Ahad, 1 Januari 2012

KESAN BARAH USUS AWAL


KESAN BARAH USUS AWAL: kanser_usus_kesan_awal_

Barah usus yang juga dikenali sebagai barah kolorektal adalah salah satu daripada barah yang kerap berlaku. Barah usus dapat dikesan pada peringkat awal dan pada peringkat ini rawatan boleh menyembuhkan penyakit ini. Terdapat juga langkah-langkah yang boleh anda ambil untuk mengurangkan risiko barah usus. Usus ialah organ terpanjang dalam sistem penghadaman. Ia mempunyai dua bahagian:
o   Usus kecil- tempat makanan diserap.
o   Usus besar- tempat air dan garam galian diserap.
Terdapat dua bahagian dalam usus besar iaitu kolon dan rektum. Barah usus ialah ketumbuhan barah yang biasanya bermula dari dalam lapisan usus besar. Ia boleh membesar lama di situ sebelum merebak ke bahagian tubuh yang lain. Oleh sebab itu, lebih awal barah ini dikesan lebih cerah peluang untuk menyembuhkannya. Peluang untuk sembuh adalah 90%, jika penyakit ini dikesan pada peringkat awal. Barah usus ialah barah kedua yang paling biasa menyerang lelaki dan barah yang ketiga yang paling biasa menyerang wanita di Malaysia. Barah usus boleh terjadi pada semua peringkat umur, tetapi risikonya lebih tinggi jika anda berusia lima puluh tahun ke atas. Risiko untuk anda mendapat barah usus semakin tinggi jika anda:
o   mempunyai sejarah ahli keluarga yang menghidap barah usus.
o   pernah menghidap penyakit radang usus (kolitis ulser atau kolitis Crohn) lebih
daripada lapan tahun.
Jika anda mempunyai faktor-faktor di atas, berbincanglah dengan doktor anda tentang risiko mendapat barah usus. Tidak semua barah usus menunjukkan tanda-tanda atau gejala awal tetapi anda harus berjumpa dengan doktor jika anda alami mana-mana yang berikut:
o   Keluar darah daripada dubur atau terdapat darah selepas membuang air besar.
o   Perubahan ketara pada tabiat membuang air besar: contohnya, lebih kerap membuang air besar atau najisnya cair, kerap sembelit atau rasa lebih kerap hendak buang air besar daripada biasa.
o   Berasa tidak puas selepas membuang air besar.
o   Sakit perut.
o   Berat badan turun tanpa sebab yang nyata.
o   Berasa penat, lemah atau sesak nafas tanpa sebab. Gejala ini mungkin disebabkan oleh kurang darah akibat kekurangan zat besi.
Kurang darah jenis ini boleh disebabkan oleh barah usus. Individu yang berusia empat puluh tahun ke atas perlu awasi tanda-tanda amaran barah usus. Jika anda ada salah satu daripada tanda-tanda barah usus di atas, sila berjumpa doktor yang akan merujuk anda menjalani beberapa ujian tertentu. Jika hasil ujian menunjukkan terdapatnya barah usus, rawatan awal adalah lebih baik. Ujian saringan barah usus melibatkan ujian terhadap individu yang tidak mempunyai tanda-tanda menghidap barah usus. Saringan menggunakan kaedah faecal occult blood test (FOBT) atau ujian darah okulta tinja disarankan kepada individu sihat yang berumur lima puluh tahun ke atas. Faecal occult blood test (FOBT) ialah satu ujian ringkas untuk mengenal pasti tanda-tanda awal barah usus. Ujian ini melibatkan pengambilan beberapa sampel tinja atau najis dengan menggunakan kit ujian. Sampel diambil di rumah dan kemudiaanya dihantar ke makmal untuk dianalisis. FOBT akan menentukan sekiranya terdapat darah di dalam tinja (darah yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar). Darah di dalam tinja boleh disebabkan oleh polip (ketumbuhan di bahagian dalam usus yang boleh bertukar menjadi barah) ataupun disebabkan oleh barah usus yang berdarah. Jika terdapat darah di dalam  tinja, ujian lanjut perlu dijalankan untuk mengenal pasti punca pendarahan. Ingatlah bahawa barah usus mempunyai peluang yang tinggi (90%) untuk disembuhkan sekiranya dikesan pada peringkat awal. Polip yang dikesan melalui FOBT boleh dibuang sebelum  bertukar menjadi barah.
Dimanakah saya boleh mendapatkan FOBT ?
Lelaki dan wanita yang berumur lima puluh tahun ke atas perlu berjumpa dengan doktor untuk menjalani FOBT dua tahun sekali. Untuk maklumat lanjut anda juga boleh menghubungi KanHelp Line di 03-89472706. Anda boleh membantu mengurangkan risiko menghidapi barah usus dengan: makan makanan yang berkhasiat, termasuk mengambil lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan dan mengurangkan pengambilan lemak haiwan.
§  Makan sayur sayuran hijau yang bebas racun serangga racun rumpai racun kulat iaitu yang bercop SALM ( Skim Amalan Ladang Baik Malaysia )
§  mengekalkan berat badan yang sihat.
§  selalu bersenam.
§  tidak merokok.
§  kurangkan minum alkohol.
§  Elakkan makan trans-fat (sosej, Burger, kentang goreng dsb) dan junk food.
Dengan mematuhi panduan yang diberi tidak bermakna anda akan terlepas daripada diserang barah usus tetapi dapat mengurangkan risiko dan memberi banyak faedah kesihatan yang lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.