Rabu, 3 Oktober 2012

Asid Propionik Pengawet Roti


Asid Propionik Pengawet Roti

Hari ini kita berkongsi satu rahsia yang anda perlu tahu sebagai pengguna. Kemungkinan rahsia ini tidak pernah lagi didedahkan atau mungkin ini adalah kali pertama anda mendengarnya.. Kebanyakan roti dan ban yang dijual di Malaysia melanggar undang-undang dengan sewenang-wenangnya, ia mengandungi terlalu banyak bahan pengawet yang dipanggil asid propionik, walaupun dibenarkan di bawah undang-undang makanan kita, hadnya dalam roti mestilah tidak melebihi paras yang ditetapkan oleh undang-undang.

Dalam ujian yang dijalankan oleh CAP baru-baru ini ke atas pelbagai jenis roti yang dibeli di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, termasuklah roti bantal dan beraneka jenis ban ( termasuklah yang dihidangkan dan digunakan sebagai burger dalam rangkaian makanan segera ), didapati sehingga 92% mengandungi asid propionik dalam jumlah sehingga 5 kali ganda lebih daripada had maksimum yang dibenarkan oleh undang-undang Malaysia.

Di bawah Peraturan Makanan 1985, roti dibenarkan mengandungi asid propionik, sodium, potassium atau garam kalsium dalam jumlah yang mestilah tidak melebihi 2000 mg/kg roti (Peraturan 65 (2) a).

Dalam ujian CAP atas 50 sampel roti ( 27 sampel roti pada 2005 dan 23 sampel roti pada 2006 ), hanya 4 sampel roti mempunyai asid propionik dalam lingkungan had dibenarkan. Selebihnya 46 daripada 50 sampel roti iaitu 92% daripada roti yang diuji oleh kami semuanya mempunyai asid propionik melebihi 2,000 mg/kg.

Kebanyakan roti yang melanggar peraturan adalah roti dan ban dari rangkaian restoran makanan segera, pasar raya, kedai roti tempatan dan sebahagiannya daripada JENAMA TERKENAL !

Pengawet di dalam roti adalah asid propionik. Apakah itu asid propionik?

Asid propionik tidak berwarna, berminyak, cecair berbau hancing yang terjadi secara semula jadi dalam binatang dan produk tenusu. Ia biasanya digunakan sebagai racun kulat dan racun bakteria, ia mengawal kulat dan bakteria dalam bijirin yang disimpan, kawasan simpanan bijirin, sisa buangan ternakan dan air minuman untuk ternakan. Dalam makanan, ia digunakan untuk mengawet makanan yang dibakar dan keju. Bentuk lain asid propionik ( contohnya kalsium dan sodium propionates ) juga ditambah ke dalam makanan untuk mencegah kulat dalam makanan dibakar kering.

Semua propionates dikatakan dikaitkan dengan sakit kepala (migrain). Kajian di Australia pada 2002 mendapati kalsium propionate boleh menyebabkan tingkah laku menyimpang di kalangan kanak-kanak (seperti keletihan dan tidak memberi tumpuan. Jadi kanak-kanak tidak mahu membuat kerja rumah, kanak-kanak tidak dapat membaca dengan sempurna dan kanak-kanak juga mengalami gangguan tidur). Kesan sampingan ini berlaku dalam tempoh beberapa kali dan kimia dalam badan berkumpul menjadi kumulatif, demikian menurut kepada kajian.

Tidak hairanlah, kepada sesiapa yang mengalami masalah yang disebutkan tadi mungkin berpunca daripada bahan pengawet yang berlebihan ini. Sebab itulah roti dekat kedai semuanya tahan lama manakala roti yang dibuat sendiri cepat basi. Oleh itu, bahan kimia ini perlulah dielakkan untuk menjamin keselamatan anda, langkah alternatif yang anda boleh lakukan adalah dengan belajar membuat roti anda sendiri :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.