Sabtu, 7 Julai 2012

Klon gen bakteria hasilkan bioplastik


http://www.sisa.my/akhbar/index.php?option=com_content&view=article&id=4154:klon-gen-bakteria-hasilkan-bioplastik&catid=571:jun

Klon gen bakteria hasilkan bioplastik

Kejayaan penyelidikan dalam bidang plastik menggunakan bahan mudah urai merupakan khabar gembira kepada pencinta alam sekitar. Penyelidik tempatan telah membuktikan kemampuan mereka menghasilkan plastik mesra alam yang boleh dilupuskan secara semulajadi atau dikenali sebagai bioplastik. Apa yang lebih menarik penghasilan plastik mesra alam itu pula berasaskan kepada bahan buangan daripada biomas khususnya sisa kelapa sawit. Bioplastik yang dihasilkan dua penyelidikan tempatan memanfaatkan sepenuhnya bahan berasaskan kelapa sawit yang banyak terdapat di negara ini.
Kedua-duanya ialah Prof. Dr. Mohd. Ali Hassan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Prof. Dr. K. Sudesh Kumar dari Universiti Sains Malaysia (USM). Menariknya, penyelidikan terbabit melibatkan kerjasama dengan sebuah universiti terkemuka dunia, Institut Teknologi Massachusetts (MIT) dari Amerika Syarikat (AS). Menurut Dr. Sudesh, projek penyelidikan tersebut dimulakan sejak 2006 dengan menggunakan peruntukan menerusi Tumpuan Penyelidikan Dalam Bidang Keutamaan (IRPA) ketika itu dan diteruskan pada era ScienceFund dan TechnoFund dan siap pada tahun ini. Fasa berikutnya ialah pengkomersialan yang mana pelabur berminat boleh mengadakan rundingan dengan pihaknya untuk mendapatkan butiran lanjut.
Beliau berkata, penyelidikan tersebut melibatkan kejuruteraan genetik bakteria Cupriavidus necator. Katanya, bakteria berkenaan akan memakan bahan mentah berasaskan sawit sehingga gemuk dan menukarkannya kepada plastik. ''Sebab itu kita memerlukan penglibatan MIT yang membantu dalam mengklonkan gen bakteria yang menukarkan bahan mentah yang ia makan sebelum menukarkannya kepada plastik, '' katanya. Jelas beliau, dua bahan asas yang digunakan ialah bahan buangan sisa kilang (POME) yang merupakan hasil penyelidikan Dr. Mohd. Ali, manakala beliau terlibat dalam penggunaan minyak isirung kelapa sawit (CPKO). Kedua-dua bahan tersebut diperlukan sebagai makanan kepada bakteria terbabit yang kemudiannya menghasilkan bioplastik. Bakteria berkenaan pula perlu diubahsuai bahan genetiknya untuk menambah kekuatan dan bilangan gen yang berkaitan dengan penghasilan plastik. Teknologi tersebut diusahakan bersama MIT menerusi pakarnya, Prof. Dr. Anthony Sinskey yang juga Ahli Panel Penasihat (IAP) Bioteknologi Malaysia.
Sinskey berkata, teknologi pengklonan gen itu menghasilkan strain (jenis) bakteria yang pintar dan unik dan kerjasama itu membolehkan usaha-usaha penambahbaikan terhadap penemuan sedia ada. ''Saya sudah 25 tahun terlibat dalam bidang ini di MIT dan saya fikir pengkomersialan perlu dibuat walaupun mengambil masa yang lama.
''Banyak aplikasi yang boleh dihasilkan misalnya komponen alatan perubatan dan produk lain yang belum diterokai,' katanya. Dalam pada itu Dr. Sudesh menambah, dengan penggunaan 150 juta tan plastik bukan bio atau bahan berasaskan hidrokarbon setahun, penemuan penyelidikan terbaru itu dengan kerjasama Sirim sebagai penyedia dan pembangun loji akan memberi harapan baru kepada industri teknologi hijau. ''Loji ini membuktikan kita mampu merealisasikan satu konsep yang bukan di atas kertas semata-mata. ''Plastik yang dihasilkan pula terurai dalam masa singkat sahaja iaitu tiga bulan hingga setahun berbanding plastik kimia yang mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk terurai.
Dr. Sudesh berkata, beliau yang terlibat dalam penyelidikan bioplastik selama 18 tahun memberitahu, kejayaan tersebut membuka mata pihak luar mengenai keupayaan pakar tempatan. Katanya, penggunaan bahan berasaskan sawit adalah tepat pada masanya memandangkan negara ini kaya dengan pokok sawit. Dengan itu, mempelbagaikan penyelidikan dan produk berasaskan sawit dapat membantu dalam penjanaan pendapatan supaya kerajaan tidak terlalu bergantung kepada minyak sawit yang berdepan dengan cabaran turun naik harga. Meskipun penyelidikan bioplastik yang diterokai Malaysia bukan baru memandangkan negara-negara luar menggunakan komoditi masing-masing untuk menghasilkan produk yang sama selama ini, tetapi ia satu cerita kejayaan membanggakan anak tempatan menjayakan konsep waste to wealth. Kata beliau, ubi kayu juga boleh digunakan untuk membuat plastik tetapi Malaysia tidak menghasilkan ubi dalam kuantiti yang banyak. Di China, kanji digunakan untuk tujuan tersebut manakala di AS, mereka menggunakan tepung jagung. Brazil pula memanfaatkan gula untuk penghasilan bioplastik memandangkan negara berkenaan kaya dengan tebu. Ditanya mengenai penyelidikan lain yang menghasilkan bahan plastik daripada kanji, beliau menjelaskan, penggunaan kanji tidak berapa sesuai kerana ia menyerap air dan tidak berapa tahan dengan keadaan persekitaran yang mempunyai kelembapan tinggi. Mengenai penggunaan bahan lain yang mudah terurai yang dikatakan telah dihasilkan sebelum ini, Dr. Sudesh menjelaskan, bahan tersebut bukan 100 peratus bioplastik kerana ia dihasilkan dengan campuran plastik bukan bio.
Beliau memberi contoh , penggunaan bahan tersebut sesuai untuk baja yang disalut dan dibebaskan secara perlahan-lahan termasuk yang digunakan dalam tanaman sawit. ''Hari ini industri tanaman sawit menjana pendapatan mencecah hampir RM60 bilion setahun tetapi RM18 bilion kos diperlukan untuk membeli baja," kata beliau. Oleh itu katanya, industri tersebut perlu memulangkan semula kos alam sekitar dengan menggunakan baja mesra alam yang boleh menjimatkan penggunaan baja.  Ruj: Arkib utusan


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.