Ahad, 7 April 2013

Doktor pelatih yg sangat manja ditegur


Doktor pelatih yg sangat manja ditegur


 
KOTA BHARU 26 Jan. - Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir menyuarakan kebimbangan beliau mengenai sikap segelintir doktor pelatih yang disifatkan sangat manja apabila tidak mampu melakukan banyak kerja serta menyerap tekanan kerana ia boleh menjejaskan profesionalisme kedoktoran negara pada masa hadapan. Beliau berkata, sikap doktor pelatih itu yang rata-ratanya masih muda dibimbangi akan merosakkan nama  baik serta kualiti kerjaya kedoktoran. Ahmad Razin berkata, doktor pelatih perlu sedar bahawa latihan selama 10 tahun atau lebih merupakan tempoh untuk mereka mendapat ilmu secukupnya untuk menjadi seorang doktor perubatan berwibawa, mampu berdikari dan boleh membuat keputusan mengenai keadaan pesakit.

 
Nak dapat ilmu pengetahuan, mereka perlu melihat lebih ramai pesakit, lebih banyak prosedur perubatan, lebih banyak menghabiskan masa di hospital. Kemudian barulah mereka lebih berkeyakinan dan berpengetahuan. Mahu tidak mahu, doktor pelatih sekarang kena tanya diri sama ada mereka boleh berdikari atau tidak selepas tamat latihan kerana mereka akan ditempatkan di merata tempat di mana mereka perlu tahu apa yang hendak dilakukan (semasa berdepan dengan pesakit)," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri majlis makan malam sempena pelantikan ahli jawatankuasa Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) cawangan Negeri Kelantan di sebuah hotel di sini malam tadi.

 
Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Razin membangkitkan masalah doktor muda yang disifatkannya manja apabila mudah tertekan ketika berdepan tugas sehingga memohon untuk meletakkan jawatan. Keadaan itu jelas beliau, menunjukkan individu terbabit tersalah memilih bidang kerjaya yang hendak diceburi meskipun telah menghabiskan masa selama bertahun termasuk di luar negara bagi mendapat segulung ijazah perubatan. Dalam hal ini katanya, adalah menjadi tugas doktor senior untuk melatih doktor muda terbabit supaya kelak mereka boleh berdikari, bersemangat dan dapat mendepani cabaran kerjaya sebagai seorang doktor, kerjaya yang sangat disanjung oleh masyarakat.

 
Dalam perkembangan lain, Ahmad Razin turut menekankan perlunya para doktor termasuk doktor swasta menambah ilmu pengetahuan dengan mengikuti ijazah lanjutan atau ijazah kedua bagi meningkatkan kemahiran, daya saing dan profesionalisme mereka. Kerajaan amat berharap mengamal perubatan swasta turut terlibat aktif dalam pembelajaran berterusan ini untuk meningkatkan kemahiran dan daya saing. Mereka tak boleh lari mesti ada daya saing yang tinggi untuk menarik orang ramai," katanya.






 

Tiada ulasan:

Catat Komen

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.