Ahad, 13 Mei 2012

KESAN PENCEMARAN


Nota : Sekiranya anda masih punya datuk nenek yang sudah lanjut usia, cubalah tanyakan kepada mereka semasa mereka muda, penyakit kanser jenis apakah yang paling kerap mereka temui? Anda jangan terperanjat jika jawapannya amat susah untuk mendapat penyakit kanser sewaktu dulu itu!!! Zaman sekarang insiden penyakit kanser sudah berleluasa! Pencemaran makanan, udara, air, tanah, laut sudah berleluasa! Penyakit kanser boleh menimpa sesiapa saja walaupun mereka tiada faktor genetik sekalipun. Justeru, faktor penting yang menyumbang kepada peningkatan penyakit kanser adalah pencemaran!!! Sehubungan itu, Kilang Lynas Gebeng yang memproses radioaktif adalah amat sangat dikesalkan!!! Jika Australia sendiri tak mahu, kita juga tidak mahu Lynas!!!


KESAN PENCEMARAN
Disediakan oleh : LEE POH WAI ( 205660 )


http://blm1053alamsekitar.blogspot.com/2010/08/kesan-pencemaran.html

Pencemaran udara terhadap kesihatan manusia
Akibat daripada pencemaran udara, kesihatan manusia turut terjejas. Misalnya, penggunaan kereta masa kini telah bertambah dengan begitu pesat berbanding dahulu. Malangnya kecanggihan teknologi pembuatan kenderaan bermotor telah menimbulkan banyak masalah misalnya pencemaran udara, pencemaran bunyi, kerosakan alam dan membunuh hidupan semulajadi. Pengeluaran gas monoksida iaitu sejenis gas beracun boleh membunuh sekiranya terkumpul dalam kawasan yang tertutup. Sejenis lagi unsur yang boleh terhasil melalui penggunaan kenderaan bermotor ialah plumbum iaitu sejenis logam berat yang sangat beracun dan boleh menyebabkan kerosakan saraf & otak terutamanya di kalangan kanak-kanak.

Pencemaran udara telah memberi kesan yang buruk terhadap hidupan di dunia pada masa kini. Antara kesan utama yang menimpa manusia akibat daripada pencemaran udara ialah kesan terhadap sistem pernafasan. Udara dan bahan cemar yang terperangkap di dalamnya akan memasuki hidung atau mulut manusia dan memasuki paru-paru melalui rongga pernafasan (trakea). Karbon monoksida (CO) adalah antara gas yang dapat meracuni sistem pengangkutan oksigen dalam darah dengan begitu berkesan sekali. Selain itu, bahan cemar seperti Nitrogen Oksida (NO­2 ) boleh menyebabkan bengkak lendir (edema) dan pendarahan pulmonari. Bahan cemar gas ozon (O3 ) boleh menimbulkan kerengsaan. Habuk PM10 dan PM5, asap, kabus, wap atau bahan-bahan lain juga menjejaskan mata manusia dan menghalang penglihatan mereka. Volatile Organic Compound pula, selain ikut mulut dan hidung, boleh menyerap terus melalui kulit manusia! Kadar serapan ke dalam sistem badan lebih tinggi jika VOC melalui liang roma!!

Pencemaran air terhadap kesihatan manusia
Kesan-kesan daripada pencemaran air juga menimbulkan banyak masalah terhadap hidupan-hidupan di dunia pada masa kini termasuklah manusia sendiri, Bahan-bahan toksid yang dibuang dalam sungai akan mengurangkan kandungan oksigen dalam air, hidupan air seperti rumpair akan mati apabila memakan bahan beracun dari sumber air yang telah tercemar ini. Manusia juga akan mendapat penyakit yang serius jika mengambil sumber makanan daripada hidupan air. Manusia juga boleh mendapat penyakit atau masalah kesihatan yang teruk jika meminum atau menggunakan air yang tercemar itu. Sebagai contoh, kehadiran nitrat yang berlebihan dalam air minuman akan menyebabkan keracunan darah kepada bayi kecil dan barah kepada orang dewasa. Selain itu, sampah-sarap dan najis yang dibuang ke dalam air juga menggalakkan bakteria untuk terus membiak dan menjadi masalah kepada kehidupan di dalam air mahupun kepada manusia sendiri. Sedarkah anda kerang, lala, siput sedut, kepah, mentarang, pepahat dsbnya mencari makan dengan menghisap serta menapis lumpur lumpur sungai? Apabila najis manusia, minyak hitam kenderaan yang mengandungi berbagai jenis logam berat dan racun dari ladang kelapa sawit memasuki dan mencemari sungai, haiwan2 seperti kerang, lala, siput sedut, kepah, mentarang, pepahat dsbnya juga akan tercemar dengan segala macam toksin, logam berat dan racun kerana mereka makan dengan menapis lumpur lumpur sungai yang telah tercemar!!! Contoh jelas seperti peristiwa keracunan yang telah berlaku di Teluk Minamata, Jepun, disebabkan pencemaran methyl mercury yang masuk ke dalam air menyebabkan gejala kebas-kebas, sakit kepala, kabur penglihatan dan petuturan yang tidak betul. Sesetengah manusia berakhir dengan kelumpuhan dan ada yang menemui maut. Bayi dalam kandungan dilahirkan cacat! Keguguran berleluasa! Kucing yang makan ikan dari Teluk Minamata pula berjalan senget serta bengkang bengkok akibat kerosakkan medulla oblongata yang mengawal keseimbangan badan!! Gejala yang disebabkan oleh keracunan raksa ini telah membabitkan beratus-ratus keluarga nelayan dan mereka yang memakan ikan dan hidupan laut yang berasal dari Teluk Minamata. Ia dikenali sebagai penyakit Minamata ( sila tuan Googlekan Minamata Bay diseases ).

Pencemaran Bunyi terhadap Kesihatan Manusia
Pencemaran alam sekitar yang lain seperti pencemaran bunyi akan menyebabkan kerosakan pada telinga manusia secara serta-merta dan juga secara kronik. Sekiranya telinga menerima bunyi yang kuat iaitu lebih daripad 120 dB, selaput tympanum di dalam telinga akan pecah serta kerosakan 3 tulang kecil pada telinga dan ini menyebabkan kehilangan pendengaran kekal. Pendedahan berpanjangan kepada bunyi kuat iaitu lebih 85 dB dalam masa 8 jam sehari, akan merosakkan organ of Corti dalam koklia dan menyebabkan pendengaran menjadi susah dan kemungkinan juga akan menjadi pekak secara beransur ansur. Kesan-kesan di luar telinga pula adalah seperti kesan fisiologi iatitu peningkatan tekanan darah, meningkatkan pergerakan otot, meningkatkan pergerakan gastrik dan pembesaran pupil. Semua ini adalah gejala manusia mengalami tekanan (Stress) ! Seterusnya kesan psikomatik seperti sakit kepala, pening, loya, muntah, pergerakan mata tidak dapat dikawal, gangguan percakapan dan juga memberi kesan kepada tingkah laku.

Pencemaran Udara Terhadap Tumbuh-tumbuhan
Pencemaran udara juga memberi kesan yang sangat buruk terhadap tumbuh-tumbuhan di dunia ini. Tumbuh-tumbuhan mengalami kerosakan dengan tiga cara, iaitu Nekrosis (keguguran daun), Klorosis (pertukaran warna), dan perubahan pertumbuhan. Barli, kapas, gandum dan epal adalah antara tumbuhan yang mudah mengalami kerosakan dengan bahan cemar seperti sulphur dioksida (SO2). Selain itu, tomato, kekacang, bayam dan kentang juga mengalami kerosakan dengan adanya gas ozon (O3) di udara. Gas ozon menyebabkan kerengsaan pada rongga pernafasan manusia! Keadaan ini menyebabkan bumi mengalami kekurangan sumber makanan dan ekonomi sebahagian daripada penduduk di bumi ini juga terganggu.

Selain itu, tumbuh-tumbuhan memerlukan udara dalam proses fotosintesis dan tumbesaran. Jika udara mengandungi bahan pencemar, ini mengakibatkan kekurangan karbon dioksida untuk proses penghasilan klorofil. Ini menyebabkan tumbuhan menguning dan mati. Tisu-tisu tumbuhan juga mengalami masalah dan akan reput akibat tindak balas bahan pencemar yang terlekat pada rongga stoma daun tumbuh-tumbuhan. Tumbuh-tumbuhan akan terdedah kepada pelbagai penyakit dan hasil keluaran hasilnya akan berkurangan.

Pencemaran Udara terhadap Haiwan
Seterusnya, bahan cemar juga menyebabkan haiwan-haiwan terancam dan terbunuh. Sebagai contoh, di Pozo Rica, Mexico, sekumpulan burung kenari, ayam, tik, lembu, khinzir angsa dan anjing telah mati akibat terdedah kepada sulfur dioksida (SO2) yang dilepaskan ke udara oleh sebuah loji penapisan pada tahun 1950. Kematian haiwan itu disebabkan oleh penghadaman makanan haiwan yang tercemar setelah terdedah kepada bahan-bahan toksid yang terdapat di dalam udara. Contoh lain, adalah keracunan yang disebabkan oleh plumbum (timah hitam; Pb) yang telah membawa maut kepada lembu dan kuda seperti yang berlaku di Jerman. Haiwan-haiwan ini yang meragut kawasan rumput sekitar 5 kilometer dari sebuah kawasan kilang plumbum dan zink telah mengalami keracunan akibat daripada habuk plumbum yang dilepaskan oleh kilang tersebut. Lembah Kelang yang geografi mukabuminya berbentuk kawah besar juga menghadapi pencemaran plumbum yang dilepaskan oleh asap kenderaan! Plumbum ditambah ke dalam petrol sebgai antiknocking! Selepas kesan buruknya kepada kesihatan disedari, benzene telah digunakan sebagai pengganti plumbum sebagai antiknocking. Malangnya benzene sendiri sebgai VOC yang boleh menyebabkan barah darah (Leukemia)! benzene masih digunakan hingga ke hari ini sebagai antiknocking yakni dicampurkan ke dalam petrol di Malaysia!

Pencemaran Air terhadap Hidupan Akuatik
Di Malaysia, aktiviti perindustrian, urbanisasi serta perladangan menyebabkan pencemaran logam berat, racun makhluk perosak, pencemaran organik serta peningkatan keladak dalam air. Ia merupakan pencemaran utama yang memusnahkan kehidupan akuatik. Laluan utama pencemaran dari darat ke lautan adalah sungai. Sungai-sungai yang tercemar seperti Sungai Juru, Sungai Pinang dan beberapa sungai mengalirkan berbagai-bagai jenis racun, keledak bahan kumbahan dan najis haiwan ke dalam lautan. Spesies yang sensitif akan lama-kelamaan lenyap, sama ada disebabkan oleh kematian individu atau kegagalan pembiakan. Bagi spesies yang tahan lasak, pengumpulan bahan toksik dalam badan mereka boleh menyebabkan risiko yang tinggi kepada haiwan-haiwan yang terletak di penghujung rantaian makanan termasuklah manusia sendiri.

Pencemaran Udara terhadap Atmosfera
Kesan terhadap atmosfera yang dibawa oleh pencemaran udara pula ialah mengurangkan jarak penglihatan. Contoh yang paling jelas ialah kebakaran besar yang berlaku di hutan Indonesia pada tahun 1997 telah menyebabkan beberapa buah Negara di Asia Tenggara mengalami keadaan jerebu yang sangat teruk termasuklah Malaysia. Selain itu, pertambahan kepekatan karbon dioksida dalam atmosfera turut meningkatkan suhu bumi yang telah mencetuskan perbincangan hebat dalam kalangan para saintis di abad ini. Para saintis mendapati bahawa kepekatan karbon dioksida bertambah dari 0.032 peratus pada tahun 1968 kepada 0.038 peratus pada tahun 2000. Mengikut analisis tersebut, ia menyebabkan peningkatan suhu sebanyak 0.5 darjah selsius, dan kesan ini dikenali sebagai kesan ‘rumah hijau’.

Pencemaran Udara terhadap Lapisan Ozon
Pencemaran udara juga menyebabkan penyusutan lapisan ozon bumi yang melindungi hidupan di bumi ini daripada sinaran terus matahari. Pembebasan gas klorofluorokarbon atau CFC yang digunakan dalam alat-alat penyembur, alat penyaman udara dan peti sejuk menipiskan lapisan ozon ini. Penipisan lapisan ozon berlaku kerana bahan-bahan pencemar seperti CFC bertindak balas dengan lapisan ozon sehingga menguraikan oksigen yang membentuknya. Ini menyebabkan lebih banyak sinaran matahari yang sampai ke bumi. Pendedahan secara terus kepada cahaya matahari boleh menyebabkan kanser kulit yang amat berbahaya kepada manusia dan juga hidupan lain. Pancaran matahari yang terik juga menyebabkan berlakunya pencairan kepada ais-ais di bahagian kutub-kutub bumi dan menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan ekosistem di dunia pada masa kini.

Kejadian Hujan Asid
Seterusnya, pencemaran udara juga menyebabkan terbentuknya hujan asid. Hujan asid yang disebabkan oleh penggabungan gas-gas sulfur dioksida dan nitrogen oksida dengan air hujan. Ia berlaku apabila gas-gas sulfur oksida (SO) dan oksida-oksida nitrogen (NOx) dilepaskan ke udara dan bertindak balas dengan wap air yang terdapat di atmosfera dan seterusnya menjadi asid sulfurik dan asid nitrik. Asid ini terkumpul di dalam awan dan awan pula bergerak ke tempat-tempat lain dan membawa asid-asid tersebut. Asid itu akan turun bersama-sama dengan hujan dan menimpa hidupan yang terdapat di dunia. Ia mengubah keasidan (pH) tanah lalu membunuh tumbuh-tumbuhan dan juga hidupan air. Ia juga boleh menghakis pakaian, kertas dna bahan binaan bangunan. Selain itu, asid tersebut juga meresap ke dalam tanah dan menyebabkan kualiti tanah berkurang dan menjadikannya tidak subur. Hujan asid ini berbahaya kerana ia akan mengalir dan meresap ke dalam tanah dan memusnahkan galian dalam tanah sehingga tanah menjadi tidak sesuai untuk pertanian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.