Sabtu, 28 Januari 2012

Ubat tamat tempoh punca telinga bernanah


ARKIB : 07/07/2010

Ubat tamat tempoh didakwa punca telinga bernanah

NORIYAH Cheklah menunjukkan ubat titis tamat tempoh yang digunakan anaknya, Nor Shamira Adila Mohd. Shah sehingga menyebabkan sakit telinga anaknya semakin kronik ketika ditemui di Melaka, baru-baru ini.


MELAKA 6 Julai - Seorang suri rumah mendakwa kecuaian kakitangan sebuah klinik swasta di daerah Melaka Tengah memberi ubat yang telah tamat tempoh menyebabkan telinga kiri anak perempuannya bernanah.
Noriyah Cheklah, 32, dari Klebang Besar di sini mendakwa anak tunggalnya, Nor Shamira Adila Mohd. Shah, 8, terpaksa menanggung kesakitan apabila telinganya mengalami kegatalan sehingga mengeluarkan nanah dan berbau.
''Saya membawa Shamira ke sebuah klinik swasta pada 26 Jun lalu dan doktor yang memeriksa memberitahu telinga anak saya mengalami jangkitan dan ada kulat.
''Doktor kemudian memberi tiga jenis ubat iaitu antibiotik, ubat tahan sakit dan sejenis ubat cecair untuk dititiskan ke dalam telinga anak saya dengan bayaran sebanyak RM35," katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat aduan mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu di pejabat Pembela Barisan Nasional (BN) negeri di sini kelmarin.
Menceritakan lanjut mengenai kejadian itu kata Noriyah, selepas tiga hari mendapatkan rawatan di klinik berkenaan, keadaan anaknya tidak menampakkan sebarang perubahan malah sakit telinga yang dihadapinya semakin serius.
''Saya hairan melihat keadaan anak saya semakin teruk malah dalam telinganya berair dan bernanah walaupun sudah diberi ubat.
''Namun, apabila saya amati semula botol ubat titis itu, baru saya sedar ia sudah tamat tempoh sejak Disember tahun lalu. Saya bimbang kemungkinan ubat itu yang menjadi punca sakit telinga anak saya semakin teruk," katanya.
Menurutnya, dia telah membawa anaknya melakukan pemeriksaan dengan doktor pakar telinga di Hospital Melaka.
''Selepas tiga hari menggunakan ubat yang diberikan oleh pihak hospital, bahagian telinga anak saya yang mengalami jangkitan mula kering dan beransur pulih," katanya.
Menurut beliau, tujuan aduan itu dikemukakan kepada Pembela BN ialah untuk memastikan tiada pengguna sepertinya ditimpa masalah yang sama dan dia ingin mendapat pembelaan sewajarnya daripada pihak berkaitan.
''Jika dilihat keadaan anak saya sekarang, sakitnya sudah beransur baik walaupun belum sepenuhnya, tetapi kita tidak tahu apa yang berlaku pada masa depan kesan daripada kecuaian klinik terbabit," katanya
Sementara itu Ketua Penyelia Pembela BN, Amir Hamzah Aziz berkata, pihaknya kesal dengan sikap petugas di klinik terbabit yang cuai memberikan ubat yang sudah tamat tempoh kepada kanak-kanak berkenaan.
''Pihak kami sudah menghubungi klinik terbabit bagi mendapatkan penjelasan dan mereka mengakui kesilapan dan bersetuju untuk membiayai kos perubatan susulan Shamira dengan pakar telinga di hospital," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Komen

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.