Sabtu, 7 Julai 2012

Mencegah Barah Pangkal Rahim


Mencegah Barah Pangkal Rahim (Kanser Servik)


BARAH pangkal rahim atau lebih dikenali sebagai kanser servik adalah barah ketiga paling tinggi menyerang wanita di negara ini. Antara faktor risiko penyakit barah pangkal rahim disebabkan kehadiran antibodi kepada human papillomavirus (HPV), kumpulan virus yang sama yang menyebabkan ketuat kelamin (genital wart).

Di Malaysia, masih ramai wanita yang kurang mengambil berat mengenai kanser pangkal rahim sedangkan ia perlu pencegahan awal iaitu pada usia meningkat remaja. Justeru, bagi terus menimbulkan kesedaran terhadap penyakit itu, Persatuan Barah Kebangsaan Malaysia (NCSM) dengan sokongan GlaxoSmithKline, menganjurkan Kempen Cegah Barah Rahim Dengan Bergaya Bersama Rakan Karib.

Ia adalah lanjutan kempen Power Over Cervical Cancer (POCC) yang dilancarkan pada Julai 2009, dengan matlamat mewujudkan kesedaran berkekalan mengenai pangkal rahim dan pada masa sama, menggalakkan wanita berbincang dengan pakar kesihatan serta mendapatkan perlindungan. Ketua Eksekutif dan Pengarah Perubatan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Dr Saunthari Somasundaram berkata, masih ramai wanita tidak mengetahui mengenai penyakit kanser pangkal rahim.

“Kanser pangkal rahim adalah penyakit ketiga tertinggi menyerang wanita Malaysia selepas kanser payudara dan kanser kolorektal. Jika dibiarkan, boleh menjejaskan kerjaya dan keluarga. “Di Asia Pasifik, penyakit ini membunuh wanita setiap empat minit. Malangnya, masih ramai yang tidak mendapat kesedaran dengan membuat pemeriksaan kesihatan awal mencegahnya,” katanya selepas merasmikan kempen itu, baru-baru ini.

Bekas pesakit, Genevieve Amarit Kaur Sambhi, 37, berkata dia tidak pernah menyangka akan mendapat penyakit kanser servik disebabkan tiada siapa dalam keluarganya menghidapi penyakit itu. “Saya mengamalkan gaya hidup sihat seperti tidak merokok, tidak minum arak dan berjoging setiap hari. Saya juga tidak pernah berasa sakit sehinggalah disahkan menghidap kanser itu pada April 2009. “Saat diberitahu mengenainya, saya hanya memikirkan mati. Saya juga seakan mahu putus asa untuk hidup dan tidak dapat bayangkan jika keluarga, anak dan kawan tiada di sisi menyokong,” katanya yang sudah pulih daripada penyakit itu. Tambah Genevieve, tiada simptom yang dapat mengesan seseorang itu mempunyai kanser pangkal rahim. Disebabkan itu, setiap wanita digalakkan menjalani pemeriksaan pap smear sebagai langkah pencegahan.

“Kepada wanita yang disahkan menghidap kanser pangkal rahim, dinasihatkan supaya terus kuat melawan penyakit itu dan tidak mudah putus asa. Dapatkan nasihat dan rawatan daripada doktor secara berterusan,” katanya.

P/S : Kalau suami anda merokok, risiko anda mendapat kanser pangkal/mulut rahim adalah lebih tinggi!

Tiada ulasan:

Catat Komen

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.