Sabtu, 28 Januari 2012

Doktor didakwa jual beli bayi


ARKIB : 17/06/2008

Doktor didakwa jual beli bayi

Oleh KAMIL MASLIH
JOHOR BAHRU 16 Jun - Seorang doktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas lapan pertuduhan berkaitan kes penjualan dan pembelian bayi di sini bulan lalu. Dr. Robert Luk Tai Kong, 62, dituduh menipu di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan selain empat pertuduhan lagi di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana didakwa menggunakan dokumen palsu.Tertuduh yang merupakan warga tempatan tetapi kini menetap di Singapura mengaku tidak bersalah terhadap kesemua lapan pertuduhan itu dan minta dibicarakan.

Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin Tertuduh juga diarahkan supaya melaporkan dirinya di Balai Polis Sentral Johor Bahru pada minggu pertama setiap bulan.Berdasarkan dakwaan, Tai Kong menghadapi empat pertuduhan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan itu dituduh memperdaya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri Johor dengan memberi butir peribadi ibu bapa yang palsu bagi empat bayi iaitu Loong Yu Xuan, T. Rubhashri, Serena Swathi dan Fabian Naveen. Dalam pertuduhan itu, dia telah mendorong tiga kakitangan JPN iaitu K. Nagayie, Sh. Ramdzan Sh. Abdullah serta Suriyani Mohamad Noor untuk mencetak dan mengeluarkan sijil kelahiran bayi-bayi terbabit.

Bagi empat pertuduhan lagi di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa secara curang menggunakan sijil kelahiran yang telah dicetak bagi mengesahkan bahawa So Sai Hong dan Loong Cher Heng; Kogula Sundari Periasamy dan Thiagarajan Nadarajan; Evensia Mary D. Stanislaus dan Gerard Joseph; D.S. Cynthia dan S.S. Ferliex masing-masing sebagai ibu bapa kandung kepada Yu Xuan; Rubhashri; Serena dan Fabian.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu di No. 33B, Menara Landmark, Landmark Medical Centre pada empat tarikh iaitu pukul 10.23 pagi, 8 Oktober 2007; 10.50 pagi, 23 November 2006; 11.43 pagi, 25 Oktober 2007 dan 3.34 petang, 26 Februari 2008.Pendakwaan bagi kes membabitkan Fabian didengar di hadapan Hakim Muhammad Jamil Hussin, manakala bagi kes tiga bayi lain, pendakwaan dijalankan di hadapan Hakim Aliman Musri.Bagi pertuduhan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.Dia juga boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama.Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abdul Ghani, manakala tertuduh diwakili oleh peguam bela, R.K. Menon.Mahkamah menetapkan kes itu disebut semula pada 15 Ogos ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.