Jumaat, 1 Mac 2013

Kanser prostat tak kenal usia



Tahukah anda, kanser prostat adalah kanser ketiga paling ditakuti lelaki di seluruh dunia? Pada 2008 saja, sebanyak 900,000 kes dilaporkan dan ia dijangka meningkat kepada 1.7 juta kes menjelang 2030. Angka berkenaan tidak mustahil akan terus meningkat jika kaum lelaki masih tiada kesedaran terhadap penyakit paling ditakuti itu. Ramai yang tahu mengenainya namun ada juga yang ‘buat-buat tidak tahu’.

Perunding Klinikal Onkologi Pusat Perubatan Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Lam Kai Seng berkata, kanser prostat penyakit yang semakin meningkat dalam persekitaran tempatan disebabkan peningkatan dalam jangka hayat penduduk tempatan dan kemewahan yang semakin meningkat dalam gaya hidup dan diet yang mirip kepada penduduk barat.

Selain itu, perspektif kebanyakan lelaki yang tunggu sakit baru berjumpa doktor juga antara yang menyumbang ke arah meningkatnya bilangan pesakit kanser prostat di negara ini.

“Ramai masih mengambil ringan mengenainya kerana berpendapat, jika sakit baru berjumpa doktor untuk pemeriksaan. Tidak kurang juga yang menganggap ia hanya menyerang lelaki berusia.
“Sebenarnya, andaian itu salah kerana kanser prostat menyerang lelaki tanpa mengira usia. Tidak kurang juga ada yang tunggu ‘rasa sakit’ baru berjumpa doktor, sedangkan pemeriksaan awal mampu menyelamatkan nyawa,” katanya.

Menurutnya, kanser prostat merebak melalui empat tahap. Ia dikenal pasti di segi saiz tumor, sama ada nod limfa dijangkiti atau tumor berkenaan merebak ke bahagian lain.

“Tahap pertama kanser adalah kecil dan terletak di bahagian dalam kelenjar prostat dan tiada gejala apabila pemeriksaan rektal dijalankan.

Pada tahap kedua, kanser masih dalam kelenjar prostat tetapi rasa bengkak boleh dirasai apabila pemeriksaan rektal dijalankan.

“Seterusnya pada tahap ketiga, kanser pecah menembusi selaput prostat dan kemungkinan besar merebak ke pundi seminal dan pada tahap keempat, ia merebak ke pelvis (tulang pinggul), nod limfa atau bahagian lain seperti tulang, hati atau paru-paru,” katanya.

Sementara itu, Perunding Urologi, Datuk Dr Selvalingam Sothilingam berkata, setiap lelaki berisiko dijangkiti kanser prostat. Meskipun negara Asia mempunyai bilangan lebih rendah berbanding Eropah, tidak bermakna golongan lelaki di negara ini boleh berpeluk tubuh.

“Sesiapa saja boleh menghidap penyakit ini. Paling penting, perlu sentiasa menjaga kesihatan dan melakukan aktiviti yang mengeluarkan peluh,” katanya.


Apakah simptom kanser ini?

  Kerap buang air kecil

  Aliran kencing lemah

  Mati pucuk

  Terdapat darah di dalam air kencing

  Sakit sewaktu buang air kecil

  Sukar mengawal rasa buang air kecil

  Sering berasa sakit di pelvis, saraf tunjang, pinggang dan tulang dada.


Faktor risiko?

  Sejarah keluarga

  Pemakanan

  Peningkatan usia

  Pendedahan kepada bahan tertentu seperti kadmium, getah dan logam.


Penduduk Amerika Syarikat dan Eropah berisiko lebih tinggi terhadap kanser ini berbanding Asia.


Rawatan

Pembedahan dikenali prostatektomi yang biasa dijalankan bagi membuang bahan tersumbat pada uretra. Radioterapi bagi memusnahkan sel kanser pada peringkat awal kanser prostat. Kesan rawatan ini, pesakit mungkin mengalami mati pucuk, gangguan pembuangan air kecil, dan saluran uretra menjadi sempit.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/12

 

Tiada ulasan:

Catat Komen

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.