Isnin, 26 November 2012

Herba Bahan Alternatif Kesihatan



May 6, '08 9:45 PM
for everyone

Seperti yang diketahui umum, Malaysia amat kaya dengan ubat-ubatan tradisional dan alternatif seperti digambarkan daripada struktur etnik di negara ini. Masyarakat pelbagai etnik yang terdiri daripada pribumi atau Orang Asli, pelbagai suku kaum di Sabah dan Sarawak, di samping tiga kumpulan etnik utama iaitu Melayu, Cina dan India. Sejarah juga membuktikan penggunaan herba masyarakat berbilang etnik di negara ini untuk tujuan perubatan. Oleh itu Malaysia berada dalam kedudukan terbaik untuk membangunkan ubat-ubatan tradisional menjadi produk komersial. Pada masa yang sama, dengan adanya kemudahan penyelidikan moden dan dilengkapi infrastruktur yang mencukupi, Malaysia mampu menjadi hab tumbuh-tumbuhan ubatan Asia. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Herbal Asia, Safinah Yaakob, industri herba berpotensi menjana sumber kekayaan baru negara. Katanya, Rancangan Malaysia Ke-9 yang dibentangkan tidak lama dahulu akan melonjakkan pembangunan industri herba sebagai peneraju baru pertumbuhan ekonomi. Tumpuan akan diberi kepada penggunaan bahan dan sumber asli dalam pertanian, penjagaan kesihatan, aktiviti perindustrian dan bioinfomatik di mana pertumbuhan sektor-sektor ini sungguh luar biasa.

‘‘Apa yang penting ialah sumber asas yang kita miliki akan memiliki IP (harta intelek) sendiri yang secara langsung menggalakkan penggunaan produk tempatan untuk gaya hidup yang sihat,’’ katanya. Pada masa ini, herba atau produk herba banyak digunakan sebagai ubat-ubatan sampingan atau sebagai bahan alternatif untuk meningkatkan kesihatan dan melawan penyakit. Ini dapat dilihat dengan jelas melalui peningkatan dalam jualan produk herba serta kewujudan banyak pusat kesihatan yang menyediakan perubatan tradisional seperti aromaterapi, qi-gong, refleksologi, terapi ozon dan sebagainya. Antara rawatan alternatif yang menggunakan herba adalah untuk merawat sakit belakang, sakit sendi dan urat, keletihan, migrain, menopaus, darah tinggi dan juga untuk tujuan kecantikan. ‘‘Ubat-ubatan tradisional yang diamalkan oleh orang Melayu dianggarkan melebihi 1,000 jenis tumbuhan berbunga dan paku-pakis. Contohnya termasuklah tongkat ali, kacip fatimah, pinang, lilit memanjat seruntum, daun inai, mengkudu, pegaga, kecubung, hempedu bumi, dukung anak dan sebagainya,’’ kata Safinah. Kesemua jenis tumbuhan dan herba tersebut amat bernilai dan mempunyai khasiat yang tinggi.

Jintan hitam yang tumbuh di bumi Arab dan India misalnya digunakan sejak ratusan tahun dahulu untuk mengubati penyakit gout, asma, batuk dan demam. ‘‘Aloe vera yang kaya dengan pelbagai jenis vitamin, mineral, asid amino, saponin, lignin, enzim, anthraquinoses dan asid seliksitik digunakan sepenuhya dalam kaedah perubatan. “Hari ini, banyak syarikat farmaseutikal yang sudah memanfaatkan penggunaan herba dari sumber alam tropika yang kaya ini untuk dikomersialkan’’, kata Safinah. Malah, di Malaysia sendiri, para penyelidik sudah mengkaji 1,300 jenis pokok dan tumbuhan hutan untuk mengenal pasti kemungkinan nilai perubatan yang ada padanya. Dalam masyarakat Orang Asli dan di kalangan orang Melayu, khasiat tumbuh-tumbuhan hutan yang hidup liar sudah dikenalpasti sejak sekian lama. Apa yang diperlukan adalah memanfaatkannya secara komersial. ‘‘Justeru, potensi sumber asli seperti herba cukup luas dalam memperkenalkan produk-produk alternatif kesihatan dan perubatan,’’ kata Safinah. Di Amerika Syarikat (AS) sahaja, jutaan ringgit diperuntukkan setiap tahun untuk menghasilkan makanan kesihatan bagi pasaran tempatan dan antarabangsa. Dianggarkan, sebanyak 20 hingga 50 peratus penduduk di negara membangun bergantung kepada perubatan alternatif dan komplementari berasaskan tumbuhan. Fenomena yang sama juga ditunjukkan oleh negara-negara Asia seperti Jepun, Korea Selatan, India, Indonesia dan juga Malaysia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menganggarkan bahawa permintaan global terkini terhadap tumbuh-tumbuhan ubatan sekitar AS$14 bilion setahun dan menjangkakan permintaannya akan terus meningkat menjelang 2050 menjadi AS$5 trilion. Angka ini jelas membuktikan bahawa pasaran herba mempunyai potensi dan peluang yang tinggi untuk berkembang maju. Laporan terkini juga menunjukkan bahawa jumlah jualan produk herba tempatan mencecah RM100 juta bagi tahun 2000. Pasaran ini meningkat kepada RM500 juta bagi tahun 2005 dan RM2.5 bilion pada 2010. Perkembangan global industri ini pastinya memberi kesan signifikan kepada pasaran herba Malaysia. Berikutan itu, Pameran Herba Asia 2008 yang diadakan buat kali kelima minggu depan akan mendedahkan kepada masyarakat mengenai kepentingan industri herba sebagai alternatif kepada penjagaan kesihatan. Pelbagai produk yang dihasilkan dengan bahan semulajadi dari khazanah hutan negara boleh didapati terutamanya produk-produk kesihatan yang berasaskan kesihatan.

‘‘Sudah sampai masanya kita menggunakan sepenuhnya sumber semulajadi yang terbukti semakin hari mendapat permintaan yang tinggi kerana khasiatnya’,’’ kata Safinah yang menjadi penganjur utama pameran. Pameran Dagangan Herbal Asia itu akan bermula pada 8 hingga 11 Mei ini di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade, Kuala Lumpur. Pameran ini merupakan satu platform kepada semua yang terbabit di dalam industri herba sama ada di dalam atau luar negara untuk bertukar idea dan maklumat, di samping mendapatkan perkembangan terkini isu-isu semasa serta teknologi-teknologi baru yang boleh membantu meningkatkan pertumbahan industri tersebut. Antara bidang yang amat berkait rapat dengan industri herba ini ialah kesihatan di mana kini, sudah banyak herba dan produk-produk semulajadi menjadi asas dalam pembuatan ubat-ubatan mahupun makanan kesihatan. Justeru, pameran ini akan memberi pendedahan yang lebih meluas mengenai pentingnya industri herba di negara ini dalam aspek penjagaan kesihatan. Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pameran ini bolehlah menghubungi sekretariat di talian 03-62803503/06 atau Faks: 03-62803607

Tiada ulasan:

Catat Komen

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.