Isnin, 26 November 2012

Acai Beri Beracun


Produk acai beri beracun

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my

IPOH: Ada produk kesihatan di pasaran yang didakwa dihasilkan berasaskan buah istimewa, acai beri dikesan mengandungi kimia beracun sibutramine selain tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Setakat ini, tiga produk berasaskan acai beri disahkan mengandungi racun berjadual itu termasuk jenama ABC Acai Berry Soft Gel, Acai Berry Dietry Supplement dan Acai Berry Slimming Herbal. Lima lagi produk acai beri iaitu Acai 1000mg Soft Gel, Acai Berry Detox, Acai Berry Extreme, Acai Berry Pure dan Acai Supreme Plus pula didapati dibawa masuk secara haram dan tidak berdaftar dengan KKM. Kewujudan bahan kimia berjadual dalam produk berkenan dikesan hasil ujian makmal terperinci dilakukan pakar Bahagian Penguat Kuasa Farmasi (BPF) KKM sejak beberapa bulan lalu.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM, Datuk Eisah Abdul Rahman dalam satu kenyataan media semalam berkata, bahan kimia sibutramine adalah sejenis ubat yang pernah diluluskan sebagai antiobesiti sebelum diharamkan penggunaannya oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah pada 23 Disember 2010.

“Kelulusan itu ditarik balik kerana kesan toksik yang membahayakan pengguna dan pernah menyebabkan beberapa kes mangsa menemui ajal.  “Sibutramine boleh meningkatkan tekanan darah dan kadar nadi pada sesetengah pesakit dan boleh memberikan risiko kepada pesakit yang mempunyai penyakit arteri koronari, kegagalan jantung kongestif, dan strok,” katanya. Beliau berkata, produk acai beri yang mengandungi kimia itu juga boleh berinteraksi dengan ubat lain dan mengancam keselamatan pengguna. “Pengguna perlu berhenti menggunakan produk itu serta-merta. Pengguna yang mengalami kesan sampingan boleh merujuk kepada pegawai perubatan bertauliah untuk nasihat dan rawatan,” katanya. Eisah berkata, KKM menerima banyak aduan berhubung produk pelangsingan badan berasaskan acai beri yang dijual melalui Internet. “Sehubungan itu, BPF menjalankan risikan dan siasatan terhadap produk mengandungi acai beri. Difahamkan, acai beri adalah buah daripada sejenis pokok palma yang biasa tumbuh di tepi paya di kawasan hutan hujan Brazil.

“Bagaimanapun, hingga kini, tiada bukti saintifik menunjukkan acai beri boleh mempengaruhi penurunan berat badan atau mempunyai kesan positif terhadap kesihatan,” katanya. Produk acai beri dibenarkan untuk dijual di Malaysia mempunyai nombor pendaftaran produk MAL yang sah. “Produk kesihatan berdaftar adalah produk yang sudah dinilai KKM untuk keselamatan, keberkesanan dan kualiti. Mereka yang didapati menjual produk tidak berdaftar boleh didakwa mengikut Akta Jualan Dadah yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM25,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-dua sekali,” katanya. BPF sebelum ini bertindak menyerbu beberapa premis di Selangor dan Terengganu dan merampas produk ABC Acai Berry Soft Gel dan Acai Berry Dietry Supplement.

p/s:

Kalau beli kismis dari luar negeri tu boleh ke kita pastikan permukaan anggur yg jadi kismis ini bebas dari racun serangga, racun rumpai, racun kulat dsbnya ? Adakah racun di atas permukaan kismis ini selamat untuk kita?

Begitu juga goji berri yg berasal dari negeri China. Adakah ia bebas dari racun di atas permukaannya? kedengaran dulu kerajaan Amerika mengharamkan impot goji berri China kerana dikesan beracun atas permukaannya.

Tiada ulasan:

Catat Komen

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.