Jumaat, 1 Mac 2013

Perginya Abang Bidin


Perginya Abang Bidin


SETIAP kali menonton filem Seniman Bujang Lapok, pasti kita akan ketawa melihat gelagat seorang lelaki beristeri dua yang menginap di sebelah bilik P.Ramlee, Aziz Sattar dan S.Shamsuddin. Malah lelaki yang memegang watak Abang Kus itu juga turut dibelasah oleh P.Ramlee, namun gara-gara watak itulah nama Kuswadinata diingati hingga hari ini.

Kini semuanya hanya tinggal kenangan kerana pelakon itu telah menghembus nafas terakhir pada pukul 5.07 petang, di Hospital Ampang, Selangor, 16 Februari 2013 kerana beberapa penyakit termasuk kanser usus dan sakit buah pinggang.

Kuswadinata atau nama sebenarnya Kuswadi Bujang, 75, sewaktu ditemu bual dahulu pernah berkata, Allahyarham Tan Seri P.Ramlee adalah guru yang banyak mengajar dan membimbingnya dalam bidang lakonan.

Pelakon yang dilahirkan pada 8 September 1938 berkata, namanya mula diingati oleh penonton-penonton filem Melayu menerusi filem Seniman Bujang Lapok yang diterbitkan pada 1961.

Nama Kuswadinata yang terhasil daripada gabungan nama salah seorang bapa saudaranya iaitu Nata yang berasal dari Pontianak, Kalimantan seperti ibunya. Sementara bapanya adalah dari Rembau, Negeri Sembilan.

Katanya, setelah berlakon beberapa filem sebagai pembantu, barulah dia dapat watak berat di samping P.Ramlee menerusi filem Antara Dua Darjat pada tahun 1959.

Menurut Kuswadinata, dia akan terus berlakon sehingga akhir hayat kerana dunia lakonan sudah sebati dalam jiwanya dan kerana itu jugalah dia pernah berlakon filem antarabangsa seperti Little Adventure, Pretty Girls dan Beyond Rangoon.

Dia memulakan kerjaya sebagai pelakon di Malay Film Production, Jalan Ampas selepas menghadiri uji bakat oleh pengarah Datuk L. Krishnan dan Datuk Mahmud Jun pada tahun 1957.

Waktu itu saya memang gelabah macam dalam filem Seniman Bujang Lapok. Bayangkan dalam ramai yang datang uji bakat, hanya saya seorang budak baru. Sudahlah baru, tidak ada pengalaman berlakon pula. Yang ada cuma minat. Tetapi saya bernasib baik kerana diterima berlakon," katanya.

Lakonan pertamanya adalah sebagai pelakon pembantu dalam filem Orang Lichin di samping seniman Datuk S. Roomai Nor dengan memegang watak sebagai seorang pembunuh.

Selepas beberapa kali berlakon sebagai pembantu dalam beberapa filem, dia ditawarkan untuk memegang watak berat dalam filem Antara Dua Darjat bersama P. Ramlee, Saadiah dan Ahmad Nesfu pada tahun 1959, sebagai Engku Hassan.

Pelakon yang dilahirkan dan dibesarkan di Singapura itu merupakan pelakon seangkatan Tan Sri Jins Shamsudin, Datuk Mustafa Maarof dan Datuk Aziz Satar.

Lain-lain filem lakonannya ialah Indera Bangsawan (1961) dan Panji Semarang, KLU (1999), Kaki Bakar (1995), Tarik-Tarik (1993), Sikit Punya Gila, Jejak Bertapak (1980-an), Ibu Mertuaku (1962), Seniman Bujang Lapok (1961), Kaca Permata dan Aku Mahu Hidup (1970).

Dia yang pernah dipilih sebagai penerima Anugerah Pelakon Veteran di Festival Filem Malaysia ke-20 pada 2007, semasa hayatnya turut menghidap penyakit pendarahan usus kecil dan kanser kelenjar sejak beberapa tahun lalu.


Industri perfileman negara kehilangan bintang veteran disegani Kuswadinata yang telah menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 5.07 petang, 16 Februari lalu di Hospital Ampang. Pemergiannya berpunca daripada pendarahan usus kecil dan barah kelenjar yang dihadapi sejak 4 tahun lalu. Selain daripada itu, Allahyarham juga mengidap kanser prostat dan kerosakan buah pinggang sehingga mengganggu pembuangan air kecil secara normal. Masih segar dalam ingatan kita muka tampan pelakon veteran Allahyarham Kuswadinata yang mengenakan pakaian askar Melayu ketika muncul di dalam filem Ibu Mertuaku pada 1962. Meskipun kemunculannya hanyalah sepintas lalu tanpa berdialog, namun impak penghayatannya ketika memegang karakter Abang Bidin yang diganding bersama pelakon, Zaiton Abdullah sebagai Chombi, cukup menyentuh perasaan. Mari kita mengimbau kembali beberapa keping gambar sepanjang Allahyarham berada di dalam aktiviti seni dan kepada semua pembaca MiG Online, mari kita bersama-sama sedekahkan surah Al-Fatihah.

 

 

 

 

 

Tiada ulasan:

Catat Komen

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.