Sabtu, 20 April 2013

Glomerulonefritis Akut


Glomerulonefritis Akut  
Glomerulonefritis akut ialah sejenis penyakit buah pinggang yang berlaku secara akut akibat proses radang di unit-unit penapis di dalam buah pinggang yang dikenali sebagai glomerulus.
Kanak-kanak yang mengalami AGN menunjukkan gejala klinikal seperti berikut:
·                     Bengkak disekeliling mata.
·                     Perubahan warna air kencing – merah, pekat seperti air teh / kopi ’O’.
·         Kuantiti air kencing berkurangan.
·                     Tekanan darah tinggi yang menyebabkan sakit kepala dan sawan.
Sebab-sebab berlakunya AGN:
·                     **AGN di kalangan kanak-kanak lazimnya berlaku berikutan jangkitan kuman bakteria streptokokus (streptococcus) pada tekak atau kulit.
·                     Lain-lain jangkitan yang boleh memberi akibat yang sama termasuk bakteria selain streptokokus, virus atau pun jangkitan parasit.
·                     Penyakit tisu perantara seperti systemic lupus eryhtematosus, penyakit buah pinggang IgA atau Henoch-Scholein purpura boleh menyebabkan AGN walaupun penyakit-penyakit ini jarang berlaku di kalangan kanak-kanak.
** Lantaran kekerapan insiden AGN berlaku selepas jangkitan kuman streptokokus, adalah menjadi kebiasaan terminologi ”Post Streptococcal Glomerulonephritis; PSAGN” diguna secara bersilih ganti dengan terminologi ”Acute Glomerulonephritis ; AGN”.
Tanda-tanda klinikal PSAGN:
·                     Lazimnya, pesakit memberi riwayat jangkitan tekak atau kulit yang berlaku beberapa hari atau minggu sebelum bengkakan di sekeliling mata bermula.
·                     Tekanan darah tinggi.
·                     Komplikasi-komplikasi yang serius tetapi jarang berlaku termasuk:
o         sawan akibat tekanan darah yang terlampau tinggi.
o         kegagalan buah pinggang.
o         kesesakan nafas akibat cecair berlebihan dalam paru-paru.
Ujian Makmal:
·                     Ujian air kencing : untuk mengesan sel darah merah dan protein.
·                     Ujian darah:
o       ujian fungsi buah pinggang.
o       pemeriksaan darah lengkap (full blood count).
o      kuantiti Anti Streptolysin O (mengesan antibodi yang dihasilkan oleh badan untuk mengatasi antigen kuman streptokokus).
o      paras komplemen C3 dan C4 : komplemen C3 dijangka rendah dan akan pulih sediakala dalam masa 6 minggu. Paras komplemen C4 tidak terjejas.
Rawatan
·                     Penyakit ini secara lumrah akan sembuh dengan sendirinya dan rawatan sokongan bergantung kepada tahap keseriusan penyakit.
·                     Adalah penting untuk memastikan pengambilan air dan kuantiti air kencing disukat dengan teliti dan direkod setiap hari.
·                                                                                                                                           Berat dan tekanan darah perlu dipantau.
·                     Pengambilan cecair biasanya dihadkan di peringkat awal sehingga kuantiti air kencing bertambah. Ubat untuk menggalakkan peningkatan air kencing seperti frusemide boleh diberi untuk mengawal tekanan darah tinggi dan masalah cecair berlebihan.
·                Diet terdiri daripada makanan yang mengandungi protein yang normal dan rendah garam.
·                     Antibiotik Penicillin V atau Erythromycin selama 10 hari diberi untuk merawat saki-baki jangkitan kuman streptokokus.
Perkembangan Penyakit:
·                     Fungsi buah pinggang yang merosot, cecair dalam peparu dan masalah tekanan darah tinggi lazimnya pulih dalam masa 2 hingga 3 minggu.
·                Rawatan sokongan diteruskan sehingga gejala-gejala penyakit pulih ke tahap sedia-kala.
·                Warna air kencing pulih ke asal dalam masa 3 minggu. Sel darah merah masih boleh dikesan semasa pemeriksaan air kencing sehingga 1 tahun selepas berlakunya AGN.
·                Kehadiran kuantiti protein yang sedikit dalam air kencing boleh dikesan sehingga 6 bulan selepas AGN.
·                Pemeriksaan tisu buah pinggang (biopsi) perlu dipertimbangkan bagi kes-kes kegagalan buah pinggang yang teruk dan di kalangan pesakit yang gagal menunjukkan tanda-tanda pulih dalam tempoh masa yang dijangkakan.
Prognosis:
·                Lebih 90% kanak-kanak akan pulih sepenuhnya tanpa kerosakan buah pinggang.
·                Kira-kira 2% pesakit mungkin mengalami penyakit buah pinggang kronik. Mereka perlu dirujuk kepada Pakar Pediatrik Nefrologi untuk siasatan lanjut.
·                Semua pesakit mesti dipantau dalam tempoh 1 tahun untuk memastikan fungsi buah pinggang, tekanan darah dan ujian air kencing kembali normal.
Last reviewed
:
12 Julai 2012
Content Writer
:





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.