Sabtu, 18 Februari 2012

Gabung ubat Cina &barat berkesan ubat BARAH



Gabungan perubatan tradisional Cina, barat paling berkesan

KUCHING: Gabungan perubatan tradisional Cina dan perubatan barat merupakan cara yang paling berkesan untuk merawat barah kata Presiden Persatuan Anti Barah Malaysia (MACA) Prof Dr C C Wong.
Menurut Dr Wong, kebanyakan negara-negara maju seperti Jepun, China, Taiwan, Hong Kong, Amerika dan England sudah mengamalkan gabungan kedua-dua jenis perubatan untuk merawat penyakit pembunuh tersebut.
“Di Malaysia terdapat dua persatuan berkaitan barah dan MACA merupakan satu-satunya persatuan yang menggabungkan perubatan tradisional Cina dengan perubatan barat,” katanya.
Beliau berkata, demikian ketika mengadakan sidang media semalam.
Katanya setakat ini di Malaysia, daripada sekitar 30,000 pesakit barah yang dikesan setiap tahun, 80 peratus pergi ke negara seperti China untuk mendapat rawatan alternatif dan menggabungkan dengan rawatan barat.
Dalam pada itu, semasa sidang media semalam, beliau berkata, pihak MACA akan mengadakan seminar berkaitan barah.
Katanya, seminar tersebut kebanyakannya akan menampilkan pakar-pakar perubatan tradisional Cina dan juga pihak daripada perubatan barat dalam memberi ceramah.
“Seminar akan diadakan pada 13 Oktober dari jam 8.30 pagi sehingga 5.30 petang di hotel Grand Supreme dan pengerusi MACA Dato Sri Wong Soon Koh dan Pengerusi bersama Datuk Richard Riot Jaem akan hadir selaku tetamu kehormat.
“Pengamal perubatan serta orang ramai yang berminat boleh menyertai seminar tersebut dengan bayaran RM150.
“Makan tengah hari dan minum petang turut disediakan,” kata Dr Wong, seorang pengamal perubatan tradisional Cina.
Pada masa yang sama, beliau berkata, pihaknya akan turut menganjurkan pameran serta khidmat nasihat tentang barah secara percuma dari 14 sehingga 16 Oktober di tempat yang sama bermula 8.30 pagi sehingga 5.30 petang.
Sementara itu, pihak MACA turut mencari pesakit barah yang berjaya melawan penyakit tersebut untuk menceritakan pengalaman mereka untuk dijadikan sumber inspirasi kepada pesakit-pesakit lain.
Katanya, pihaknya hanya akan memilih lima pesakit dengan jalan cerita terbaik untuk dimuatkan di dalam laman sesawang persatuan tersebut iaitu www.cancermalaysia.org.
“Sesiapa yang ingin menyumbangkan pengalaman memerangi penyakit barah boleh berbuat demikian dengan menghantar penyertaan kepada No 3 & 4, Jalan Abell, 93100, Kuching, Sarawak, Malaysia sebelum 30 November 2011.
“Setiap manuskrip dan gambar yang dihantar tidak akan dikembalikan dan sesiapa yang terpilih akan mendapat wang tunai RM1,000,” jelasnya.
MACA ditubuhkan dan berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada bulan Mei tahun ini dan beribu pejabat di Kuala Lumpur.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Dr Wong di talian 016-898 1368 atau 012-880 0790.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.