Isnin, 26 November 2012

50 juta perokok mati dlm sedekad


50 juta perokok mati dalam sedekad



AHAD minggu lalu, Kementerian Kesihatan bercadang mengurangkan kandungan nikotin sebanyak 50 peratus dalam setiap batang rokok bagi mengekang ketagihan merokok dalam kalangan rakyat Malaysia. Apa tidaknya, lebih 10,000 rakyat negara ini meninggal dunia akibat tabiat itu. Sebanyak 30 peratus daripadanya disebabkan oleh 10 jenis kanser iaitu paru-paru, mulut, esofagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, pangkal rahim, usus dan perut. Sebanyak 50 peratus perokok lain mati disebabkan penyakit jantung manakala baki 20 peratus lagi kematian disahkan berpunca daripada strok. Dalam setahun, lebih 100,000 perokok dimasukkan ke hospital kerajaan akibat sakit jantung, kanser dan penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD). Realitinya, tabiat tidak sihat ini bukan sahaja mengundang pelbagai penyakit bahkan negara turut mengalami kerugian kira-kira RM20 bilion setahun kerana menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti.Walaupun pelbagai kempen kesedaran tentang bahaya merokok dijalankan di seluruh dunia, ia seakan-akan gagal menyekat ketagihan nikotin ini. Angka kematian akibat merokok pula terus meningkat. Meneliti laporan terbaharu yang dikeluarkan Yayasan Paru-Paru Dunia (WLF), kematian yang disebabkan tabiat merokok melonjak hampir tiga kali ganda dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini. WLF dan Persatuan Kanser Amerika mengatakan, jika kecenderungan ini berlarutan, maka satu bilion manusia akan hilang nyawa pada abad ini akibat penggunaan tembakau.
Negara miskin
Gambaran mudahnya, dalam setiap enam saat, satu nyawa akan melayang akibat merokok.Satu kajian antarabangsa yang dimuatkan dalam laman www.tobaccoatlas.org mendedahkan, tembakau telah meragut 50 juta nyawa dalam 10 tahun terakhir. Turut dinyatakan, lebih 15 peratus daripada seluruh kematian yang melibatkan lelaki di dunia disebabkan oleh merokok manakala tujuh peratus daripada kematian wanita turut berpunca daripada sebab yang sama.Di China, tembakau merupakan pembunuh utama di negara yang mempunyai penduduk teramai di dunia itu. Lebih 1.2 juta rakyatnya meninggal dunia setiap tahun akibat merokok. Angka tersebut dijangka meningkat kepada 3.5 juta kematian setahun menjelang 2030. Pengarah Institut Kesihatan Awam Universiti Georgia, Amerika Syarikat (AS), Dr. Michael Eriksen berkata, trend merokok dalam kalangan rakyat negara maju semakin menurun manakala di negara miskin adalah sebaliknya. "Jika kita tidak bertindak, keadaan akan menjadi lebih buruk terutamanya di Asia dan Afrika," ujarnya. Eriksen menambah, hampir 80 peratus kematian yang dikaitkan dengan tembakau berlaku di negara yang mempunyai ramai penduduk berpendapatan sederhana dan rendah. Di Turki misalnya, 38 peratus kematian dalam kalangan lelaki dikaitkan dengan penyakit akibat merokok. Bagaimanapun, bagi negara maju seperti AS, rokok masih menjadi pembunuh utama wanita di sana. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WLF, Peter Baldini menuduh industri rokok hanya memikirkan keuntungan tanpa mempedulikan bahaya yang ditanggung perokok dan orang sekeliling. - SITI NOR AFZAN KASIMAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.