Ahad, 15 Januari 2012

Sikap positif bantu lawan barah


ARKIB : 14/06/2011
Sikap positif bantu lawan kanser

Oleh ZUHAYATI YAZID

Tanggal 2006 adalah tahun paling mencemaskan kepada saya kerana didiagnos sebagai pesakit kanser. Tetapi saya bersyukur dan tidak panik walaupun penyakit itu kritikal.
"Saya yakin selagi mana saya ditakdirkan hidup, saya mantapkan fikiran yang positif untuk menghadapi segala kemungkinan,'' ujar Datin Rahmah Mahmood ketika berkongsi pengalaman mengenai kanser payu dara yang menyerang dirinya.
Cerita adik kepada Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood, isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ini, selepas pemergian kakak tersayang, dia disyorkan oleh doktor supaya menjalani ujian penentuan untuk memastikan bebas dari virus kanser.
"Setelah menjalani ujian saya disahkan sebagai pesakit kanser. Masa itu, hanya Tuhan yang tahu perasaan saya selepas disahkan ada virus itu di tubuh saya.
"Tambahan pula, saya sendiri menyaksikan keperitan melihat kakak Endon berhempas pulas melawan penyakit yang cukup memeritkan itu,'' ujarnya tenang mengimbau pengalaman dirinya disahkan menghidap kanser payu dara.
Katanya lagi, mengingatkan keadaan bagaimana kakaknya melawan penyakit itu, menjadikannya serik dan takut. Namun mengenangkan kenapa perlu mengalah dan menyerah sahaja pada takdir membuatkan wanita cekal ini berubah hati untuk bingkas bangun dan bertekad untuk melawan penyakit tersebut.
"Saat itu juga saya mulakan misi untuk mencari rujukan dan maklumat. Malah ketika itu buku dan Internet adalah kawan yang paling rapat selain sokongan anak-anak.
"Malah hampir keseluruhan masa digunakan untuk mencari maklumat tentang penyakit tersebut.
"Sebenarnya bukan sesuatu yang senang untuk merawat kanser, saya perlu mengubah keseluruhan gaya hidup saya,'' ujarnya yang disarankan supaya menjalani pembedahan membuang ketumbuhan dan seterusnya menjalani proses kimoterapi.
Dalam usaha bersungguh-sungguh melawan penyakit, dia bersyukur seorang teman mengesyorkan dia bertemu dengan seorang doktor perubatan yang mempunyai klinik terapi di Melbourne, Australia iaitu Dr. Vagif Soultanov.
Tutur wanita cekal itu, kehadiran lelaki itu bagaikan penyelamat dalam hidupnya. Ketika itu, hatinya kembali berbunga.
Malah, kata-kata semangat daripada doktor terebut membuatkan dia seolah-olah menerima motivasi dan bersemangat untuk terus berjuang melawan penyakit nombor satu yang menyerang kaum Hawa itu.
Tambahnya lagi, ketika itu dia dinasihatkan oleh Dr. Soultanov supaya terus mengikuti prosedur menjalani pembedahan sebelum membuat rawatan herba .
"Mungkin berkat kesabaran dan kesungguhan diri, akhirnya saya berjaya menjalani pembedahan itu dan kemudian mencuba rawatan alternatif yang menggunakan bahan semula jadi,'' katanya pada satu majlis memperkenalkan ubatan herba semula jadi secara alternatif untuk rawatan pesakit kanser.
Rahmah memberitahu, selepas menggunakan rawatan herba yang disyorkan oleh Dr. Soultanov keadaan dirinya semakin berubah dan menjadi semakin sihat dan kuat.
Kini selepas sekian lama menggunakan rawatan alternatif daripada Dr. Soultanof dirinya disahkan bebas daripada virus kanser.

Tiada ulasan:

Catat Komen

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.