Sabtu, 28 Januari 2012

Ibu dakwa cuai punca anak patah tangan


ARKIB : 06/10/2009

Ibu dakwa cuai punca anak patah tangan


Mohamad Afif Aidil Mohamad Shah Al Fandi menderita akibat patah tangan kiri ketika proses kelahirannya di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) pada 14 September lalu.


BALING 5 Okt. - Seorang wanita hari ini mendakwa kecuaian petugas wad bersalin di Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani menyebabkan bayinya yang dilahirkan di wad itu kini menderita sakit akibat patah tangan kiri.

Faizah Ibrahim, 28, berkata selepas melahirkan anak keduanya itu pada 14 September lepas, seorang doktor memaklumkan kepada beliau bahawa tangan kiri bayi yang dilahirkan itu telah patah ketika dikeluarkan dan memintanya supaya tidak membuat sebarang aduan.
Katanya, disebabkan bersetuju dengan nasihat doktor itu dan percaya bayinya akan pulih seperti biasa, beliau tidak mendedahkan kecuaian petugas wad bersalin itu kepada mana-mana pihak sebelum ini.

"Selepas 11 hari di wad, bayi lelaki saya dibenarkan keluar tetapi sekarang tangan bayi saya ini semakin bengkak dan kebiruan sehingga ke tapak tangan manakala tangan sebelah kanannya pula mengalami masalah saraf," kata Faizah di rumahnya di Kuala Pegang di sini.
Katanya, anak beliau, Mohamad Afif Aidil Mohamad Shah Al Fandi, sering menangis kesakitan dan sedang menerima rawatan di Hospital Baling di sini.

Faizah berkata, pegawai perubatan di Hospital Sultan Abdul Halim itu telah menunjukkan gambar X-ray kepada beliau sebelum tangan bayinya itu disimen.

Suami beliau, Mohamad Shah Al Fandi Md. Yusof, 28, seorang pekerja kampung, berkata mereka bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak Hospital Sultan Abdul Halim atas kecuaian yang menyebabkan anaknya menderita kesakitan.

"Saya sangat sedih dengan kejadian yang menimpa anak kami akibat kecuaian pihak hospital dan kami akan mengambil tindakan undang-undang," kata beliau.

Pengarah hospital berkenaan, Dr. Harris Fadzilah Che Hashim gagal dihubungi tetapi difahamkan pihak hospital telah pun memberi penjelasan mengenai kejadian itu kepada ibu bapa bayi berkenaan baru-baru ini.

"Kita telah memberi penjelasan mengenai kejadian itu dan meminta ibu bapa bayi merujuk semula ke hospital ini jika ada sebarang masalah," kata seorang jurucakap hospital itu. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.