Sabtu, 7 Julai 2012

Bioplastik jalan penyelesaian?


Bioplastik jalan penyelesaian?

PENGGUNAAN bioplastik boleh dijadikan sebagai jalan tengah bagi ‘mendamaikan’ mereka yang menyokong dan menentang penggunaan plastik. Pembangunan Loji Pepandu Bioplastik oleh Sirim Berhad (Sirim) di Shah Alam tahun lalu boleh dianggap pelengkap kepada usaha agensi berkenaan memajukan industri bersepadu. Ini dinyatakan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Zainal Abidin Mohd. Yusof bahawa ia merupakan sebahagian daripada usaha membangun bidang keusahawan berasaskan teknologi. Loji yang terletak di Jalan Beremban Shah Alam itu merupakan satu daripada tiga satelit inkubator yang dimiliki agensi terbabit selain loji pepandu kosmetik dan juga loji pepandu seramik. Lebih daripada itu kata Dr. Zainal Abidin, usaha tersebut menterjemahkan tiga objektif Sirim dalam menghasilkan produk mesra alam melalui kerjasama dengan bahagian pengkomersialan untuk mengenal pasti produk-produk yang berpotensi dikomersialkan. Objektif kedua ialah mengadakan kerjasama untuk pembangunan projek penyelidikan dan ketiga kemampuan kejuruteraan tempatan dalam membangunkan loji pepandu. ‘‘Loji pepandu ini dibangunkan dengan kos RM3 juta sedangkan anggaran kos sebenarnya pada kapasiti yang kita lancarkan di sini ialah RM30 juta," ujar beliau. Beliau yang ditemui selepas pelancaran Loji Pandu Bioplastik PHA (polyhydroxyalkanoate) automatik sepenuhnya di Shah Alam yang disempurnakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr. Maximus J. Ongkili. Pembangunan loji berkenaan merupakan sebahagian daripada projek penghasilan bioplastik menggunakan teknologi fermentasi sisa sawit menerusi Program Technofund MOSTI bernilai keseluruhan RM21.4 juta. Projek berkenaan yang pertama di dunia menghasilkan plastik mudah urai daripada minyak sawit dan bahan buangan sawit.
Ruj: Arkib utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.