Ahad, 15 Januari 2012

40,000 pesakit baru dikesan


40,000 pesakit baru dikesan ; barah kini pembunuh nombor dua

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN

ARKIB : 26/10/2005

KUALA LUMPUR 25 Okt. - Peningkatan penyakit barah di negara ini semakin membimbangkan dengan lebih 40,000 pesakit baru dikesan di seluruh negara - menjadikannya sebagai pembunuh nombor dua negara selepas penyakit jantung. Daripada jumlah tersebut, 80 peratus membabitkan barah payu dara diikuti barah prostat dan beberapa jenis barah lain seperti tulang dan darah. Lebih membimbangkan ialah kos rawatannya adalah tinggi dan tidak mampu ditanggung oleh pesakit. Mereka yang diserang barah biasanya memerlukan kos antara RM40,000 ke RM300,000 untuk rawatan berikutan peralatan dan ubat-ubatan yang mahal. Mengapa penyakit barah semakin meningkat? Menurut Majlis Kanser Malaysia (Makna) puncanya ialah: Perubahan gaya hidup, persekitaran, makanan dan cara pemprosesannya serta tekanan hidup. Ketika mendedahkan perkara itu Presiden Makna, Datuk Mohd. Farid Ariffin berkata, statistik itu diperoleh berdasarkan kes baru barah yang didaftarkan. ``Kesatuan Antarabangsa Menentang Barah (UICC) meramalkan menjelang 2020 penyakit barah akan muncul sebagai pembunuh nombor satu dunia dan sesuatu perlu dilakukan mulai sekarang sebagai persediaan menghadapinya. ``Pemeriksaan awal di kalangan orang ramai boleh membantu rawatan awal diberikan kepada mereka yang dikesan mengalami barah,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini, hari ini. Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pertambahan jumlah pesakit barah di seluruh negara setiap tahun. Mohd. Farid memberitahu, walaupun tahap kesedaran mengenai penyakit maut itu semakin berkembang namun kebanyakannya lambat ke hospital untuk menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan segera. ``Penyakit barah mempunyai empat tahap dan kebanyakan pesakit datang selepas mereka sudah berada ditahap tiga dan empat. ``Walaupun pelbagai kempen sudah dilakukan oleh kerajaan dan pertubuhan sukarela termasuk saya sendiri yang sudah letih berkempen mengenai barah, tetapi ia bergantung kepada kehendak individu itu sendiri untuk merawat diri mereka,'' katanya. Mohd. Farid memberitahu, Makna telah melakukan banyak pembangunan dan penyelidikan (R&D) untuk mendapatkan pendekatan perubatan baru bagi mengurangkan kos rawatan barah yang terlalu mahal. ``Makna mendapati percantuman pendekatan perubatan moden cara Barat dan Timur, jauh lebih murah dan amat besar keberkesanannya. ``Saya telah menjelajah ke seluruh dunia dan menemui banyak lagi cara-cara baru untuk merawat barah terutamanya di Eropah dan penemuan ini yang akan dibangunkan,'' katanya. Beliau memberitahu, sejak ditubuhkan pada 1994, sebanyak 85,000 pesakit barah telah mendapatkan rawatan dengan Makna dengan kos mencecah berpuluh-puluh juta ringgit. Mohd. Farid turut mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang berjanji berusaha memastikan rawatan dan ubatan bagi penyakit barah lebih mudah diperoleh pada harga lebih murah. ``Makna amat bersedih dengan kehilangan isteri beliau Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood akibat barah payu dara dan keazaman Perdana Menteri itu diharap dapat membawa dimensi baru dalam merawat penyakit barah,'' katanya. Semalam semasa menggulung usul merakamkan perasaan dukacita di atas kembalinya ke rahmatullah Endon di Dewan Rakyat, Abdullah berkata, pengajaran yang diperoleh daripada kesakitan yang dialami oleh isterinya ialah semua rakyat harus bersama-sama menangani penyakit itu.

Tiada ulasan:

Catat Komen

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.