Rabu, 21 Disember 2011

Makanan laut mempunyai paras kadmium tinggi



Makanan laut mempunyai paras kadmium tinggi

ARKIB UTUSAN : 02/10/2009
Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 1 Okt. – Kementerian Kesihatan akan terus mengambil tindakan ke atas pihak yang menjual makanan laut mengandungi paras kadmium melebihi had ditetapkan. Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Noraini Mohd. Othman berkata, di bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 paras kadmium yang dibenarkan dalam makanan laut tidak melebihi 1.00 bahagian persejuta (ppm) atau miligram/kilogram. Katanya, mereka yang disabitkan dengan kesalahan mengikut Seksyen 13(1), Akta Makanan 1983 boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali. “Hasil pemantauan sejak enam bulan pertama tahun ini mendapati daripada 1,372 sampel yang diambil, 12 (0.86 peratus) didapati positif kadmium (antara 1.1-10.75 ppm),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Noraini memberikan reaksi demikian sebagai mengulas pendedahan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang mengesan kehadiran kadmium dalam makanan laut seperti dilaporkan dalam akhbar utama semalam. Menurutnya, sampel yang diperiksa itu adalah udang harimau, sotong kering, ikan bilis, ikan tuna, ikan hake, rumpai laut berperisa dan kepala sotong kering. Tambahnya, pada 2007, daripada 1,397 sampel ikan dan hasilan ikan yang diperiksa hanya lapan didapati positif kadmium iaitu baby clams, ikan bilis kering, ikan nyok-nyok, sotong katak dan ikan masin. Jelasnya, kadmium merupakan sejenis logam berat yang boleh hadir secara semula jadi dalam udara, air dan tanah tetapi pada kuantiti yang kecil sahaja. “Kadmium tidak terurai dan akan berkumpul mengikut masa. Pembakaran bahan buangan dari rumah atau industri, pembakaran arang batu dan minyak boleh melepaskan kadmium dalam udara. “Ia juga boleh dihasilkan daripada asap kenderaan, penghasilan bateri dan cat, industri pemprosesan logam, pengangkutan dan pembuangan sampah,” katanya. Menurut Noraini, kesan sampingan kadmium terbahagi kepada dua iaitu jangka pendek yang mana seseorang itu akan mengalami tanda-tanda demam, sakit kepala, berpeluh berlebihan, otot menggigil dan keresahan. “Kesan jangka panjang keracunan kadmium yang teruk boleh menyebabkan barah paru-paru, barah payu dara dan barah prostat selain menyebabkan fungsi buah pinggang dan hati tidak teratur bagi pesakit buah pinggang dan hati,” katanya. Sehubungan itu, kementerian akan terus memantau kadmium dalam produk makanan demi menjamin kesihatan pengguna.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.