Sabtu, 28 Januari 2012

Bapa saman doktor dakwa Doktor cuai



ARKIB : 09/08/2008

Anak hilang lima jari: Bapa saman doktor dakwa cuai

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Seorang bapa menyaman Pengarah Hospital Sungai Buloh dan seorang doktor pakar kanak-kanak kerana didakwa cuai sehingga menyebabkan anak lelakinya kehilangan kelima-lima jari tangan sebelah kiri akibat jangkitan kuman selepas 10 hari dilahirkan.Solah Huddin Yaakob, 36, memfailkan saman itu mewakili anaknya, Muhammad Akif Zulkarnaen, setahun lima bulan melalui firma guaman, Tetuan T. Vijay & Co. di Pejabat Pendaftar Mahkamah Sesyen Selayang, dekat sini.Dalam saman tersebut, Muhammad Akif plaintif pertama dan Solah Huddin plaintif kedua menamakan Pengarah Hospital Sungai Buloh defendan pertama, Dr. Ooi Hooi Leng defendan kedua serta kerajaan Malaysia defendan ketiga.''Keputusan memfailkan saman ini dibuat setelah pihak hospital tidak mengambil berat tentang anak saya yang semakin membesar dan saya juga ingin membantu anak kami menghadapi masa depannya,'' kata Solah Huddin yang bekerja sebagai pemandu pelancong.

Bapa kepada tiga orang anak dari Rawang, Selangor itu hadir di mahkamah ditemani isteri, Azizah Mohd. Sahiri, 37, serta kanak-kanak malang tersebut yang merupakan anak bongsunya.Tiada jumlah tuntutan ganti rugi dinyatakan dalam saman tersebut sebaliknya pihak plaintif menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukannya.Peguam T. Vijayandran yang mewakili pihak plaintif menyatakan bahawa writ saman yang telah dimeterai akan diserahkan kepada pihak defendan seawal-awalnya pada Isnin ini.

Menurut pernyataan tuntutan, pihak plaintif mendakwa, kanak-kanak itu dilahirkan oleh ibunya kira-kira pukul 10.30 pagi, 29 Mac tahun lalu di Hospital Sungai Buloh dalam keadaan normal.Ketika masih lagi dalam jagaan hospital, dakwa mereka, ibu bapa plaintif pertama dimaklumkan bahawa kanak-kanak itu telah mengalami jangkitan kuman.''Plaintif pertama diberi rawatan antibiotik melalui suntikan pada tangan kirinya dan selang beberapa hari kemudian tangannya telah menjadi hitam di bahagian jari kiri dan sedikit di bahagian atasnya,'' kata pihak plaintif.

Mereka mendakwa, plaintif pertama kemudiannya dibenarkan pulang dengan tangan kirinya dibalut dan ibu bapanya dimaklumkan bahawa kanak-kanak itu tidak akan hidup lebih dari satu minggu serta tangannya akan gugur dengan sendirinya.Setelah dibawa pulang ke rumah, dakwa mereka lagi, bahagian hitam pada tangan kiri kanak-kanak itu telah gugur dengan sendirinya dan kemudiannya kehilangan semua jari pada tangan kirinya.Pihak plaintif mendakwa, pihak defendan cuai semasa memeriksa dan merawati plaintif pertama sehingga tangan kanak-kanak itu kudung dan menyebabkan dia dijangkiti kuman selepas 10 hari dilahirkan.

Akibat kecuaian dan memungkiri perjanjian untuk merawat plaintif pertama dengan sempurna, pihak plaintif menyatakan, mereka telah mengalami kecederaan, kesakitan, kerugian dan tekanan mental serta emosi.Berikutan itu, pihak plaintif menuntut ganti rugi khas RM522.50, ganti rugi am, faedah bagi setiap ganti rugi itu, kos dan relif-relif lain.Pada 30 November tahun lalu, seorang mekanik, Lai Kian Khee menyaman Pengarah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi menuntut ganti rugi lebih RM2 juta setelah bayi perempuannya, Lai Yok Shan menghadapi masalah sel lengan kirinya mati dikatakan akibat tersalah suntik.


ARKIB : 01/09/2007

Ibu bapa izin lengan kiri anak dipotong

KLANG 31 Ogos – Ibu bapa kepada bayi, Lai Yoke Shan berusia 39 hari yang sel tangannya mati akibat tersalah suntik oleh seorang doktor pelatih di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini membenarkan lengan kiri anaknya itu dipotong, esok.
Walaupun bapa bayi itu, Lai Kian Khee, 24, pada peringkat awal agak keberatan untuk berbuat demikian tetapi akhirnya menyatakan persetujuannya dalam satu pertemuan dengan pakar-pakar hospital tersebut kira-kira pukul 2 petang ini.
Persetujuan itu dicapai selepas mereka mengadakan perbincangan kira-kira satu jam setengah dengan pakar terbabit dan proses berkenaan dijadualkan pada pukul 9 pagi esok.
Kian Khee dan isterinya, Nut Tuemthony, 27, bersetuju agar lengan kiri anaknya dipotong selepas mendapat nasihat serta pandangan daripada pakar-pakar daripada HTAR.
Menurut Kian Khee, keputusan itu dibuat kerana dia tidak mahu keadaan lengan kiri Yoke Shan menjadi bertambah buruk sekiranya tiada tindakan segera dilakukan.
"Memang sukar untuk membuat dan menerima keputusan ini dan saya harap ia akan mengurangkan risiko lain yang boleh memudaratkan kesihatan anak kami kemudian hari," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kian Khee berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertemuannya dengan pakar-pakar HTAR bagi mendapatkan keizinannya bagi membolehkan pihak hospital boleh memotong lengan Yoke Shan yang tidak berfungsi akibat kerosakan sel.
Keadaan itu disebabkan doktor yang merawatnya didapati cuai semasa memberikan suntikan selepas Yoke Shan dilahirkan dalam keadaan tidak cukup bulan pada 23 Julai lalu.
Dalam pada itu, Kian Khee ketika ditanya mengenai jumlah pampasan yang bakal dibayar oleh Kementerian Kesihatan ekoran kejadian tersebut memberitahu, setakat ini tiada sebarang keputusan dibuat mengenai perkara itu.
Bagaimanapun, beliau yang bekerja sebagai mekanik mahu menuntut pampasan daripada kementerian terbabit termasuk kos perubatan seumur hidup serta menyediakan tangan palsu kepada Yoke Shan.







Tiada ulasan:

Catat Komen

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.