Sabtu, 20 April 2013

Baju buluh tahan busuk


Baju buluh tahan busuk


MIANG pokok buluh boleh menyebabkan kegatalan jika tidak kena cara memegangnya.
Namun, tumbuhan yang banyak terdapat di negara ini sebenarnya mempunyai pelbagai khasiat tersembunyi yang bermanfaat untuk manusia.
Malah, buluh yang sama keluarga dengan rumput itu turut enak jika rebungnya dimasak gulai. Bagi orang Melayu di Negeri Sembilan, Perak dan Pahang, hari raya pasti tidak lengkap tanpa lemang.
Bukan itu sahaja tarikan tersendiri tumbuhan ini. Buluh digunakan secara meluas untuk pembinaan jambatan, rumah selain akar dan daunnya didakwa berkhasiat untuk merawat beberapa penyakit.
Ironi, buluh digunakan secara meluas sebagai bahan utama Jambatan Sinchuan, China yang kini berusia lebih 1,000 tahun.
Selain itu, kediaman yang diperbuat daripada buluh tidak mudah roboh atau musnah apabila dirempuh gempa bumi kerana sifat elastiknya.
Kini, terdapat lebih 1 billion penduduk di seluruh dunia menggunakannya untuk membina rumah.
Namun, bagi dua adik-beradik, Shazila dan Shahiza Ghazi, mereka memaksimumkan buluh dengan cara tersendiri dengan diterjemahkan dalam bentuk produk fabrik seperti pakaian, tuala, alas lantai serta tudung.
Malah, syarikat milik mereka iaitu Bamboo Malaysia Sdn. Bhd. yang ditubuhkan pada 2009 menjadi tempat dua wanita ini bereksperimen dengan buluh sehingga dijadikan pakaian dalam lelaki dan juga wanita.
Bertempat di Plaza Mont Kiara, kedua-dua wanita ini teruja menceritakan erti buluh kepada kru Jurnal.
Menurut Shazila yang tampil menarik memakai baju-T berwarna merah yang bahannya diperbuat daripada 70 peratus buluh. Idea itu mula dijana dalam bentuk komersial oleh ayahnya, seorang bekas senator, Datuk Ghazi Ramli.
“Ayah menubuhkan Yayasan Inovasi Alam Sekitar Global (GIEF) pada 2010 yang memberi tumpuan kepada pembangunan kreativiti dan inovasi berasaskan buluh.
“Menerusi GIEF, beliau mewujudkan Dunia Bambu yang menekankan kepada penggunaan buluh untuk produk makanan, perlindungan, pakaian, hiburan dan pengangkutan,” cerita Shazila dengan nada teruja.
Tambahnya, dia dan adiknya, Shahiza memperkembangkan idea ayah mereka pula dalam bentuk produk tekstil dan cenderamata.
Baju buluh
Salah satu keunikan ‘idea’ mereka ialah baju-T berasaskan buluh.
“Baju berasaskan buluh teksturnya agak lembut, selesa dipakai selain mudah dibasuh. Selain itu, anda tidak perlu menggunakan pelembut kain kerana pakaian itu sememangnya lembut dan ringan.
“Malah, baju ini juga tidak perlu digosok dengan seterika kerana sifatnya yang elastik,” ujarnya.
Shazila juga mendakwa baju itu tidak akan berbau hapak walaupun lencun terkena peluh berhari-hari.
Adiknya, Shahiza tampil mencelah dengan mendakwa dia menggunakan baju itu selama tiga hari dan nyata masih berbau harum kerana disembur dengan minyak wangi.
“Saya sebenarnya malas untuk menggosok baju menggunakan seterika jadi ini satu perkara yang agak praktikal,” katanya.
Tambah Shahiza, buluh bercirikan anti bakteria, lembut serta teguh.
“Sebenarnya, produk tekstil berasaskan buluh telah digunakan secara meluas di China, Australia, Taiwan, Korea dan Jepun.
“Mereka menganggap pakaian sedemikian lebih menjaga alam sekitar selain selesa digunakan,” ujarnya.
Cuma kos untuk produk berkaitan buluh 20 peratus lebih mahal berbanding kapas.
Malah, jenis buluh yang sesuai digunakan ialah moso yang hanya terdapat di China, Korea Selatan dan Jepun.
Pakai sendiri
Shazila memberitahu, sambutan rakyat negara ini masih belum meluas kerana tidak banyak produk berkaitan buluh terdapat di pasaran.
Setakat ini, produk mereka hanya dijual secara online atau pameran dan ekspo tertentu.
Namun, pelbagai cerita lucu dan komen yang mereka terima daripada pelanggan.
“Ramai yang bertanyakan adakah memakai baju atau tuala buluh akan menyebabkan kegatalan dan miang pada tubuh badan.
“Selain itu, ada pelanggan yang bertanya sama ada mereka tidak menemui cebisan buluh baju, tudung dan sapu tangan serta tuala,” katanya sambil ketawa.
Cerita Shazila lagi, ada juga pelanggan lelaki yang segan untuk membeli seluar dalam.
“Biasanya kami hanya meletakkan kotak seluar dalam lelaki di rak pameran. Sekiranya mereka ingin membelinya baru kami akan memberikan bersama isi.
“Cuma mereka akan berasa malu-malu untuk bertanya apa perbezaan berbanding seluar dalam berasaskan kapas dan getah,” ujarnya.
Wanita yang masih bujang ini juga bersyukur kerana keluarga, saudara-mara dan rakan-rakannya banyak membantu melariskan jualan produknya.
“Tidaklah sampai memaksa mereka membelinya cuma ingin mempromosikannya tanpa sebarang paksaan,” katanya.
Harga bagi setiap produk antara RM5.90 hingga RM600.


Tiada ulasan:

Catat Komen

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.