Rabu, 25 Januari 2012

Ubah Gaya Hidup Elak Barah

ARKIB : 08/02/2011
Ubah gaya hidup elak barah



KIRA-KIRA satu pertiga daripada semua jenis barah sebenarnya boleh dicegah setiap tahun jika orang ramai mengamalkan corak pemakanan yang sihat, kurang mengambil minuman beralkohol dan lebih banyak bersenam.
Pakar Kesihatan dari Institut Penyelidikan Barah Amerika Syarikat (AICR) dan Dana Penyelidikan Barah Dunia (WCRF) percaya bahawa membuat sedikit perubahan mudah bagi gaya hidup seharian boleh mencegah kira-kira 40 peratus barah payu dara di Britain dan Amerika Syarikat.
Begitu juga bagi beribu-ribu kes barah usus, perut dan prostat.
“Sungguh menyedihkan apabila melihat tahun 2011 masih ramai orang yang mati akibat barah yang sepatutnya boleh dicegah melalui diet, mengekalkan berat badan yang sihat, aktiviti fizikal dan faktor-faktor gaya hidup yang lain,” kata Martin Wiseman, Penasihat Perubatan dan Saintifik WCRF.
Menurut Wiseman, di China saja sebanyak 620,000 kes barah atau 27 peratus boleh dicegah, manakala di AS sebanyak 35 peratus atau 340,000 kes dan di Britain sebanyak 37 peratus.
Gaya hidup yang sihat juga dapat mencegah 61,000 kes barah di Brazil dan 79,000 kes di Britain.
Penemuan WCRF tersebut disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang turut menyarankan bahawa kerap bersenam boleh menghalang banyak penyakit seperti barah, sakit jantung dan diabetes.
Barah merupakan punca kematian utama di seluruh dunia dan insidennya terus meningkat.
Setiap tahun kira-kira 12.7 juta orang didapati menghidap barah dan 7.6 juta orang mati disebabkan penyakit yang berbentuk barah. Terdapat kira-kira 200 jenis barah yang diketahui.
Mengikut Agensi Antarabangsa bagi Penyelidikan Barah Antarabangsa (IARC), barah akan membunuh lebih daripada 13.2 juta orang setahun menjelang tahun 2030, iaitu hampir dua kali ganda daripada jumlah yang mati pada 2008 0 dan majoriti kematian adalah di negara-negara yang lebih miskin.
Sementara itu dalam kenyataan berasingan, WHO yang beribu pejabat di Geneva menyebut, kadar aktiviti fizikal yang rendah menjadi punca utama kepada anggaran 21 hingga 25 peratus kes barah payu dara dan usus, 27 peratus bagi kes diabetes dan 30 peratus kes penyakit jantung di seluruh dunia.
Timbalan Ketua Bahagian Sains WCRF, Rachel Thompson, berkata, walaupun mesejnya mudah - iaitu jangan merokok, makan makanan yang baik dan mengekalkan berat badan yang sihat boleh membantu mengelak kebanyakan jenis barah - namun ia masih sukar untuk ‘difahami’ oleh orang ramai.
“Kita sudah cuba sebaik mungkin untuk sampaikan mesej tentang ‘ini yang anda perlu makan dan jumlah ini yang sepatutnya anda lakukan senaman’, tetapi masih sukar untuk difahami.
“Kita harus mencari jalan untuk membatu orang ramai lebih mudah melakukan perubahan.
“Setiap orang mempunyai peranan masing-masing daripada pertubuhan antarabangsa, kerajaan dan rakyat sendiri,” katanya.
WHO turut menyebut bahawa individu dewasa sepatutnya melakukan senaman sederhana sekurang-kurangnya 150 minit seminggu.
Ini boleh dilakukan hanya dengan berjalan kaki selama 30 minit lima kali seminggu atau berbasikal ke tempat kerja setiap hari.
Dalam pada itu Ketua Yayasan Paru-Paru Sedunia, Peter Baldini, juga menyeru semua kerajaan di seluruh dunia memperkenalkan undang-undang bebas-rokok dan menaikkan harga rokok.
Ini kerana rokok telah membunuh berjuta-juta perokok setiap tahun dan barah paru-paru berkaitan dengan tabiat merokok juga telah membunuh beribu-ribu orang yang tidak merokok tetapi terdedah kepada asap rokok.
“Memang tidak ada peluru ajaib yang dapat menyembuhkan semua bentuk barah, tetapi kita ada peluang dan obligasi untuk melindungi diri dan orang tersayang daripada apa juga bentuk barah dalam apa juga cara,” kata Baldini. - Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.