Ahad, 15 April 2012

RUQYAH

Assalamualaikum. InsyaAllah kali ini saya cuba menulis serba sedikit mengenai ruqyah, sebagai salah cara perubatan yang diajar dalam Islam. Saya harap ilmu yang saya kongsikan ini serba sedikit bermanfaat buat rakan-rakan pembaca. Mohon teguran jika terdapat kesilapan atau kekurangan.

Dari Aisyah r.a. menceritakan bahawa Nabi s.a.w. apabila sakit beliau baca untuk dirinya sendiri surah muawwizat kemudian beliau tiupkan. Tatkala sakit beliau bertambah keras, kubacakan surah-surah itu keatasnya, kemudian kusapukan dengan tangannya dengan mengharapkan barakah daripadanya."
-sahih Bukhari (no.4085) dan Muslim (no.4066)-

Hadis diatas merupakan salah satu hadis yang mensyariatkan penggunaan ruqyah dalam mengubati sakit. Di sini juga dapat kita fahami bahawa kita sendiri boleh dan digalakkan mengubati diri sendiri menggunakan ruqyah dan doa berdasarkan kemampuan. Sesetengah orang berpendapat bahawa hanya ustaz atau ustazah yang boleh, tetapi hakikatnya diri sendiri sepatutnya merawat terlebih dahulu sebelum pergi kepada ustaz atau ustazah.
Ruqyah bukan semata-mata untuk mengubati sihir dan guna-guna, tetapi juga untuk penyakit fizikal seperti demam, sengatan dan lain-lain. Memang diakui bahawa sebahagian penyakit fizikal juga boleh terjadi disebabkan oleh jin/makhluk halus. Contohnya kes yang terjadi pada seorang pesakit ibu saya, dimana dia disahkan mempunyai cyst pada organ peranakannya, tetapi saiznya berubah-ubah setiap kali diperiksa. Perubatan dengan ruqyah mendapati cyst tersebut terjadi disebabkan oleh jin dan boleh diubati dengan ruqyah syariah.

Dari Auf Bin Malik Al-Asyja'i r.a. dia berkata, "Kami sering menggunakan mantera/ruqyah pada masa Jahiliah. Lalu kami tanyakan hal itu kepada Rasulullah s.a.w., 'Ya Rasulullah, bagaimana tentang mantera itu menurut engkau?' Beliau berkata, 'Tidak mengapa menggunakan mantera selama tidak mengandungi syirik"
-sahih Muslim (no.4079)-

Daripada hadis diatas, Rasulullah s.a.w. menetapkan bahawa ruqyah yang dibolehkan mestilah tidak mengandungi unsur-unsur syirik, iaitu pengharapan kepada sesuatu selain Allah, seperti menggunakan sihir. Ruqyah yang disyariatkan adalah menggunakan ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa daripada hadis Nabi s.a.w.

Dalam hadis Abu Said Al-Khudri r.a., berkenaan sahabat yang melalui satu kampung dan meruqyah menggunakan surah Al-Fatihah, maka mereka pulang dan bertanya dengan Rasulullah s.a.w. Baginda menjawab, "Tidak tahukah kamu bahawa surah Al-Fatihah itu dapat digunakan untuk meruqyah?"
-sahih Bukhari (no.5303) dan Muslim (no.4080)-

Sebahagian ulama mengatakan boleh menggunakan mana-mana ayat Al-Quran sebagai ruqyah berdasarkan hadis di atas serta beberapa dalil Al-Quran seperti ayat 44 surah Fussilat, "Al-Quran adalah petunjuk dan penyembuh bagi orang-orang yang beriman". Antara ayat yang selalu di gunakan selain Al-Fatihah adalah ayat Kursi, lima ayat pertama dan dua ayat akhir surah Al-Baqarah, serta tiga surah terakhir (surah muawwizat).  Sesetengah ustaz yang telah biasa merawat dengan ruqyah menetapkan ayat-ayat tertentu berdasarkan pengalaman mereka. Bagi kita yang tidak biasa, cukuplah dengan surah-surah yang mudah ataupun doa-doa Nabi s.a.w. Berikut merupakan link artikel Ustz Zaharuddin yang memuatkan beberapa doa dari hadis Nabi s.a.w.

Kita juga boleh memasang audio mp3 bacaan-bacaan Al-Quran sebagai salah satu cara. Kebanyakan ustaz yang memang berpengalaman merawat akan menasihatkan pesakit untuk memasang bacaan-bacaan Al-Quran setiap hari, kerana syaitan tidak senang mendengarnya. Bagi yang mungkin disebabkan jin, kemungkinan untuk mengalami tanda-tanda itu tinggi, seperti menggigil, terasa sakit sewaktu membacanya dan sebagainya. Maka jalan yang terbaik ialah dengan merujuk ustaz atau ustazah yang berpengalaman. Perlu kita fahami bahawa meruqyah ini memerlukan pengharapan yang tinggi kepada Allah Taala. Segala yang halal dan haram, dosa dan pahala perlu dijaga, sama sepertimana kita menginginkan doa-doa kita dikabulkan Allah. Sesungguhnya Allah yang menurunkan penyakit dan Dialah yang Maha Penyembuh. Amalkan zikir-zikir yang diajar baginda Nabi s.a.w. seperti pada waktu Subuh dan Asar, sebagai pelindung diri. Kita juga tidak boleh melupakan ikhtiar dan usaha untuk menggunakan ubat atau rawatan lain, terutama bagi penyakit fizikal. Ini kerana Rasulullah s.a.w. juga menggunakan ubat seperti madu dan habbatus sauda untuk menyembuhkan penyakit. Maka, jadikanlah ruqyah ini sebagai pelengkap dalam rawatan kita.

"Allah tidak akan menurunkan penyakit melainkan Allah turunkan juga ubat baginya" -sahih, riwayat Ibnu Majah, Al-Hakim-

Semoga kita sama-sama dapat ilmu yang bermanfaat dari artikel ini dan dapat mengamalkan dalam kehidupan kita. Mohon teguran jika terdapat salah dan silap. Allahu'alam


Tiada ulasan:

Catat Komen

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.