Ahad, 7 April 2013

Kosmetik beracun



Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/05/27


DAMANSARA: Impian segelintir wanita mahu kelihatan cantik dalam tempoh singkat boleh bertukar menjadi igauan ngeri apabila sejenis produk kosmetik terkemuka jenama tempatan yang dijual di pasaran dikesan mengandungi kimia beracun tretinoin.

Produk kosmetik itu didakwa dihasilkan menerusi kepakaran pengusaha tempatan sebaliknya hanya pembohongan semata-mata kerana siasatan pegawai Bahagian Penguat kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati ia diseludup masuk dari Filipina secara besar-besaran.

Malah produk terbabit yang dipasarkan ahli perniagaan Bumiputera didapati cuba menipu pengguna apabila sengaja diuar-uarkan sudah memperoleh kelulusan KKM selain mendapat perakuan sijil halal daripada badan tertentu.

Pendedahan mengejutkan itu dinyatakan Pengarah Penguat kuasa Farmasi KKM, Mohd Hatta Ahmad selepas melakukan serbuan di sebuah gudang di Bandar Pinggiran Subang, di sini, semalam. Dalam operasi jam 11.30 pagi, sepasukan pegawai penguat kuasa Farmasi KKM disertai Timbalan Pengarahnya, Wan Hamid Wan Ibrahim, bertindak menyerbu gudang yang digunakan syarikat pengimport untuk menyimpan bekalan produk kosmetik berjenama terkenal itu.

Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan seorang wanita berusia 30-an dipercayai penyelia gudang berkenaan bersama beberapa pekerja lain sedang sibuk melakukan tugas membungkus produk kosmetik yang dijual secara pakej tiga dalam satu.

“Siasatan mendapati syarikat milik bukan Bumiputera itu bertanggungjawab menjadi pengimport produk kosmetik beracun dari Filipina sebelum dibekalkan kepada sebuah syarikat Bumiputera yang memasarkan produk kosmetik menggunakan jenama terkemuka.

 

“Namun akibat panik selepas menyedari diserbu pegawai farmasi, penyelia wanita terbabit hilang pertimbangan lalu menuduh pegawai penguat kuasa farmasi cuba memeras ugutnya. Malah dia mendakwa diganggu secara seksual sedangkan terdapat ramai pegawai penguat kuasa wanita yang menyertai serbuan itu,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati produk krim malam yang dijual dengan harga sekitar RM16 itu mengandungi kimia berbahaya tretinoin.

“Susulan itu, pegawai KKM merampas produk itu lebih 15,000 kotak dengan anggaran nilai pasaran kira-kira RM344,000,” katanya.

Menurutnya, produk kosmetik yang mengandungi kimia tretinoin itu dianggap berbahaya apatah lagi jika kandungan kimianya terlalu tinggi sehingga boleh mendatangkan barah kulit.

“Kimia ini diharamkan penggunaannya kerana mempunyai kesan sampingan seperti rasa terbakar pada kulit, gatal, kulit menggelupas dan kekeringan, jeragat hitam bertambah dan kulit menjadi sensitif kepada cahaya lampau ungu.

“Malah lebih ditakuti apabila krim produk kosmetik dirampas ini mengandungi sehingga lebih lima peratus kimia tretinoin di dalamnya. Saya bimbang jika kesan jangka panjang boleh menyebabkan wanita yang menggunakannya berisiko terkena barah kulit,” katanya.

Menurutnya, pengguna dinasihatkan supaya berhenti menggunakan sesuatu produk sekiranya berasa kesan pedih atau kulit muka menjadi kemerah-merahan selepas memakainya.

 

 

 

Tiada ulasan:

Catat Komen

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.