Jumaat, 1 Mac 2013

Makanan organik tingkatkan kesihatan



 

Kualiti terjamin, pilihan terbaik dalam diet pemakanan


PENGAMBILAN makanan organik semakin mendapat sambutan di negara ini selepas promosi dijalankan sejak 1980-an mengenai kebaikan dan khasiatnya. Tidak mustahil jika ada yang sanggup mengubah corak pemakanan demi mencapai kesihatan menyeluruh. Berbeza di Barat, khususnya di Eropah penggunaan produk organik bukan perkara baru kerana industri berkenaan sudah mencapai lebih 60 tahun. Berbeza di Malaysia kesedaran itu berputik sejak beberapa tahun lalu dengan pelbagai produk makanan organik mudah dibeli di pasar raya atau ada kedai khas menjual produk berkaitan. Fenomena ini memberi gambaran pembeli sudah semakin bijak mengawal diet pemakanan bagi menjamin kesihatan diri dan keluarga.


Anda mungkin tertanya-tanya mengapa ramai orang ‘berubah haluan’ dengan mengambil makanan organik. Makanan organik adalah makanan yang melalui proses pertumbuhan secara semula jadi tanpa menggunakan bahan kimia seperti racun yang mampu mengelak penyakit pada tumbuhan atau haiwan, tanah yang dicampurkan bahan kimia juga untuk meningkatkan kesuburan tanah dan sebagainya. Makanan organik boleh diambil semua individu tanpa perlu ragu-ragu mengenai kandungan bahan asing yang boleh membawa kesan buruk kepada kesihatan. Pengurus Jaminan Kualiti Pureharvest, Micheal Ockers, berkata makanan organik adalah pilihan terbaik di samping pengambilan produk semula jadi kerana kualitinya terjamin selain bebas daripada penggunaan bahan kimia yang boleh memudaratkan kesihatan.

Jelasnya, menerusi penghasilan rangkaian produk makanan organik, proses pertanian dilakukan tanpa menggunakan bahan kimia seperti racun herba, racun perosak, racun kulat atau baja dan sekali gus tidak memberi kesan kepada kemusnahan alam sekitar.
Kaedah pertanian juga menggabungkan teknologi sedia ada, baru dan penyelidikan saintifik demi keseimbangan ekosistem. Berbekalkan udara, tanah dan air yang bersih, produk organik yang dihasilkan benar-benar asli serta berkhasiat. “Pureharvest adalah pengeluar utama produk makanan organik dan semula jadi di Australia, termasuk susu, soya, madu, jus, keju dan banyak lagi. Kesemua rangkaian makanan organik dihasilkan selamat dan bermutu menerusi amalan penanaman serta pengeluaran yang mesra alam sekitar.

“Ini secara tidak langsung menyokong matlamat kami untuk menjadikan penanaman organik sebagai satu cara terbaik dalam menghasilkan produk yang bukan saja sihat, bahkan mendatangkan manfaat kepada bumi. “Pertanian dan pengeluaran makanan organik yang bebas daripada ancaman penggunaan bahan berbahaya turut membantu mengurangkan toksin dalam tanah, udara, air dan badan kita di samping menawarkan pelbagai manfaat,” jelasnya sebelum sesi lawatan penghasilan produk organik di kilang Pureharvest, Victoria, Australia, baru-baru ini.

Lawatan yang dianjurkan Kerajaan Negeri Victoria Australia ini bertujuan meningkatkan kefahaman mengenai industri tenusu Victoria sekali gus merintis jalan bagi menjalin pakatan masa depan antara Victoria dan negara ASEAN. Turut menyertai rombongan sepanjang lima hari itu adalah wakil dari Indonesia dan Thailand. Terdahulu, semasa menjelaskan lanjut mengenai produk yang dihasilkan, Ockers berkata Pureharvest sering berusaha untuk mendapatkan sumber dan menggunakan bahan semula jadi dan organik bermutu tinggi untuk semua produk. Makanan organik yang dihasilkan juga adalah berdasarkan piawaian pengeluaran yang dikawal ketat untuk menjamin mutu makanan berkenaan.

“Lihat saja produk tenusu organik yang diketengahkan, ia dibuat daripada bahan semula jadi daripada ladang ke akhir peringkat pemprosesan, sehinggalah sampai ke meja makan pengguna dalam keadaan yang paling semula jadi. Di samping rasanya yang asli dan segar, cita rasanya yang pelbagai mengikut keperluan pembeli juga memudahkan amalan sihat yang dirancang.


“Seperti rangkaian susu Organic Dairy Milk yang diedarkan, sumber tenusu yang dihasilkan lembu kami adalah seratus peratus bebas daripada pengambilan sumber awet kerana diet diberikan adalah menepati keperluan vegetarian apatah lagi tiada rangsangan hormon dikenakan terhadap lembu-lembu kami bagi proses penghasilan susu. “Perkara sama juga tidak mengecualikan rangkaian produk lain termasuk pilihan bukan produk tenusu seperti jus, minyak kacang, jem, madu dan bijirin serta buah-buahan kering yang diedarkan adalah 100 peratus bebas bahan kimia,” jelasnya sebelum menamatkan perbincangan.


INFO: Kebaikan produk organik:

  Mengurangkan risiko penyakit jantung

Kandungan antioksidan dalam makanan organik 30 peratus lebih tinggi berbanding makanan yang menggunakan proses bahan kimia. Ini secara tidak langsung membantu mengurangkan risiko penyakit jantung dan kanser.

  Kandungan nutrien yang tinggi

Kandungan nutrien untuk makanan organik tinggi berbanding makanan yang diproses. Lebih teruk jika makanan yang diproses itu ditinkan kerana bahan kimia untuk pembuatan tin sebenarnya akan menurunkan lagi khasiat sesuatu makanan itu.

  Lebih bersih

Makanan organik jauh lebih bersih kerana ia melalui proses secara semula jadi. Walaupun bahan kimia mampu menyuburkan, mencantikkan, mengelak tumbuhan atau haiwan daripada penyakit dan sebagainya tetapi bahan kimia yang digunakan memberi kesan terhadap khasiat sesuatu makanan itu.

  Bebas racun dan bahan kimia

Makanan organik antara yang terbaik untuk diambil kerana ia bebas daripada sebarang racun atau bahan kimia yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan badan. Ia juga diambil semua individu tanpa perlu berasa ragu mengenai kandungan bahan asing yang boleh membawa kesan buruk kepada kesihatan.

  Simpan nutrien

Di samping kaya vitamin, garam galian dan serat, makanan organik turut berupaya menyimpan nutrien untuk jangka masa yang lebih lama. Ia juga dikatakan menjadi pilihan utama chef profesional dalam menyediakan hidangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.