Jumaat, 1 Mac 2013

Penjagaan paliatif pesakit kanser


Penjagaan paliatif pesakit kanser


Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kanser bukan sahaja menyebabkan penderitaan tetapi juga menjadi punca kematian kepada lebih enam juta lelaki dan wanita pada tahun 2000. Jumlah ini merupakan 12 peratus daripada penyebab kematian manusia di seluruh dunia. Dilaporkan juga lebih 10 juta kes baru kanser dikesan setiap tahun.

Pada tahun 2002 sahaja, jumlahnya meningkat kepada 10.9 juta kes baru dan sejumlah 6.7 juta orang dilaporkan mati akibat kanser. Apa yang membimbangkan melalui statistik yang dikeluarkan itu, dianggarkan kadar kejadian kanser akan meningkat sebanyak 50 peratus kepada 15 juta kes pada tahun 2020.

Punca peningkatan bilangan kes kanser ini dikaitkan dengan semakin tinggi peratusan warga tua disebabkan jangka hayat yang semakin panjang. Di samping itu, faktor gaya hidup tidak sihat seperti amalan pemakanan dan merokok antara penyumbang utama kepada peningkatan bilangan kes kanser.

Dari segi kes pula, kanser paru-paru mencatatkan bilangan paling tinggi penghidapnya di dunia.

Manakala merujuk kepada laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan 2003, sejumlah 21, 464 kes kanser baru telah dilaporkan di Semenanjung Malaysia. Daripada jumlah tersebut, 9,400 adalah kaum lelaki, manakala 12,064 adalah wanita.

Keseluruhannya, kanser payu dara merupakan kanser paling tinggi dilaporkan iaitu sebanyak 3,738 kes, diikuti kanser paru-paru sebanyak 1,758 kes (lelaki dan wanita ) dan kanser serviks sebanyak 1,557 kes.

Sementara lima kanser paling utama di kalangan kaum lelaki di negara ini ialah kanser paru-paru, kanser tekak, kanser usus besar, kanser darah dan kanser rektum. Kanser paling utama di kalangan wanita pula ialah kanser payu dara, serviks, usus besar, rahim dan kanser ovari.

Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan, Jabatan Obstetriks dan Ginekologi, Hospital Sultanah Bahiyah , Alor Setar, Kedah, Dr. Mohd. Rushdan Md. Noor berkata, satu pertiga daripada kes kanser boleh dicegah dengan kaedah pencegahan yang sesuai, manakala satu pertiga lagi boleh dirawat.

Bagi pesakit kanser yang sukar dirawat, terdapat kaedah rawatan yang dapat mengurangkan penderitaan mereka. Kaedah rawatan ini dinamakan penjagaan paliatif.

‘‘Tidak semua orang mengetahui betapa pentingnya penjagaan ke atas pesakit yang menghadapi masalah tersebut dan mengetahui bahawa terdapat kaedah rawatan yang boleh mengurangkan penderitaan penghidap kanser.

‘‘Penjagaan paliatif bermaksud penjagaan holistik yang merangkumi rawatan melegakan masalah fizikal, sosial dan psikologi pesakit,’’ ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Rawatan paliatif juga merupakan salah satu daripada topik menarik yang dibincangkan dalam buku tulisan beliau bertajuk Kanser Wanita: Pencegahan dan Rawatan, terbitan Utusan Publication & Distributor (UPND).

Bab ini memperkatakan tentang penjagaan pesakit kanser yang tidak boleh disembuhkan dan pesakit kanser yang berada pada peringkat akhir atau terminal.

Menurut Rushdan, penjagaan paliatif telah lama bertapak di negara ini dan sehingga ke hari ini terdapat banyak pusat rawatan paliatif sama ada di hospital kerajaan mahupun swasta yang dikendalikan oleh petugas yang datang daripada pelbagai latar belakang, termasuk bekas pesakit.

Penjagaan paliatif merangkumi aspek fizikal, mental dan sosial dengan penglibatan semua pihak termasuk doktor, jururawat, pekerja sosial, pakar psikiatri dan paling penting ahli keluarga sendiri.

Penjagaan atau rawatan paliatif ini merangkumi penjagaan sejak pesakit dimasukkan ke wad sehinggalah penjagaan pesakit di rumah.

Pesakit yang mengikuti rawatan ini akan dibantu menjalani kehidupan dengan selesa walaupun mereka disahkan mempunyai penyaki yang akan akhirnya membawa maut.

Sementara itu ketika membincangkan secara terperinci mengenai wanita dan kanser, Rushdan berkata, kajian yang dilakukan oleh International Agency for Research on Cancer (IARC), menganggarkan sebanyak 10.9 juta kes kanser dilaporkan di seluruh dunia pada tahun 2002. Daripada 10.9 juta kes, 47 peratus kanser melibatkan kaum wanita.

Kanser payu dara merupakan kanser paling utama di seluruh dunia. Kanser serviks pula merupakan kanser yang kedua paling utama kalangan wanita di dunia lebih-lebih lagi di kebanyakan negara membangun termasuk Malaysia.

Sambil mengakui berdasarkan pengalaman serta bimbang dengan permasalahan itu jugalah turut mencetuskan idea kepadanya menulis buku berkaitan penyakit tersebut yang antara lain bertujuan menyedarkan masyarakat terutama kaum wanita mengenai penyakit kanser, usaha pencegahan dan rawatan terkini.

Dalam buku setebal 367 muka surat itu, pelbagai topik dibincangkan meliputi organ reproduktif wanita: anatomi dan fisiologi, pencegahan, jenis kanser, rawatan , pemakanan, kanser dan rawatan tradisional dan sebagainya. Buku yang ditulis dalam Bahasa Malaysia itu dijual pada harga RM70 sebuah.

Dalam usaha mendedahkan masyarakat kepada bahaya penyakit itu juga, UPND mengambil inisiatif dengan menganjurkan seminar Kanser Wanita: Pencegahan dan Rawatan.

Selain Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, seminar yang bakal berlangsung pada 24 Julai di Hotel Grand Season, Jalan Pahang itu mendapat kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Majlis Kanser Nasional (MAKNA).

Seminar sehari itu turut menyelitkan upacara pelancaran buku tersebut yang akan disempurnakan oleh Menteri KPWKM Datuk Dr. Ng Yen Yen.

Seminar ini juga berkonsep interaksi dua hala di antara peserta dan ahli panel yang terdiri daripada pakar dalam bidang O & G serta pakar daripada LPPKN. Antaranya, Dr. Juliana Abdul Latif dan Dr. Zamzida Yusoff.

Bagi yang berminat boleh menghubungi 03-92856577 untuk keterangan lanjut.





 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.