Rabu, 21 Disember 2011

sos tiram beracun


ARKIB UTUSAN MALAYSIA : 26/06/2001

Sos tiram: Kementerian akan halang

PETALING JAYA 25 Jun - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan menghalang kemasukan sos tiram yang diimport dari Taiwan jika terbukti perisa makanan itu beracun dan membahayakan kesihatan. Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bukti wujudnya bahan beracun dalam perisa makanan itu bagaimanapun perlu disahkan terlebih dahulu oleh Kementerian Kesihatan. Menurut beliau, pihaknya akan sentiasa membuat pengawasan terhadap sos-sos import dan tempatan jika Kementerian Kesihatan berjaya membuktikan wujudnya bahan beracun dalam perisa makanan tersebut.``Kita akan mengharamkan bahan makanan itu tetapi biarlah Kementerian Kesihatan menyiasat dulu mengikut undang-undang makanannya,'' katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Wawasan Strategik Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Seminar Kesedaran Kepenggunaan di sini hari ini.Beliau mengulas dakwaan yang mengatakan beberapa jenama sos tiram diimport dari Taiwan mengandungi bahan beracun yang boleh membahayakan kesihatan orang ramai.Mengulas lanjut, Muhyiddin memberitahu, selain sos tiram tempatan, Malaysia mengimport beberapa jenama perisa makanan itu dari beberapa buah negara termasuk Taiwan.Menurut beliau, pihaknya perlu mendapatkan jenama dan asal sos tiram itu sebelum pengharaman boleh dilakukan.``Kita tidak perlu mewujudkan satu keadaan panik sebelum pengesahan dibuat oleh Kementerian Kesihatan,'' jelasnya. Sementara itu, Muhyiddin berkata, Indeks Harga Pengguna (IHP) menunjukkan kenaikan harga barang-barang perlu secara purata sebanyak satu peratus pada bulan lalu.Kadar itu, jelas beliau, menunjukkan kenaikan harga barangan tersebut adalah stabil dan terkawal.``Berbanding negara-negara lain, kenaikan harga barang perlu sukar dikawal oleh kerajaannya,'' katanya. Menurutnya, hanya beberapa barangan makanan seperti ikan dan daging yang sukar dikawal harganya kerana bekalan yang tidak menentu. Kedua-dua makanan tersebut, kata Muhyiddin, mempunyai permintaan yang tinggi setiap hari sedangkan bekalannya tidak mencukupi.``Oleh itu, kita masih bergantung kepada import untuk menampung permintaan harian yang tinggi,'' tambahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.