Sabtu, 28 Januari 2012

Warga emas derita jarum tertinggal dalam perut


ARKIB : 09/02/2009

Warga emas derita jarum tertinggal dalam perut



KULIM 8 Feb. - Seorang warga emas tidak menyangka kesakitan yang dialaminya setiap kali selesai menjamah makanan sejak lebih tiga tahun lalu rupa-rupanya berpunca daripada sebatang jarum yang tertinggal di dalam perutnya. Jarum sepanjang kira-kira empat sentimeter itu ditemui sepasukan doktor Hospital Parit Buntar, dekat sini yang merawat Che Mas Mahmud, 79, selepas dikejarkan ke hospital itu pada 20 Januari lalu. Keluarga Che Mas percaya, jarum tersebut tertinggal dalam perut warga emas itu ketika menjalani dua pembedahan akibat penyakit barah usus di Hospital Taiping, dekat sini pada tahun 2005. Anaknya, Salleh Mohamad, 35, berkata, ibunya itu sering mengadu sakit seperti dicucuk benda tajam sejak tiga tahun lalu, tetapi doktor mendakwa tidak mengesan sebarang objek melalui imbasan yang dibuat sebelum ini. Katanya, sejak itu ibunya jarang menjamah makanan sehingga mengakibatkan berat badannya susut mendadak lebih 30 kilogram. ''Sejak pembedahan (tahun 2005) mak selalu mengadu sakit seperti dicucuk-cucuk dan kami buat beberapa pemeriksaan tetapi tetapi doktor bertegas kata tidak ada apa-apa di dalam perutnya. ''Bila keadaan mak dah semakin teruk baru-baru ini, barulah doktor mengesahkan ada jarum yang tertinggal dan mak ditahan di wad selama tiga hari," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Aping, Serdang, dekat sini hari ini. Salleh berkata, keluarganya merujuk perkara itu kepada Hospital Taiping tetapi penjelasan yang diberi amat mengecewakan apabila dimaklumkan bahawa pihak hospital tidak dapat berbuat apa-apa kerana ibunya agak uzur. Menurut Salleh, doktor sebaliknya hanya menasihatkan supaya ibunya dibawa melakukan pemeriksaan secara berkala di hospital tersebut. ''Doktor ada menyatakan jarum tersebut boleh dibuang melalui pembedahan tetapi menasihatkan kami supaya tidak melakukannya kerana ia berisiko. ''Sepatutnya pihak hospital membuat tindakan susulan yang sewajarnya kerana kesakitan yang dialami ini akibat jarum yang ditinggalkan sendiri oleh pihak hospital," tegasnya. Salleh berkata, keluarganya membuat laporan polis di Balai Polis Bagan Serai, dekat sini semalam kerana mendakwa pihak hospital cuai sehingga menyebabkan bahan itu tertinggal di dalam perut ibunya.

Tiada ulasan:

Catat Komen

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.