Sabtu, 18 Februari 2012

Antibodi Menentang Barah ukm

Saintis UKM Berusaha Perbanyakan Antibodi Menentang Barah

KHAMIS, 02 DISEMBER 2010 09:44
CetakPDF
Oleh Kuah Guan Oo
Foto oleh Mohd Noor Ramly

BANGI, 2 Dis. 2010 – Seorang saintis Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sedang berusaha dengan sebuah makmal swasta di Nilai untuk mengeluarkan secara besar besaran antibodi monoklonal (mAbs) untuk mengubati barah.
Prof Madya Dr Nurina Anuar dari Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Proses, Fakulti Kejuruteraan, berkata beliau sedang bekerjasama dengan InnoBiologics Sdn Bhd, sebuah anak syarikat kerajaan di Nilai, mengeluarkan mAbs itu secara besar-besaran untuk dipasarkan. 
Beliau telah berjaya mengadaptasi dan menguji di makmalnya cara membiak dan mengeluarkan secara optimum antibodi monoklonal  dengan menggunakan kultur sel mamalia yang tidak mengandungi serum di dalam satu sistem reaktor bio.
Usaha membuang serum itu amat rumit sekali tetapi ia perlu dibuat untuk menyingkirkan beberapa keburukannya seperti pencemaran, terutamanya apabila ubatnya diguna untuk manusia, kata saintis yang mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi sel mamalia dan tumbuhan, dan mikrobiologi perusahaan. 
Langkah menggunakan sel mamalia seperti hamster atau tikus untuk kultur atau membiak antibodi monoklonal, sejenis protein pergabungan semula yang aktif, adalah rumit sekali kerana serum dalam sel mamalia adalah hos atau tuan rumah kepada virus, bakteria dan parasit. Serum boleh dicemari bahan pencemaran lain seperti toksin, racun perosak, racun herba, logam berat, antibiotik, dan mikroorganisma.
“Tetapi kebaikan utama mAbs sebagai agen terapi bagi mengubati barah ialah kebolehannya untuk memburu hanya sel barah dan memusnahkan mereka.
“Kesan sampingan mAbs pula, adalah rendah dan ia boleh direka untuk ditambah aktiviti biologi atau fungsi lain, selain daripada melekatkan antibodinya kepada antigen atau bahan memudaratkan dalam badan,” katanya. Dr Nurina telah memperoleh PhD dalam jurusan Mikrobiologi (Teknologi Sel Mamalia) dari  University of Surrey, United Kingdom, pada 1999 selepas lulus ijazah MSc (Mikrobiologi – Teknologi Sel Tumbuhan) dari UKM pada 1991 di mana juga beliau memperolehi ijazah sarjana mudanya dalam jurusan mikrobiologi  pada 1987.  Beliau berkhidmat sebagai pegawai penyelidik di Universiti Sains Malaysia untuk satu jangka masa sebelum memasuki UKM sebagai seorang tutor dan pensyarah pada 1998.
Beliau berkata, mengikut laporan Pendaftar Barah Nasional 2008, kadar kes barah adalah sebanyak 100.2 kes bagi tiap-tiap 100,000 lelaki dan 123 ke untuk tia-tiap 100,000 wanita. Barah payudara (breast cancer) merupakan barah yang tertinggi di Malaysia dengan 18%, diikuti barah usus besar dan dubur ((11.9%) dan barah paru-paru (7.4%). “Jawapan untuk penyakit yang mudaratkan nyawa  atau barah ialah antibodi monoklonal (mAbs) yang telah banyak dipakai sebagai agen terapi,” katanya.
Tetapi jumlah kos perubatan untuk seorang pesakit barah adalah tinggi, misalnya, US$350,000 untuk Herceptin, sejenis ubat untuk barah payudara. Satu cara untuk menurunkan harga ubat-ubat ini ialah dengan mempelajari teknologi berkaitan untuk mengeluarkan ubat itu di sini. Oleh sebab itu, beliau sedang bekerjasama dengan InnoBiologics Sdn Bhd untuk mengeluarkan mAbs secara besar-besaran untuk mengubati barah.
InnoBiologics Sdn Bhd, yang mempunyai kontrak untuk mengeluarkan ubat terapi barah, adalah sebuah syarikat dikhususkan dalam teknologi pembiakan sel mamalia. Ia dilengkapi dengan kemudahan yang terbaik untuk pengeluaran bahan bio farmasi. Kemudahannya juga dibina mengikuti keperluan ketetapan Agensi Perubatan Eropah (EMEA) dan  Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (FDA).
Dr Nurina juga berkata para saintis telah menggunakan sel mamalia untuk mencipta  protein yang kompleks yang boleh digunakan sebagai bahan bio farmasi atau perubatan. “Ini bukan satu bidang yang baru kerana sel mamalia telah digunakan untuk mencipta protein khusus, seperti vaksin tetapi sel mamalia adalah yang kompleks sekali. Kalau orang ada pilihan, mereka akan menggunakan bakteria, sel tumbuhan atau kulat.”
Sebagai contoh, beliau berkata insulin, sejenis protein yang mulanya dihasilkan daripada sel mamalia dan oleh sebab proses pengeluarannya begitu rumit, para saintis pada 1980an telah mengasingkan gennya untuk dipindah ke sel bakteria untuk menghasilkan insulin. Oleh sebab itu, segala penyelidikan menggunakan sel mamalia harus memenuhi syarat Amalan Pembuatan yang Terbaik (atau CGMP) kerana hasilnya adalah bahan bio farmasi atau perubatan yang aktif. “Jadi, ketetapan untuk keselamatan bahan perubatan ini adalah lebih kompleks kerana ia diberikan melalui suntikan. Pengeluarannya harus memenuhi syarat piawaian CGMP,” katanya. 

Prof Madya Dr Nurina Anuar boleh dihubungi di: 
drnurina@eng.ukm.my
Telefon: 603 8921 6421  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.