Ahad, 15 April 2012

Kanser Hati


Apakah itu kanser hati?
Kebanyakan kanser mengambil sempena nama bahagian tubuh di mana kanser tersebut bermula. Kanser hati primer terjadi apabila sel-sel hati berubah dan menjadi malignan. Ia berasal dari hati bukan hasil perebakan (metastasis). Metastasis berlaku apabila sel-sel kanser yang berasal dari bahagian lain dalam tubuh manusia merebak ke hati. Kanser hati ini juga dikenali sebagai hepatoma.

Bagaimanakah kanser hati ini boleh diperjelaskan?
Kanser hati ataupun hepatoma ini biasanya lebih lazim berlaku di negara-negara Asia. Secara purata, pesakit kanser ini kebanyakannya berumur antara 40 hingga 50 tahun. Ia didapati empat kali ganda lebih kerap berlaku di kalangan kaum lelaki berbanding dengan kaum wanita .
Tumor hati merupakan sejenis kanser yang jarang berlaku di dunia Barat. Tetapi ia merupakan antara beberapa jenis kanser yang paling biasa menyerang penduduk-penduduk Asia dan Afrika.
Tumor hati primer iaitu tumor yang bermula dari tisu hati itu sendiri boleh di bahagikan kepada tumor benigna dan tumor malignan.

Tumor benigna hati:
Adalah lebih biasa berlaku berbanding dengan tumor hati malignan.
Ianya termasuk hemangioma, adenoma dan hiperplasia nodul fokal.

Tumor malignan hati:
Termasuklah hepatoma (kanser hati primer), kanser kolangioselular, gabungan kanser hepato-kolangioselular dan angiosarkoma.

Bagaimanakah kanser hati ini terbentuk?
Hati merupakan organ utama dalam tubuh manusia yang bertanggungjawab menyingkirkan toksin, dadah dan racun keluar dari tubuh. Ini dilakukan dengan memecahkan toksin tersebut kepada sebatian berpigmen dan kemudiannya diangkut keluar melalui duktus ke dalam usus. Apabila virus, dadah atau alkohol merosakkan hati, sebatian berpigmen ini akan terkumpul, menyebabkan berlakunya jaundis, atau kekuningan bahagian mata putih. Biasanya sel-sel hati inilah yang menjadi kanser. Terdapat pelbagai bentuk atau pola histologi bagi hepatoma. Hepatoma boleh wujud dalam dua bentuk: Tumpuan (fokus) dan berbaur. Bentuk fokus atau tumpuan ini dapat dilihat sebagai jisim yang bulat atau berlobul, biasanya wujud dalam jumlah yang banyak. Bentuk berbaur atau tersebar pula lebih sukar untuk didiagnoskan. Dari sampel spesimen yang telah dipotong didapati kebanyakan kes hepatoma ini telah merebak ke bahagian vena portal. Ini boleh melibatkan vena hepatik, vena kava, dan vena portal dan dipercayai merupakan punca utama metastasis.

Apakah faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko kanser hati?

Mereka yang berisiko termasuklah:
* Peminum alkohol.
* Pembawa Hepatitis B.

Ingat:

Elakkan pengambilan alkohol yang berlebihan. Ia dikaitkan begitu rapat sekali dengan masalah kanser hati terutama di negara-negara maju.
Pembawa Hepatitis B berisiko lebih tinggi untuk mendapat kanser hati terutamanya jika mereka memiliki virus yang aktif ataupun jika mereka mengalami kerosakan hati*.

Apakah tanda-tanda dan gejala kanser hati?

Terdapat beberapa gejala yang anda perlu ketahui:

* Gejala-gejala yang utama adalah kesakitan di bahagian abdomen, susut berat badan dan hilang selera makan. Gejala-gejala ini juga wujud apabila hati dijangkiti virus seperti Hepatitis A atau B. Berwaspadalah kerana hampir 30% dari pesakit tidak menunjukkan sebarang gejala.
* Demam yang tidak diketahui puncanya juga merupakan gejala yang biasa berlaku.
*Asites atau busung (pengumpulan cecair dalam rerongga peritoneum yang menyebabkan abdomen menjadi kembung). Cecair ini biasanya mengandungi kandungan protein yang tinggi dan mungkin bercampur dengan darah.

Apakah komplikasi yang mungkin boleh terjadi?
Metastasis - kanser tersebut boleh merebak ke bahagian-bahagian badan yang lain.

Apakah prognosis bagi kanser hati?
Purata pesakit kanser hati dilapor dapat meneruskan hidup hanya untuk jangka 4-8 bulan sahaja selepas didiagnos. Keterukan kanser hati, kerosakan hati yang awal disebabkan oleh hepatitis B atau pengambilan alkohol dan kebolehbedahan kanser tersebut, akan menentukan kemandirian pesakit kanser hati. Jika pembedahan mampu memulihkan kanser, peluang untuk pesakit meneruskan hidupnya selama 5 tahun lagi adalah tinggi, hampir 46%.

Bagaimanakah kanser hati ini boleh dicegah?
Antara langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil ialah:
* Dapatkan imunisasi Hepatitis B seperti yang dijadualkan.
* Elakkan pengambilan alkohol berlebihan.
* Menjalani pemeriksaan kesihatan apabila terdapatnya perubahan tertentu pada kesihatan anda khususnya yang berkaitan dengan tanda-tanda amaran kanser


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.