Sabtu, 28 Januari 2012

HUKM disaman RM4.1j


ARKIB : 11/07/2009

2 doktor, HUKM disaman RM4.1j

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0711&pub=Utusan_Malaysia&sec=Mahkamah&pg=ma_01.htm

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

RIDZANO Zainuddin menunjukkan gambar arwah isterinya, Norhazimah Mansor dan writ saman terhadap HUKM atas dakwaan cuai menyebabkan kematian isterinya ketika menjalani pembedahan, di Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 10 Julai - Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan dua doktornya disaman RM4.1 juta kerana didakwa cuai sehingga menyebabkan kematian seorang jurutera wanita semasa menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di bahagian dada. Saman tersebut dikemukakan oleh tiga anak jurutera terbabit, Muhammad Ridzuan, 11, Muhammad Ridzauddin, 8, dan Nur Irdina Syahridza, 4, selaku plaintif pertama hingga ketiga melalui bapa mereka, Ridzano Zainuddin, 38.

Sementara datuk dan nenek ketiga-tiga kanak-kanak itu, Asnah Khatib, 58, serta Mansor Abu Bakar, 58, dinamakan sebagai plaintif keempat dan kelima.Ridzano pula dinamakan sebagai plaintif keenam.Writ saman tersebut difailkan melalui firma guaman, Tetuan Nik Saghir & Ismail di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Mereka menamakan Perunding Kanan Pembedahan Am dan Kemasukan Minimum Jabatan Surgeri, Prof. Dr. Jasmi Ali Yaakub defendan pertama, Dr. Ng Swee Bean defendan kedua dan HUKM defendan ketiga.Pihak plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas berjumlah RM4.1 juta.Semasa writ saman difailkan, Ridzano yang merupakan juruukur di sebuah syarikat swasta turut hadir bersama peguamnya, Ismail Yahya tanpa ditemani anak-anak dan kedua-dua mentuanya.

Dalam pernyataan tuntutan, pihak plaintif mendakwa, Ir. Norhazimah Mansor, 35, yang merupakan eksekutif kanan di Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) telah dikesan mempunyai sejenis ketumbuhan di bahagian dada pada Disember 2006.Berikutan itu, Allahyarham telah mendapatkan rawatan susulan di HUKM dan menjalani pembedahan di hospital berkenaan bagi membuang ketumbuhan tersebut pada 18 Disember 2007.Semasa pembedahan, mereka mendakwa doktor pakar telah memotong salah satu saluran yang dipercayai berhubungan dengan saluran utama dari jantung ke sel ketumbuhan sehingga menyebabkan pendarahan dalaman yang kritikal.Berikutan itu, sekumpulan pakar jantung telah dikejar ke dewan pembedahan untuk memberi bantuan. Bagaimanapun, mangsa tidak dapat diselamatkan selepas didakwa kehilangan empat liter darah.Pihak plaintif turut mendakwa pembedahan tersebut telah mengambil masa lima jam serta tiada bedah siasat dilakukan oleh HUKM untuk mengenal pasti punca kematian sebenar jurutera itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.