katakan, asap rokok mengandungi lebih 4,000 bahan kimia yang mana 200 daripadanya adalah beracun dan 63 yang lain berpotensi menyebabkan pelbagai jenis barah terutamanya barah paru-paru, anda mungkin tidak akan merasa takut mendengarnya. Malah, ada sesetengahnya yang mempersenda-sendakan kenyataan itu. Walaupun anda mungkin sedia maklum adanya bahan pengawet mayat, ubat gegat, bahan bakar untuk menerbangkan pesawat, racun tikus dan racun yang digunakan untuk melaksanakan hukuman mati di dalam sebatang rokok, mulut anda tetap menyedut dan menghembuskan asapnya seperti biasa. Pukulan nikotin sebenarnya lebih teruk berbanding lain-lain jenis dadah seperti kokain atau heroin disebabkan oleh kesan rangsangannya yang sangat cepat ke atas sistem saraf otak. Ia hanya mengambil masa antara tujuh hingga 10 saat untuk asap rokok yang mengandungi nikotin untuk sampai ke otak. Di Malaysia, sebanyak 10,000 kematian akibat merokok dicatatkan setiap tahun. Daripada jumlah tersebut, dianggarkan 30 peratus adalah disebabkan oleh 10 jenis barah iaitu paru-paru, mulut, esofagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, serviks, kolon dan perut manakala sakit jantung dan strok masing-masing menyumbang sebanyak 25 peratus. Sementara itu, lebih 100,000 perokok dimasukkan ke hospital-hospital kerajaan di seluruh negara akibat barah, sakit jantung dan penyakit sekatan pulmonari kronik atau ringkasnya COPD. Itu belum termasuk angka-angka yang disumbangkan oleh perokok pasif yang menghadapi risiko barah paru-paru yang meningkat di antara 20 hingga 30 peratus manakala sakit jantung, 23 peratus.  Negara terpaksa menanggung sejumlah RM20 bilion kerugian setahun untuk disalurkan kepada kos rawatan dan kehilangan produktiviti. Bukan sahaja punca pendapatan sesebuah keluarga dibunuh oleh rokok tetapi negara turut mengalami kemiskinan tenaga kerja berkualiti disebabkan oleh produktiviti perokok yang merosot kerana sering jatuh sakit. Justeru, setelah sekian lama mendokumentasikan tentang penyakit dan kesan buruk merokok, tibalah masanya Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengangkat Tembakau dan Kemiskinan: Satu Pusingan yang Kejam sebagai tema sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia bagi tahun ini. Kajian yang dilakukan di banyak negara termasuk Malaysia mendapati penggunaan tembakau adalah lebih tinggi di kalangan mereka yang berpendapatan rendah. ``Sebanyak 10 peratus daripada perbelanjaan keseluruhan isi rumah daripada kalangan ini dihabiskan untuk membeli rokok. ``Akibat ketagihan nikotin, wang yang sepatutnya diperuntukkan untuk makanan, tempat berteduh yang lebih sempurna, pendidikan dan penjagaan kesihatan terpaksa digunakan untuk membeli rokok,'' kata WHO. Wang yang sudah sedia sedikit dan sukar diperoleh itu memberikan perbezaan ketara di antara makanan anak isteri yang sepatutnya berzat tetapi terpaksa dikorbankan bagi melampiaskan ketagihan nikotin. Si perokok miskin boleh bertukar menjadi papa kedana memandangkan risiko tinggi mendapat penyakit dan mati lebih awal. Hilanglah punca saraan keluarga apabila perokok lazimnya seorang ayah atau abang tidak dapat lagi keluar bekerja dan mencari nafkah, sebaliknya mereka pula yang perlu dirawat dan ini melibatkan kos. Penanaman tembakau merupakan kegiatan buruh intensif yang memerlukan baja dan racun serangga yang biasanya dibeli petani daripada pemain industri tembakau setiap kali musim bermula. Di sesetengah negara, secara hutang. Industri tembakau sering mewar-warkan faedah ekonomi daripada penanaman tembakau. Apa yang mereka gagal sampaikan ialah betapa sebahagian besar keuntungan memasuki poket seluar syarikat-syarikat pengeluar. Apa yang menyedihkan, walaupun industri tembakau menyediakan peluang pekerjaan kepada ribuan manusia, majoriti daripada petani sebenarnya mendapat hasil yang amat sedikit. Pada tahun 2002, pendapatan terkumpul sebanyak tiga syarikat tembakau multinasional terbesar di dunia bernilai lebih AS$121 bilion (RM459.8 bilion). Jumlah ini adalah jauh lebih besar daripada gabungan 27 Keluaran Dalam Kasar Negara termasuk Bahrain, Bolivia, Ghana, Kemboja, Mongolia, Namibia, Uganda, Zambia dan Zimbabwe. Timbalan Ketua Pengarah, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr. Zarihah Zain hari ini menyeru warga Malaysia lebih bertanggungjawab dan saling menegur bagi memastikan rokok akhirnya tidak diterima sebagai satu kebiasaan. ``Orang tua berhak menegur yang lebih muda, dewasa menegur remaja jika melihat mereka merokok terutamanya di kawasan larangan,'' katanya sambil menambah ia akan berhasil jika semua orang melakukannya. Menghisap rokok dan menghembuskan asapnya di merata-rata sebelum menenyeh lebihan puntung kadang kala dengan kaki bukan sahaja boleh dianggap tidak sopan tetapi juga sesuatu yang memalukan. Apabila diajukan sesetengah pendapat supaya tumpuan kempen disasarkan kepada remaja berbanding orang tua yang tegar untuk berubah, beliau menjelaskan: ``Orang dewasalah yang perlu disedarkan agar mereka tidak menunjukkan contoh yang tidak baik ini kepada anak-anak,'' katanya. Hasil penyelidikan yang diterbitkan di dalam Arkib Perubatan Kanak-Kanak dan Remaja baru-baru ini mengenal pasti remaja merokok yang terlibat di dalam program-program sokongan anti merokok berjaya mengurangkan penggunaannya. Mereka juga berjaya mengekalkan kadar hisapan walaupun setelah program berakhir dan berterusan selama enam bulan yang dianggap sebagai `keanehan' oleh para saintis. Profesor Perubatan Pusat Penyelidikan Pencegahan Stanford, Marilyn Winkleby berkata: ``Dari hanya mengajar anak-anak kita tentang bahaya merokok sebagaimana yang dilakukan menerusi program-program tradisional, kami menunjukkan bagaimana promosi dan pengiklanan tembakau begitu meresap dan mengajak mereka turut sama bertindak menentang mesej-mesej tersebut'' Walaupun Dr. Zarihah merupakan seorang aktivis antimerokok, dia tidak boleh memaksa seseorang berhenti merokok melainkan dengan kerelaan hati mereka sendiri. Ketika diajukan soalan sama ada beliau tidak letih memperjuangkan tentang bahaya merokok, Dr. Zarihah berkongsi sebuah kisah benar yang menyayat hati menimpa salah seorang yang disayanginya sendiri. Baik kita jadikan teladan, buruk jadikan sempadan. ``Pada usianya yang sudah lanjut, dia memang seorang yang kuat merokok dan setiap kali berjumpa dengannya semasa pertemuan keluarga, saya tidak pernah jemu menasihatinya. ``Bagaimanapun, saudara berkenaan sering menjadikannya sebagai bahan gurauan dan berkata dia berada di dalam keadaan sihat walafiat sehinggalah doktor mengesahkannya menghidap barah paru-paru tahap lewat. ``Pada masa itu, semuanya tidak kelakar lagi...,'' kata Dr. Zarihah. Saudara dekatnya itu telah meninggal dunia pada Februari lalu selepas enam bulan bersabung nyawa. Semoga rohnya dicucuri rahmat.  Tiada perkataan terlewat untuk berhenti merokok. Tetapkan satu tarikh dan bulatkan tekad ke arah itu. Hari ini adalah hari yang baik untuk memulakannya. Sesungguhnya, sebanyak 90 peratus kegagalan datang daripada mereka yang tabiatnya suka mencari alasan. Bila tiba masanya untuk membuat keputusan, lakukan dan lupakan mengenainya. Bagi tujuan itu, anda boleh mengunjungi Klinik Berhenti Merokok yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan di hospital-hospital mahu pun klinik-klinik kesihatan kerajaan di seluruh negara. Perokok juga boleh menggunakan Terapi Penggantian Nikotin dalam bentuk tampalan, gula-gula getah dan sedutan bagi membantu menangani ketagihan nikotin akibat berhenti merokok. Untuk maklumat lanjut mengenainya, anda boleh mengunjungi kedai-kedai farmasi atau pun melayari www.pfizer-malaysia.com yang turut menjayakan program tanggungjawab sosial korporat sempena Kempen Antimerokok Tak Nak.