Sabtu, 28 Januari 2012

doktor lebih mementingkan keuntungan


Jualan cara haram sejak 1970-an

KUALA LUMPUR - "Bukan sukar nak beli pil khayal ni. Selagi ada doktor yang lebih mementingkan keuntungan selagi itulah penagih boleh mendapatkannya dengan mudah." Demikian reaksi penyanyi popular Jamal Abdillah (gambar) ketika diminta mengulas laporan KOSMO! semalam mengenai kegiatan seorang doktor di Pulau Langkawi yang menjual secara haram pil haram kepada penagih dadah. Kegiatan doktor itu bagaimanapun terbongkar apabila sepasukan Penguat Kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan melakukan serbuan ke atas kliniknya di Kuah, Pulau Langkawi kelmarin. Menurut Jamal yang kini masih berusaha keras meninggalkan masalah ketagihannya, gejala doktor menjual pil khayal kepada penagih bukan perkara baru dan ia masih berlaku ketika ini di seluruh negara. "Ia sudah berlaku sejak tahun-tahun 1970-an lagi," katanya kepada KOSMO! semalam. Beliau menyifatkan perbuatan doktor berkenaan sebagai tidak bertanggungjawab walaupun mereka tahu risikonya di segi undang-undang. Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Datuk Dr. Teoh Siang Chin (MMA) pula memandang serius perkara berkenaan kerana ia melanggar etika pengamal perubatan. Jelasnya lagi, sekiranya seseorang pengamal perubatan didapati bersalah menjual ubatan yang mengkhayalkan tanpa kawalan, tindakan menarik semula lesen boleh dikenakan. Sementara itu di Alor Star, polis mengakui kegiatan klinik itu membekalkan pil khayal kepada penagih telah berleluasa sejak akhir tahun 2006. Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Suprintendan Mohamed Ali Jamaluddin, pihaknya sebelum ini telah beberapa kali menahan penagih dadah di sekitar klinik berkenaan dan mendapati mereka memiliki pil khayal jenis dormicum. "Penagih boleh beli pil tersebut dengan senang walaupun kebenaran penjualan pil berkenaan di klinik itu telah ditarik balik oleh pihak berkuasa," katanya ketika dihubungi KOSMO! semalam. Tambah Mohamed Ali, pada awalnya klinik berkenaan dibenarkan menjual pil-pil menahan ketagihan itu kepada penagih tetapi kebenaran tersebut telah ditarik balik akibat penyalahgunaan penjualan tersebut. "Tetapi selepas ditarik balik kebenaran itu, klinik tersebut tetap berdegil dan terus jual pil berkenaan kepada penagih dadah sehingga klinik berkenaan jadi tumpuan penagih," jelasnya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.